Jumaat, 11 Disember 2009

BARANGAN INDON, APA ISTIMEWA BUAT TAWAU?

Burung helang menjadi mercu tanda di bandar Tawau.

Pemandangan deretan kedai lama di bandar Tawau berhadapan dengan Pasar Besar yang banyak menjual barangan dari Indonesia terutama peralatan dapur dengan harga yang lebih murah.

Bandar Tawau mungkin mempunyai sebab untuk menjadi kunjungan istimewa bagi pelawat dari daerah lain di Sabah kerana tarikan jualan produk dari negara jiran Indonesia dengan harga yang lebih murah berbanding di tempat-tempat lain.

Tidak hairanlah, mereka yang datang jauh seperti dari Kota Kinabalu, Sandakan, Lahad Datu, Beaufort, Keningau, WP Labuan malah sejauh daerah-daerah terpencil di pedalaman jika ada peluang pasti bandar di Pantai Timur itulah menjadi pilihan.

Saya sungguhpun sudah beberapa kali mengunjungi bandar ini terutama atas urusan tugas ketika berkhidmat dengan kerajaan, tidak pernah terlintas bahawa barangan keluaran Indonesia yang banyak dijual di sini menarik perhatian ramai.

Sehinggalah baru-baru ini, Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Ismail Mayakob ketika mengalu-alukan kehadiran rombongan Majlis Daerah Kuala Penyu (MDKP) secara berseloroh antara lain memaklumkan bahawa keisitimewaan di bandar Tawau kerana barang-barang dari negara jiran Indonesia terutama peralatan dapur boleh didapati dengan harga yang murah.

“Lawatan ini bolehlah juga diambil peluang untuk membeli-belah barang-barang tersebut,” katanya yang menjelaskan ia hanya sebahagian elemen tarikan pengunjung ke bandar ini.

Pegawai Daerah yang Pengerusi Majlis Daerah Kuala Penyu (MDKP), Edmund Teo dalam ucapan balas, secara bergurau menyatakan; “tuan Presiden jangan risau, kita menyediakan sebuah lori untuk membawa barang-barang yang akan dibeli oleh peserta rombongan.” Ia disambut gelak ketawa peserta rombongan dan kakitangan MPT yang terbabit dalam sesi taklimat itu.

Kata-kata Pengerusi MDKP itu rupanya bukan sekadar gurauan tetapi memang benar sebuah lori disediakan bagi memudahkan peserta rombongan memuatkan barang yang dibeli sempena lawatan tersebut sebagaimana diakui Pegawai Eksekutif MDKP, Haji Fadzlee Lee Abdullah.

Katanya, bagaimanapun ia hanya secara kebetulan bagi memudahkan mereka yang tidak menggunakan kenderaan sendiri menyertai lawatan itu. Yang penting lawatan ini sebenarnya menjadi saluran bagi kaunselor, pegawai dan kakitangan majlis untuk mempelajari banyak perkara serta berkongsi pengalaman dengan rakan-rakan di MPT.

Rombongan MDKP itu diketuai Pegawai Daerah yang juga Pengerusi Majlis Daerah, Edmund Teo.

Angota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Penyu, John Teo Mau Sing yang dijadual menyertai rombongan berkenaan tidak dapat berbuat demikian disebabkan beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan.

Pada sesi taklimat kepada rombongan tersebut di Dewan Persidangan MPT, Presiden MPT turut mengalu-alukan kehadiran rombongan atas pemilihan daerah ini sebagai destinasi lawatan sambil belajar itu.

Lawatan seumpama ini, katanya, membolehkan kedua-dua pihak berkongsi pengalaman dalam banyak perkara yang boleh membantu untuk memperbaiki dan meningkatkan lagi pengurusan majlis masing-masing.

"Pihak MDKP mungkin boleh berkongsi dengan kita apa-apa perkara yang tidak ada di Kuala Penyu tetapi ada di Tawau, begitulah juga kami dapat berkongsi sesuatu yang mungkin ada di Kuala Penyu tetapi tidak terdapat di sini,” kata Ismail.

Beliau juga berharap anggota rombongan dapat memanfaat segala pengalaman yang diperolehi sepanjang lawatan itu.

Sementara itu, sambil melahirkan penghargaan kepada MPT kerana kesudian menerima lawatan rombongannya ke daerah ini, Edmund Teo menjelaskan sebelum ini lawatan ini telah ditangguh tetapi mereka tetap meneruskan program lawatan dengan memilih Tawau dengan harapan dapat menimba pengalaman dan dapat berkongsi perkara yang boleh digunapakai dalam pengurusan majlis di Kuala Penyu

“Meskipun Kuala Penyu, daerah yang kecil namun jika MPT mempunyai perancangan pada masa akan datang ke tempat yang berhampiran seperti Wilayah Persekutuan Labuan, kami dengan hati yang terbuka sangat mengalu-alukan jika dapat singgah ke daerah kami,” tegasnya.

Rombongan itu juga dibawa melawat Majulah Koko Teck Guan dan diberi penerangan operasi syarikat itu oleh para pegawainya termasuk menyaksikan tayangan video mengenai sejarah penanaman dan industri koko di daerah ini serta penghasilan produk berasaskan koko.

Pasukan MDKP turut mengadakan perlawanan bola sepak persahabatan dengan pasukan MPT yang berkesudahan tuan rumah menang tipis 1-0 ke atas pasukan pelawat hasil jaringan pada minit-minit akhir permainan.

MPT juga meraikan anggota rombongan MDKP dalam satu majlis jamuan malam yang diserikan dengan persembahan tarian tuan rumah “poco-poco” serta nyanyian dari wakil kedua-dua majlis.

Rata-rata peserta rombongan berpuas hati dengan lawatan itu. Seperti dijangka mereka bukan sahaja memanfaatkan lawatan itu untuk mempelajari sesuatu yang baru dari MPT, tetapi barangan yang dibawa pulang memang menepati gurauan Pengerusi MDKP itu.

Apa pun pada saya, apa yang sangat menarik perhatian ialah jumlah kehadiran pelawat asing ke bandar itu seperti yang dinyatakan oleh Presiden MPT iaitu sejumlah 60,000 orang sebulan, kebanyakannya dari negara jiran Indonesia.

Bilangan ramai pelawat asing itu sesungguhnya sesuatu yang mengujakan bagi Tawau dan sekiranya cadangan MPT untuk mengenakan caj kemasukan terhadap pelawat iaitu antara RM1 atau RM2 dipersetujui pihak kerajaan, ia sudah tentu akan memberi kutipan hasil yang lumayan kepada pihak berkuasa tempatan.

Ismail sendiri mengakui bahawa pihaknya sudah mengesyorkan caj itu dan hanya menunggu kelulusan pihak kerajaan. "Jika diluluskan, kita akan melaksanakannya".

Satu lagi perkara yang tidak kurang mengujakan saya tetapi berasa pelik sejenak membayangkannya apabila dalam sesi taklimat itu menyebut bahawa daripada hampir 2,000 rumah setinggan dikenal pasti di Tawau, hanya 491 rumah sahaja yang membabitkan bukan penduduk tempatan dan selebihnya membabitkan warga tempatan.

Inilah realitinya walaupun bandar ini sememangnya di segi lokasi amat terdedah dengan kebanjiran pendatang asing. Situasi ini tentunya sangat berbeza dengan keadaan setinggan di Kota Kinabalu dan daerah-daerah lain di Sabah yang lazimnya dimonopoli pendatang tanpa izin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan