Sabtu, 23 Januari 2010

PKTS PLATFORM TONJOL ADAT DAN BUDAYA ETNIK TATANA

Peserta kumpulan budaya Tatana yang menyertai pertandingan sempena Odou Bakanjar bergambar bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman.
Tarian bakanjar yang diwarisi kaum Tatana.

Impian masyarakat Tatana, suku kaum minoriti Kadazandusun di Sabah untuk mengenali dan memperkasakan kebudayaan yang diwarisi daripada nenek moyang serta kehidupan mereka mungkin boleh menjadi kenyataan melalui pewujudan Persatuan Kebudayaan Tatana Sabah (PKTS) yang akan menaungi etnik berkenaan.

Persatuan itu sudah mendapat kelulusan pendaftaran dari Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS. Bekas Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Wences Angang telah mengilhamkan pewujudan badan ini pada peringkat awalnya dan menjadi penggerak merealisasikannya.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Kebudayaan Sabah (LKS) memberitahu, sudah tiba masanya masyarakat Tatana yang majoritinya menetap di Kuala Penyu selain terdapat sebilangan kecil di daerah Membakut dan Klias mempunyai badan sedemikian yang dapat memfokus kajian dan penyelidikan tentang kebudayaan dan corak kehidupan mereka warisi zaman berzaman.

Walaupun suku kaum Tatana sebelum ini berpayung dengan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) yang diterajui Huguon Siou, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan namun ramai kalangan warga masyarakat itu mahu melihat kewujudan sebuah badan yang benar-benar berupaya menonjol keunikan budaya Tatana dengan pembabitan menyeluruh etnik tersebut.

Oleh kerana itu, penubuhan PKTS sememangnya tepat pada masanya kerana inilah menjadi impian dan harapan kalangan pemimpin suku kaum itu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kerjaya dan pengalaman.

Ini bukan bermakna suku kaum Tatana berhasrat memisahkan dirinya daripada naungan KDCA yang begitu lama memainkan peranan terhadap kaum berkenaan namun ini mungkin menjadi satu transformasi bagi masyarakat itu yang mahu berdikari dan merasakan sudah tiba masanya untuk mereka mempunyai badan yang lebih menitikberatkan harapan dan aspirasi mereka sendiri.

Secara peribadi, saya sangat mengalu-alukan kewujudan PKTS. Tahniah kepada Tan Sri Wences yang mengilhamkan penubuhannya serta rakan-rakan lain yang turut memberi sokongan sehingga PKTS menjadi realiti bagi suku kaum Tatana.

Sudah tentunya persatuan ini dianggotai golongan ilmuan dan berpengalaman daripada kalangan masyarakat Tatana yang sentiasa bersedia berkongsi idea dan kepakaran masing-masing bagi memastikan kewujudannya dapat dirasai komuniti itu sendiri.


Selain ia dapat berfungsi untuk menjalankan kajian kebudayaan Tatana, yang pada saya banyak keunikannya yang wajar "diselongkar", dibuat penyelidikan dan didedahkan kepada masyarakat umum. Ini termasuklah mungkin membukukan keunikan budayanya untuk tatapan generasi baru komuniti Tatana selain menjadi bahan rujukan kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk mengetahui tentang budaya dan kehidupan suku kaum ini. 

Mudah-mudahan dengan gandingan kerjasama kalangan pemimpin, golongan profesional, ilmuan, budayawan dan anggota masyarakat Tatana yang mencintai identiti bangsanya akan dapat merealisasikan impian dan harapan untuk mentransformasikan keunikan kaum ini kepada masyarakat luar.

Realitinya kewujudan PKTS dengan sokongan dan kerjasama baik komuniti ini telah berjaya mengadakan pesta Odou Bakanjar kali yang keempat di pekan Kuala Penyu yang disempurnakan perasmiannya oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman, baru-baru ini.

Menerusi Odou Bakanjar, tarian-tarian tradisi serta adat budaya masyarakat ini yang selama ini kian terhakis dapat ditonjol dan disegarkan kembali untuk menjadi tatapan generasi baru etnik Tatana bersama komuniti yang lain.

Sokongan baik kerajaan negeri dengan membantu menyediakan bantuan berupa dana penganjuran serta tabung persatuan membolehkan adat budaya silam kaum Tatana ini sudah tentu dapat terus diperkembangkan secara lebih meluas.

Kita berharap PKTS akan mampu berfungsi seperti asalnya dan tidak mudah diresapi elemen-elemen lain demi mengambil kira kepentingan menyeluruh etnik Tatana itu sendiri.
NOSTALGIA...rumah tradisi kaum Tatana yang dirakam pada tahun 1908.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan