Selasa, 26 Januari 2010

KERETA SAPU VS PENGUSAHA TULEN, TUNGGU WISEL PIHAK BERKUASA?

Memang rasa pelik juga situasi pengangkutan awam di negeri ini. Ada sesetengah tempat, bas yang mempunyai permit yang sah bilangannya kecil berbanding daripada kereta sapu.

Pengusaha kereta haram ini bukan sahaja nak sapu penumpang, malah yang teruknya kenderaan mereka tidak memiliki insurans dan cukai jalan. Semuanya main sapu dan main hentam sahaja.

Tentu yang tecabar ialah pihak penguatkuasaan. Selain bikin pening kepala, pegawai terbabit terus tercari-cari apa agaknya pendekatan yang terbaik untuk membendung kegiatan tersebut yang bukan sahaja berlaku di kampung-kampung, malah berleluasa di pekan-pekan.

Yang teruknya, gejala tersebut turut menular ke bandar-bandar termasuklah bandaraya Kota Kinabalu.


Seorang pengusaha bas di Inanam, Norman Abdullah adalah antara pengusaha tulen yang merungut dan terasa bahang kegiatan kereta sapu terutama di Jalan Kionsom dan pekan Inanam, yang beliau dakwa begitu menjejaskan pendapatan pengusaha berpermit.

Menurut Norman, yang juga Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Bumiputera Sabah (PPBBS) cawangan Inanam berkata, bilangan kereta sapu yang beroperasi di Jalan Kionsom ke pekan Inanam tiga kali ganda banyaknya dengan bas yang berpermit iaitu lebih 60 kereta sapu berbanding hanya terdapat lebih 20 bas yang menjalankan perkhidmatan secara sah.

"Bayangkanlah keadaan ini, pengusaha tulen terhimpit oleh kereta haram dan sudah tentulah pendapatan pengusaha bas terbabit terjejas teruk. Bagaimana pengusaha tulen ini mahu survive
jika tidak tindakan drastik daripada pihak penguatkuasaan untuk menanganinya," kata beliau.

Pengerusi PPBBS cawangan Inanam itu, berkata pihaknya sudah mengemukakan aduan rasmi kepada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), polis trafik dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) beberapa kali termasuk yang terakhir pada September tahun lepas namun kegiatan itu masih berleluasa sehingga sekarang.

Katanya, aduan itu turut disertai dengan senarai nombor pendaftaran kenderaan yang dikenal pasti digunakan sebagai kereta sapu selain disertai gambar-gambar berkaitan untuk membuktikan betapa seriusnya kegiatan itu di kawasan berkenaan.

Malangnya, tambah beliau, kegiatan tersebut tiada tanda-tanda perubahan kerana kegiatan haram itu masih terus mengancam pengusaha bas tulen sehinggakan pengusaha terbabit tidak tahu apa lagi yang hendak dilakukan untuk menyakinkan pihak berkuasa tentang kegiatan itu yang benar-benar menjejaskan pendapatan mereka.

"Kita sebenarnya sudah buntuh kerana aduan sudah dibuat tetapi pihak berkuasa seolah-olah tidak dapat mencari jalan penyelesaian kepada kemelut ini," tegas beliau.

Sehubungan itu, Norman mengulangi gesaannya supaya pihak berkuasa terutama JPJ, polis trafik dan LPKP memandang serius masalah itu dan berusaha membanterasnya agar nasib pengusaha tulen bukan sahaja dapat dilindungi tetapi pada masa yang sama "membersihkan" kegiatan haram itu daripada terus menghantui mereka.

"Kita percaya pihak berkuasa berupaya mengatasi gejala kereta sapu ini. Cumanya mereka perlulah melihat masalah ini sesuatu yang serius dan mengambil tindakan yang sepatutnya," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan