Rabu, 22 Disember 2010

DATUK JUHAR TYT SABAH YANG BARU

Datuk Juhar Mahiruddin menerima surat cara pelantikan sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah yang ke-10 daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara.

BUAL...Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (kanan) berbual dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Datuk Juhar Mahiruddin (tengah).


Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah, Datuk Juhar Mahiruddin, 57, telah dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah yang baru, menggantikan Tun Ahmadshah Abdullah yang tamat tempoh perkhidmatan pada 31 Disember ini.

Juhar, seorang lulusan undang-undang dan bekas majistret menerima surat cara pelantikan yang disampaikan Yang diPertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Bilik Singgahsana Kecil, Istana Negara di Kuala Lumpur pada Rabu lepas.

Sebelum ini, Juhar adalah seorang ahli politik yang terlibat dengan Parti Akar, Usno dan Umno dan antara pemimpin negeri ini yang turut terlibat dalam rundingan Usno yang memberi laluan kemasukan Umno ke Sabah pada tahun 1991.

Atas pembabitan dalam politik, beliau pernah menjadi Anggota Parlimen kawasan Kinabatangan dari 1990 hingga 1999, menjadi Ketua Umno Bahagian Batu Sapi dari 2003 hingga 2008 serta pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat (1990-1999).

Mengulas pelantikan TYT yang baru itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, kerajaan negeri pimpinannya dan seluruh rakyat Sabah menjunjung kasih di atas limpah perkenan Seri Paduka melantik Juhar sebagai Yang Dipertua Negeri yang ke-10.

Katanya, kerajaan negeri juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri atas sokongan bagi pelantikan tersebut.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri serta rakyat Sabah turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada Juhar kerana pelantikan sebagai TYT Sabah yang baru.

Selasa, 21 Disember 2010

MOGINUM, UPACARA RITUAL SUKU KAUM TATANA

Hidangan makanan yang disediakan dalam upacara Moginum. Mengikut kepercayaan suku kaum Tatana di Kuala Penyu, hidangan ini untuk roh bagi orang yang telah meninggal dunia.

Peralatan yang digunakan dalam upacara itu dan diletakkan di hadapan pintu rumah ketika upacara Moginum dijalankan.

Seorang bobolian lelaki yang mengetuai acara sumayau pada upacara Moginum.


Masyarakat Kadazandusun amat kaya dengan warisan adat istiadat termasuk upacara yang berunsurkan ritual. Suku kaum Tatana, salah satu etnik dalam kelompok Kadazandusun tidak terkecuali.


Moginum merupakan satu upacara ritual suku kaum ini yang masih diamalkan hingga ke hari ini.


Mengikut bahasa Tatana, Moginum bererti majlis minum. Secara kebetulan upacara ini sememangnya dihiasai dengan aktiviti singgarung atau dalam bahasa Tatana bermaksud acara minum-minum terutama daripada bahan seperti arak dan tapai.


Sebagaimana kebiasaannya, acara minum minuman keras ini dilakukan ketika acara sumayau diadakan pada upacara moginum.


Upacara moginum ini dibahagikan kepada tiga kategori iaitu yang paling popular sekali dan biasa diadakan ialah moginum loyob, moginum kaul dan moginum kahwin.


Moginum loyob ini biasanya diadakan sebagai memperingati roh anggota keluarga yang telah meninggal dunia. Ia akan dijalankan dalam tempoh kira-kira dua minggu atau selepas kematian ahli keluarga.


Moginum kaul pula diadakan sebagai memenuhi niat untuk berubat jika berlaku seseorang ahli keluarga mengalami sakit yang disebabkan keteguran roh nenek moyang atau ahli keluarga yang meninggal dunia.


Keteguran roh ini dipanggil sebagai simponongon oleh masyarakat Tatana dan untuk memulih seseorang daripada musibah ini ialah dengan mengadakan upcara moginum kaul.


Manakala moginum kahwin diadakan jika ada dalam kalangan ahli keluarga suku kaum ini ingin melangsungkan perkahwinan anak sulung atau anak bongsu mereka.


Menurut kepercayaan masyarakat ini, upacara moginum akan berlangsung selama tiga hari tiga malam.


Bagaimanapun, persediaan untuk melakukan upacara ini lazimnya memakan masa lama iaitu antara satu hingga dua bulan bagi memastikan segala bahan-bahan keperluan dan kelengkapan dapat disediakan dengan sempurna.


Bahan yang biasa menjadi keutamaan bagi sesebuah keluarga yang ingin mengadakan upacara moginum antaranya penyediaan mengeringkan ikan yu dan pari tanpa menggunakan garam. Ia akan dijadikan juadah hidangan ketika upcara moginum berlangsung.


Moginum juga biasanya akan dimulai dengan “odou bamasak” iaitu hari bagi menyediakan kolupis, nasi pulut yang dibungkus dengan daun salad dan kemudian direbus dengan air santan kelapa dalam kawah.


Kolupis ini merupakan bahan utama dalam upacara moginum dan ia membabitkan kuantiti antara kira-kira 500 kudi (setiap kudi mengandungi 10 bungkus kolupis dalam satu ikatan).


Sejenis kuih tradisi yang diperbuat daripada tepung beras dipanggil panjaram turut disediakan dalam upacara ini.


Selain itu, masyarakat Tatana juga akan melakukan acara monyigi do salong. Salong ialah sejenis bahan bakar yang dihasilkan daripada getah pokok peranti dan kemudian ia ditumbuk halus dan dimasukkan di dalam upih pinang. Salong ini akan dinyalakan sepanjang upacara moginum diadakan.


Ia disusuli dengan penyediaan sigup, tembakau yang digulung dengan kirai, sejenis daun bagi menggantikan kertas untuk menghasilkan rokok. Ia diisikan di dalam tapak sirih atau langguai, dalam bahasa Tatana.


Selepas aktiviti bomasak yang biasanya dilakukan secara beramai-ramai atau bergotong royong oleh penduduk kampung yang hadir membantu pada keesokan harinya, upacara moginum akan dimulai dengan penyembelihan kerbau.


Bagi moginum kahwin, kepala haiwan yang disembelih itu akan digunakan sebagai tempat duduk pengantin. Manakala sedikit daripada daging, hati, perut, limpah kerbau tersebut akan dipotong kecil dan dicucuk menggunakan batang bamban dan direbus dan bahan ini dikenali sebagai kosot.


Pada sebelah petang, penganjur upacara ini akan menghidangkan bahan-bahan makan dalam dulang tradisi yang diperbuat daripada kayu. Hidangan itu meliputi beberapa jenis hidangan antaranya hiding kepala, hiding tompon, hiding ramban dan hiding dangan.


Bahan makanan yang dihidangkan itu akan dibiarkan selama satu malam hingga keesokan hari. Bagi melengkapkan hidangan dalam upacara ini, hidang siaran yang melibatkan juadah makanan dan bahan minuman akan diletakkan di hadapan pintu rumah yang mengadakan upacara moginum itu.

Khamis, 16 Disember 2010

SK LIKAS CATAT KEJAYAAN SEPANJANG 2010

Barisan pemain SK Likas yang beraksi dalam Karnival Futsal Antara Juara-Juara.

Pemain SK Likas bersama trofi, medal, sijil dan wang tunai yang dimenangi dalam karnival futsal.

Pasukan SK Likas meraih kejayaan dalam beberapa siri kejohanan bolasepak peringkat Kota Kinabalu sepanjang tahun ini dan kejayaan terkini sebelum melabuhkan tirai 2010 ialah memenangi naib juara Piala Bola di Karnival Futsal Antara Juara-Juara Bawah umur 12 Tahun yang berakhir di Stadium Likas, baru-baru ini.

Sebelum ini, pada awal tahun, SK Likas Berjaya menduduki naib juara Kejohanan Bolasepak Bawah 12 Tahun Peringkat MSSD Kota Kinabalu sekali gus diisytiharkan sebagai pasukan terbaik dalam kejohanan tersebut.

Dalam Karnival Futsal Bawah 12 Tahun Peringkat Kota Kinabalu yang berlangsung di Stadium Likas pada pertengahan tahun, SK Likas B muncul sebagai juara Piala Bola carnival dua hari itu selain SK Likas A menduduki naib juara bagi kategori Piala Kejohanan.

Sebelum itu, SK Likas, antara pasukan sekolah biasa yang digeruni pasukan lawan memenangi tempat keempat dalam Karnival Futsal Bawah 12 Tahun Milo Hidup Bola di Kota Kinabalu yang disertai kira-kira 40 pasukan dari sekitar Pantai Barat.

Dalam Liga Bolasepak Kota Kinabalu Bawah 12 Tahun Grace One anjuran Borneo Sport and Adventure Holidays yang baru sahaja berakhir November lepas, SK Likas menduduki tempat ketiga dibelakang Tunas Asas Bolasepak (TABS) Safa Bandaraya dan Tuaran FDP. SK Likas, satu-satunya pasukan sekolah yang berjaya memberi saingan dengan menempatkan diri mereka dalam senarai tiga pasukan teratas dalam liga tersebut.

Lanjutan daripada liga yang dikendalikan oleh bekas pemain import Sabah, Scott Ollerenshaw, enam pemain SK Likas terpilih mewakili pasukan KK Rovers dan seorang lagi, Hizaz Lokman atau lebih dikenali dengan panggilan Kaka terpilih mewakili pasukan KK United di mana kedua-dua pasukan ini bertanding dalam Kejohanan Bolasepak Piala Borneo 2010 yang berlangsung di Stadium Likas dan Stadium Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Piala Borneo yang disertai pasukan dari luar negara seperti Australia, Jepun selain pasukan tempatan dijuarai pasukan KK United.

Prestasi SK Likas dalam kejohanan-kejohanan yang disertainya membolehkan pasukan sekolah ini, yang bukan pun berstatus sekolah sukan sentiasa menjadi perhatian pasukan-pasukan sekolah dari seluruh negeri. Ini juga menjadikan SK Likas diminati oleh pasukan sekolah lain terutama di sekitar Kota Kinabalu untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan mereka.

Dan yang menariknya, daripada puluhan perlawanan persahabatan yang dihadapi pasukan SK Likas itu sama ada diadakan di padang sendiri mahu pun di luar, kesemuanya telah mereka menangi dengan sebahagian besarnya dengan jumlah jaringan yang besar.

“SK Likas mampu mengecapi kejayaan ini kerana semua pemain menunjukkan komitmen, disiplin yang baik dan mereka benar-benar menghayati permainan bolasepak itu serta menggunakan skil dan kemahiran mereka di tengah padang,” kata jurulatihnya, Norsi Haji Sabtari.

Guru ini juga merupakan nadi utama pengurusan pasukan sekolah berkenaan dengan melakukan penyediaan pemain-pemain bermula dari tahun tiga hingga enam dan ini membolehkan SK Likas tidak pernah ketandusan pemain setiap tahun.

Menurut beliau, pihaknya mengenal pasti bakat pemain-pemain menerusi pertandingan antara kelas dan kemudian mengumpul mereka untuk menjalani latihan bersama pemain lain terutama yang sudah berada di tahun enam.

“Jangan hairan pasukan utama SK Likas menggandingkan pemain-pemain dari tahun tiga hingga enam dan mereka tidak gentar menghadapi lawan, yang biasanya hanya menurunkan pemain di tahun enam sahaja,” katanya.

Bekas jurulatih Sabah di era lewat tahun 70-an dan awal 80-an, Stanley Chew mengakui bakat dan potensi pemain kanak-kanak yang dimiliki SK Likas.

Katanya, sekolah ini mempunyai pemain yang baik dan mereka ini seharusnya mendapat perhatian agar potensi mereka tidak akan lenyap selepas mereka melangkah ke tingkatan satu.

“Secara peribadi, saya tidak keberatan dan bersedia membantu serta memberi pandangan supaya bakat pemain-pemain muda sekolah ini tidak sia-sia begitu sahaja,” katanya.

Ahad, 28 November 2010

MASYARAKAT TATANA SAMBUT TAHUN BARU CINA

Seorang ahli keluarga masyarakat Tatana mengadakan upacara sembahyang di rumah pada sambutan Tahun Baru Cina.

Acara menyusun kertas sembahyang di dalam nyiru yang akan dibakar selepas upacara sembahyang di rumah selesai.

Kertas sembahyang biasanya akan dibakar di kawasan halaman rumah.

Suku kaum Kadazandusun Tatana di Kuala Penyu mungkin merupakan masyarakat yang unik di Sabah kerana kaum ini selain yang beragama Kristian akan merayakan Hari Natal atau Krismas dan yang beragama Islam akan merayakan perayaan Hari Raya Aidilftri dan Aidil Adha, yang tidak mempunyai anutan agama atau pagan akan menyambut perayaan Tahun Baru Cina pada musim sambutan perayaan itu bersama-sama dengan masyarakat Cina setiap tahun.

Ini menjadikan suku kaum ini dianggap unik disebabkan mereka turut merayakan perayaan Tahun Baru Cina yang lazimnya hanya dirayakan oleh masyarakat Tionghua yang beragama Buddha.

Biasanya perayaan Tahun Baru Cina akan disambut pada setiap awal tahun antara penghujung Januari atau pada awal Februari.

Sambutan perayaan ini yang diwarisi sejak turun-temurun dan masih lagi menjadi amalan suku kaum Tatana sehingga sekarang.

Ramai berpendapat bahawa ini menjadikan satu kelainan bagi suku kaum Kadazandusun Tatana kerana kaum-kaum lain yang bukan berketurunan Tionghua tidak pernah menyambut perayaan Tahun Baru Cina.

Bagi masyarakat Kadazandusun Tatana menyambut perayaan Tahun Baru Cina ini adalah suatu kemestian kepada mereka malah ia telah menjadi amalan dan akan berterusan sehinggalah mereka beralih menganuti mana-mana agama yang sesuai dengan diri mereka.

Sebagaimana lazimnya, pada hari pertama sambutan, suku kaum ini akan mengadakan upacara sembahyang pada sebelah pagi di rumah, yang kemudian disusuli dengan upacara sembahyang di tokong.

Bagi mereka yang tidak mempunyai tokong berhampiran di kawasan mereka, mereka hanya akan mengadakan upacara sembahyang di rumah.

Pada hari kedua perayaan, ia merupakan masa untuk mengunjungi atau menziarahi rumah keluarga terdekat, rakan-rakan, sahabat handai sehingga pada hari ketiga perayaan.

Sambutan hari pertama hingga hari ketiga dianggap penting. Bagaimanapun, pada hari berikutnya, amalan kunjung-mengunjung masih boleh dilakukan. Pengunjung atau tetamu akan dihidangkan dengan minuman dan jamuan makanan mengikut kemampuan tuan rumah.

Bermula dari hari pertama hingga ketujuh, mengikut kepercayaan, penghuni rumah dilarang untuk melakukan kerja-kerja harian seperti menyapu rumah kerana dipercayai ia boleh mendatangkan sial kepada mereka.

Sejauh mana kebenarannya tidak dapat dipastikan kerana masyarakat terbabit tidak pernah mempersoalkan kesahihannya. Apa yang mereka lakukan itu lebih kepada mematuhi peraturan tersebut tanpa banyak dalih.

Ada pendapat menyebut bahawa masyarakat Tatana terutamanya yang tidak beragama merayakan sambutan Tahun Baru Cina kerana pengaruh masyarakat Cina yang sejarah awalnya datang ke daerah Kuala Penyu pada zaman dahulu, yang secara kebetulan masih ramai daripada kalangan masyarakat ini belum terdedah kepada kehidupan beragama.

Masyarakat ini biasanya menduduki kawasan pekan dan kawasan tebing sungai, yang digunakan sebagai penempatan dan laluan perdagangan dan sebab itu mereka begitu terdedah dengan budaya hidup yang di bawa masyarakat Cina.

Berdasarkan kesan tinggalan sejarah di daerah ini ternyata masyarakat Cina ini mudah mempengaruhi kehidupan masyarakat tempatan kerana kelebihan mereka sebagai peniaga atau pedagang. Justeru, budaya dan cara hidup serta kepercayaan mereka dengan sendirinya menjadi ikutan sesetengah masyarakat tempatan terutama yang tidak menganuti seberang kepercayaan dan agama.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok pernah menyatakan keterujaan dengan kehidupan masyarakat Tatana yang banyak dipengaruhi elemen kaum Cina sehinggakan ada di antara segelintir kaum ini bangga merayakan perayaan Tahun Baru Cina.

“Saya fikir ini menjadikan satu keunikan bagi masyarakat Tatana kerana ia tidak berlaku di tempat-tempat lain di Sabah. Ia istimewa dan sungguh unik,” katanya.

Malah, menteri berkenaan telah mencuba sendiri untuk merasai bagaimana keseronokan konsep kunjung-mengunjung atau dipanggil mongkoyou dalam bahasa Tatana, sempena Tahun Baru Cina mengikut amalan kaum ini.

Saya masih ingat di zaman kanak-kanak saya, bagaimana datuk-nenek saya yang turut menyambut perayaan itu membuat persiapan sekurang-kurangnya seminggu sebelum perayaan bagi memastikan suasana kemeriahan sambutan Tahun Baru Cina.

Selain membeli barang-barang keperluan untuk perayaan itu lebih awal, mereka juga sentiasa berusaha menyediakan pakaian baru terutama kepada cucu-cucu mereka pada ketika itu.

Bagi kanak-kanak pula, duit angpow dan mercun adalah sesuatu yang amat menyeronokkan mereka kerana kedua-duanya sememang amat bermakna yang mencerminkan kemeriahan sebenar perayaan itu.

Bagaimanapun keseronokan bermain mercun pada masa silam ketika musim perayaan Tahun Baru Cina tentulah tidak lagi dapat dirasai pada masa sekarang berikutan pengharaman oleh kerajaan mengenainya.

Sabtu, 20 November 2010

PERUNTUKAN ADUN RM1 JUTA MULAI TAHUN DEPAN

Datuk Musa (kanan sekali) bersalaman dengan Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan sambil diperhatikan dua lagi timbalannya, Datuk Yahya Hussin dan Datuk Peter Pang (belakang) di Dewan Undangan Negeri.

Peruntukan tahunan bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan ditambah menjadi RM1 juta mulai tahun depan daripada sebanyak RM 600 ribu sebelum ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman mengumumkan penambahan sebanyak RM400 ribu itu pada pembentangan Bajet 2011 di persidangan DUN di Kota Kinabalu.

Katanya, penambahan peruntukan itu diharap dapat memberikan bantuan kepada golongan sasar di samping menjaga kepentingan mereka.

"Kebajikan orang ramai perlu diberi perhatian serius oleh pihak kerajaan,".


"Saya sedar ada beberapa perkara yang perlu diberi tumpuan. Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri telah bekerja keras untuk mengetengahkan masalah-masalah yang dihadapi rakyat di kawasan mereka," ujar beliau.

Musa yang juga Menteri Kewangan berkata, orang ramai menyandarkan harapan tinggi terhadap kerajaan negeri, oleh kerana itu mandat yang mereka berikan tidak akan disia-siakan malah akan ditatang bagai menatang minyak yang penuh.


Serentak itu, Ketua Menteri mengingatkan setiap Adun supaya memanfaatkan peruntukan tersebut secara bijak, adil dan dapat memberi kepentingan kepada semua pihak.


Katanya, cepat atau lambat, pihak kerajaan akan cuba memenuhi permintaan orang ramai, bak kata pepatah, "kata mesti dikota dan janji mesti ditepati".

"Kebajikan dan kepentingan rakyat merupakan keutamaan kerajaan dan ia juga merupakan kunci kekuatan Barisan Nasional," tegas beliau.

Rabu, 17 November 2010

KM TEMUI RAKYAT DI SANDAKAN

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman bersama-sama masyarakat Islam di Masjid baru Kg. Tinosa 2, Sandakan dan menunaikan solat sunat Aidiladha berjemaah di masjid berkenaan.

Umat Islam menunaikan solat sunat Aidiladha berjemaah di Masjid baru Kg. Tinosa 2, Sandakan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman menunaikan solat sunat Hari Raya Aidiladha bersama-sama umat Islam di Masjid baru Kampung Tinosa 2, Sandakan di sini.

Beliau yang juga Ketua Badan Perhubungan Umno Sabah mengunjungi rumah ketua-ketua daerah dan ketua-ketua cawangan Umno di bahagiannya, Libaran sempena sambutan Aidiladha.

Ini, katanya, untuk mengeratkan hubungan siratulrahim di samping menghayati keberkatan hari yang mulia ini.

Ketua Menteri juga turut menghadiri majlis kenduri kesyukuran Barisan Nasional (BN) Batu Sapi, yang baru-baru ini berjaya mempertahankan kerusi Parlimen kawasan berkenaan melalui calon, Datin Linda Tsen, balu mendiang bekas Anggota Parlimen kawasan itu, Datuk Ir. Edmund Chong.

Musa merupakan Pengarah Operasi BN bagi pilihan raya kecil kawasan Parlimen berkenaan dan membuktikan kepimpinannya untuk menyakinkan rakyat supaya memberi kemenangan kepada BN.

Baru-baru ini, Datin Linda telah mengangkat sumpah sebagai MP baru di kawasan Batu Sapi di Dewan Rakyat dan telah kembali ke kawasannya untuk menemui rakyat di situ.

Ahad, 14 November 2010

SENARAI TERKINI AJK UPKO BAHAGIAN BEAUFORT

Ketua Bahagian, Datuk Wences Angang (dua dari kanan) bersama Timbalan Ketua Bahagian, YB John Teo Mau Sing (kanan sekali), Naib Ketua Bahagian I, Lokman Sunggim (tiga dari kiri). Turut kelihatan ialah Setiausaha Agung Upko, Datuk Wilfred Madius Tangau (tiga dari kanan).

SENARAI AHLI JAWATANKUASA UPKO BAHAGIAN BEAUFORT.

Pengerusi Tetap: Jeprinus Ongkin.

Timbalan Pengerusi Tetap: Hj. Asmat Misrin.

Ketua Bahagian: Datuk Wences Angang.

Timbalan Ketua Bahagian: YB John Teo Mau Sing.

Naib Ketua Bahagian I: Mohd Lokman Sunggim.

Naib Ketua Bahagian II: Monih Epin.

Naib Ketua Bahagian III: Jain Hj. Bisnin.

Naib Ketua Bahagian IV: Jamaludin Henry @ Donatus.

Naib Ketua Bahagian V: Jafari Kunin (Ketua Pemuda).

Naib Ketua Bahagian VI: Datin Maria Johnny (Ketua Wanita).

Setiausaha Bahagian: David Etin.

Penolong Setiausaha Bahagian: Jackson Juin Tanyuh.

Bendahari Bahagian: Thomas Kaling.

Penolong Bendahari Bahagian: Alihassan Hj. Ibrahim.

Ketua Penerangan: Dr. Sining Unchi.

Pen. Ketua Penerangan: Puan Otob Kuin.

Setiausaha Penganjur. Marcellinus A. Piong.

AJK Bahagian:

Jutih Kangan.

Marcus Manak.

Lindah Ensil.

Linda Anthony.

Hj. Rakbi Lukin.

Jaliman Saban.

Agustine Anjut Juntih.

Jaidin Digi.

Peter Kong.

Stephen Asing.

Hj. Abdullah Pandak.

Rajinan Hj. Edin.

Jumah Dulamit.

Setiausaha Kerja: Weldy Throp Hujie.

AHLI JAWATANKUASA PEMUDA UPKO BAHAGIAN BEAUFORT.

Pengerusi Tetap: Weldy T. Hujie.

Timbalan Pengerusi Tetap: Juri Edoh.

Ketua Pemuda: Jafari Kunin.

Timbalan Ketua Pemuda: Fredolin Penggo.

Naib Ketua I; Ferdinand Kimlin.

Naib Ketua II: Rajinan Edin.

Setiausaha: Binzos Ensil.

Penolong Setiausaha: Ibrahim Hj Jabas.

Bendahari: Richard Daniel.

Penolong Bendahari: Anthonnie James.

Ketua Penerangan: Roslin Daud.

Pen. Ketua Penerangan: Michael Gani.

AJK Pemuda:

Rosman Imbang.

Kuil Edoh.

Robson Chin.

Raymond Sinuring.

Justin Jening.

SENARAI AHLI JAWATANKUASA PERGERAKAN WANITA BAHAGIAN.

Ketua Wanita: Datin Maria Johnny.

Timbalan Ketua: Mary Ginturod.

Naib Ketua I: Juameh Lasnih.

Naib Ketua II: Jovita Suilin Tauson.

Setiausaha: Mirina Longgin.

Pen. Setiausaha: Viviana Albinus.

Bendahari: Irenen Jani.

Pen. Bendahari: Ong Mui Lan @ Emilliana Ong.

Ketua Penerangan: Sharmila @ Saimik Pagang.

AJK Wanita:

Mary Jutin.

Patsicia Lunsin.

Kanda Lukin.

Isap Helen Pudin.

Julita Junsin.

Zarina Imbang.

Kasimah Toron.

Laminah Hj. Sawin.

Aminah Sitam.

Rozie Huat @ Amoi.

Shristine Sundang.

Suinah Ahkaw.

Suini @ Rosalind Anim.

Ejis Kuilin.

Parasih Evelyn Siong.

Jane W. Angang.

SENARAI AHLI JAWATANKUASA KOMULAKAN BAHAGIAN:

Ketua Komulakan: Lindah Ensil.

Timbalan Ketua: James Ekoh.

Naib Ketua I: Anderlin Tai Chee Yong.

Naib Ketua II: Edyant Esop.

Setiausaha: Jaccenta Jutih.

Pen. Setiausaha: Donna Justine.

Bendahari: Francis GK Massih.

Pen. Bendahari: Art Donaire Ralph.

Ketua Penerangan: Mary Grace Marcellinus.

Pen. Ketua Penerangan: Evlynna Esop.

AJK Komulakan:

Bibiana Justine.

Jessyna Kulih.

Elexson Esop.

Flordiliza Justin.

Petronilla Tai Chee Yong.

Rosarie John.

Monita Kassim.

Jefriddy Kulih.

EX-USNO AKHIRNYA "TUTUP KEDAI"

BUBAR...Datu Badaruddin (kanan sekali) bersama ahli jawatankuasa Ex-Usno yang lain pada mesyuarat pembubaran pertubuhan itu.

Pertubuhan Bekas Ahli Usno atau lebih dikenali Ex-Usno, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dibubarkan secara rasmi pada Sabtu.

Pembubaran itu dilakukan pada satu mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presidennya, Datu Badaruddin Tun Datu Haji Mustapha di salah sebuah hotel di Kota Kinabalu.


Bagaimanapun tidak ada sebarang alasan diberikan oleh bekas presiden yang mendorong terhadap pembubaran pertubuhan itu, yang sebelum ini difahamkan dijadikan landasan bekas ahli-ahli Usno untuk meneruskan perjuangan mereka.


Usno, sebuah pertubuhan politik yang dipimpin oleh Allahyarham Tun Datu Haji Mustapha Harun, ayah kepada Badaruddin dan pernah memerintah negeri dibubarkan pada tahun 90-an bagi memberi laluan kepada Umno yang mengembangkan sayapnya ke Sabah ketika itu.

Bekas Setiausaha Agung Ex-Usno, Abdullah Sani Haji Abdul Salleh memberitahu, ekoran pembubaran itu, pihaknya akan mengemukakan surat makluman kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan di Putrajaya dan pejabat Pendaftar Pertubuhan di Kota Kinabalu.


Ex-Usno telah didaftarkan dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan pada tahun 2007 sebagai sebuah NGO bukan politik. Namun begitu, banyak pihak melihat usaha pertubuhan itu untuk menarik minat bekas-bekas ahli Usno untuk menyertainya sebelum ini sebagai langkah untuk menyemarakkan semula semangat Usno kerana sebahagian besar daripada mereka dikatakan merasakan diri disisihkan.


Bagaimanapun keputusan mendadak yang diambil Presidennya untuk membubarkan badan yang berusia kira-kira tiga tahun ini menimbulkan banyak tanda tanya sekali gus mengundang spekulasi.

Ramai pihak berpendapat apa pun perkembangan yang berlaku pastinya selepas ini lambat laun akan terbongkar juga rahsia sebenar yang membawa kepada pembubaran Ex-Usno.