Selasa, 12 Januari 2010

KP PEKAN TERBERSIH, RUMITNYA PERTAHAN GELARAN!

Tahniah kepada Majlis Daerah Kuala Penyu (MDKP) atas kejayaan memenangi Anugerah Pekan Terbersih 2009 di Sabah anjuran Kementerian Pelancongan, Alam Sekitar dan Kebudayaan Sabah, tahun lepas.

Ekoran kejayaan itu, baru-baru ini, MDKP mengadakan Malam Seribu Kenangan di salah sebuah hotel di 1Borneo bagi meraikan kemenangan itu sekali gus memberi penghargaan kepada kakitangannya khususnya di peringkat rendah yang menunjukkan prestasi kerja cemerlang.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Panglima Lajim Ukin dan turut dihadiri Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Penyu, John Teo Mau Sing.

Lajim yang juga Anggota Parlimen kawasan Beaufort menunjukkan komitmen untuk menghadiri majlis tersebut dan bergegas balik ke Sabah dari Kuala Lumpur pada sebelah petang walaupun pada sebelah pagi, beliau baru sahaja berlepas dari Kota Kinabalu ke ibu negara.

Saya tabik keprihatinan yang ditunjukkan oleh pemimpin ini kerana semata-mata mahu bersama-sama dengan pengurusan dan staf MDKP meraikan kejayaan daerah itu untuk memenangi gelaran Pekan Terbersih di negeri ini, beliau sanggup mengorban masa untuk terbang balik ke Sabah. Tidak ramai individu yang memiliki jiwa seperti ini.

Sambil mengucapkan penghargaan di atas kejayaan MDKP memenangi anugerah itu, Timbalan Menteri itu yang juga dikenali ramai dengan gelaran Janang Gayuh meminta pengurusan dan kakitangan majlis daerah berkenaan untuk memastikan pekan berkenaan benar-benar bersih bukan sekadar untuk mengharapkan gelaran yang dikecapi.

"Kita mahu pekan Kuala Penyu akan terus dipastikan kebersihannya secara berterusan," kata beliau yang berharap agar gelaran Pekan Terbersih dapat dipertahankan.

Pesanan Datuk Seri Lajim itu mengingatkan saya kepada kata-kata Pegawai Daerah Kuala Penyu yang juga Pengerusi MDKP, Edmund Teo dalam satu mesyuarat penuh majlis baru-baru ini bahawa, "mempertahankan gelaran itu lebih sukar daripada memenangi anugerah tersebut."

Menurutnya, "untuk memenangi anugerah tersebut memang susah namun untuk mempertahankan kemenangan itu, saya fikir lagilah susah."

Apa pun, kita semua termasuk anggota majlis daerah dan kakitangan majlis hendaklah berusaha dan menunjukkan iltizam bahawa kita akan cuba mempertahankan anugerah yang dimenangi ini demi warga Kuala Penyu, tambahnya.

Pada majlis Malam Seribu Kenangan, Lajim turut menyatakan bahawa daerah Kuala Penyu walaupun agak terpencil terletak di penghujung pedalaman bawah namun daerah berkenaan tidak dipinggirkan untuk menerima limpahan pembangunan dari kerajaan.

Selain sudah memilik hopital baru, balai bomba, bangunan sekolah baru, Kuala Penyu juga bakal mendapat sebuah jambatan Sitompok yang sudah pun dipanggil tender dan hanya menunggu pelantikan kontraktor pelaksana.

"Sebaik sahaja kontraktor dilantik, kita berharap kerja-kerja pembinaan dapat dilaksanakan pada tahun ini," katanya.

Dengan pembinaan jambatan Sitompok itu kelak, ia bukan sahaja sesuatu yang dinanti-nantikan warga pekan ini sejak sekian lama, malah ia sekali gus akan menamatkan perkhidmatan feri di Kuala Penyu, satu-satunya perkhidmatan feri yang masih beroperasi di Sabah.

Adun Kuala Penyu, John Teo sebelum ini pernah menimbulkan cerita feri ini pada persidangan Dewan Undangan Negeri bahawa gara-gara kelewatan perkhidmatan feri, seorang pesakit yang dibawa ke hospital tidak sempat mendapatkan rawatan kerana telah meninggal dunia ketika dalam perjalanan di dalam feri.

Mungkin terdapat keperluan mendesak untuk menyegerakan pembinaan jambatan tersebut dan sekali gus mengakhiri perkhidmatan feri yang membosankan penduduk di pekan ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan