Rabu, 10 Februari 2010

SYOR WUJUDKAN PEJABAT LPKP DI WP LABUAN

Persatuan Pengusaha Bas Bumiputera Sabah (PPBBS) menyuarakan sokongan supaya pejabat Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) diwujudkan di pulau itu berikutan permintaan pengusaha-pengusaha pengangkutan awam yang menghadapi kesulitan untuk berurusan dengan agensi tersebut.

Masalah yang dihadapi pengusaha terbabit diluahkan Persatuan Pemilik dan Pengusaha Teksi Labuan dan Persatuan Pemilik dan Pengusaha Bas Labuan, yang meminta LPKP supaya membuka pejabatnya di WP Labuan.

Ketiadaan pejabat agensi itu menyebabkan pengusaha bas dan teksi terpaksa pergi ke pejabat LPKP di Kota Kinabalu untuk melakukan urusan yang disifatkan Pengerusi Pemilik dan Pengusaha Teksi Labuan, Omar Misir sebagai menyusah dan membebankan pengusaha.

Setiausaha Agung PPBBS, Haji Awang Dullah ketika menyatakan sokongan PPBBS terhadap permintaan supaya diwujudkan pejabat agensi itu WP Labuan, berkata memang terdapat keperluan bagi pembukaan pejabat tersebut bagi memudahkan pengusaha terbabit berurusan dengan LPKP.

"Kita dapat bayangkan kesukaran mereka jika terpaksa turun ke Kota Kinabalu jika ada sesuatu urusan berkaitan dengan pejabat LPKP. Dalam era kemajuan teknologi masakini, sebarang kesulitan mungkin boleh dielakkan jika terdapat pejabat LPKP itu di WP Labuan," katanya.

Laporan media tempatan menyebut bahawa 20 pemandu bas dan teksi terpaksa mengorbankan kos RM300 seorang selain membazirkan banyak masalah semata-mata pergi pejabat LPKP di Kota Kinabalu bagi mendapatkan semula kad pemandu mereka yang ditahan pihak penguatkuasa agensi dalam operasi mengejut yang dilakukan sebelum ini.

Hasil daripada keperitan itu mendorong kedua-dua persatuan, bas dan teksi di WP Labuan meminta kerajaan supaya mewujudkan pejabat agensi itu di pulau berkenaan.

"Untuk berlaku adil dan semangat bertimbang rasa, ada kewajaran diwujudkan pejabat agensi tersebut di situ untuk membolehkan pengusaha-pengusaha tidak lagi terpaksa membuang banyak masa, tenaga dan wang ringgit untuk pergi ke Kota Kinabalu," tegas Haji Awang.

Beliau percaya Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk V.K Liew yang juga pemimpin tertinggi Parti Liberal Demokratik (LDP) dapat melihat keperluan itu sebagai sesuatu yang perlu diberi perhatian serius sejajar dengan tanggungjawab beliau untuk memantau LPKP Sabah dan Sarawak.