Isnin, 17 Mei 2010

LEBIH 500 BAS MINI DIHENTIKAN PERKHIDMATAN MENJELANG 2012

Lebih 500 bas mini yang berkapasiiti 12 penumpang akan terpaksa menamatkan perkhidmatan mereka ke bandaraya Kota Kinabalu berikutan keputusan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah untuk tidak lagi memperbaharui permit bas mini terbabit menjelang tahun 2012.

Pemilik permit terlibat mendapati tempoh sah permit BM mereka hanya berkuatkuasa untuk jangka masa dua tahun lagi dan rata-rata mereka sudah dapat merasakan kesukaran yang bakal dihadapi.

Walaupun ada di antara pengusaha tersebut berhasrat untuk merayu namun LPKP Sabah sehingga ini pasti tidak berganjak daripada keputusan mereka. Lebih-lebih lagi apabila Dewan Bandaraya Kota Kinabalu sentiasa memberi sokongan terhadap langkah kerajaan itu.

DBKK pada dasarnya mencadang dan merestui keputusan LPKP untuk menghentikan perkhidmatan bas mini 12 penumpang, malah pihak berkuasa tempatan itulah yang paling lantang bagi melakukan perubahan sistem pengangkutan awam di bandaraya ini.

Kerana itu, LPKP selaku badan yang mengeluarkan permit untuk perkhidmatan pengangkutan awam dilihat tidak mempunyai banyak pilihan selain terpaksa akur dengan desakan DBKK untuk menamatkan perkhidmatan bas mini ke bandaraya Kota Kinabalu pada masa yang ditetapkan itu.

Para pengusaha bas mini yang jumlahnya agak besar melebihi 500 itu kini dapat membayangkan masa depan mereka yang suram sekiranya pihak kerajaan meneruskan langkah menghentikan perkhidmatan mereka.

Nasib mereka sangat bergantung dengan keprihatinan kerajaan untuk melihat semula masalah yang bakal mereka hadapi, apalagi jika kesungguhan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang ingin menyelami denyut nadi rakyat melalui gagasan 1Malaysia yang diilhamkannya sebelum ini.

Ada di kalangan pengusaha terlibat mahu kerajaan menimbangkan keputusan untuk menghentikan perkhidmatan bas mini 12 penumpang atau paling tidak menangguhkan pelaksanaan untuk tempoh beberapa tahun lagi memandangkan ramai di kalangan mereka tidak mempunyai kemampuan untuk mendapatkan bas yang berkapasiti lebih besar.

Persatuan Pengusaha Bas Bumiputera Sabah (PPBBS) mengakui bahawa keputusan kerajaan itu bakal memberi impak yang besar kepada pengusaha terbabit dan ini mengundangkan kebijaksanaan kerajaan untuk menyelesaikan masalah itu sebelum pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan untuk mengekploitasikannya menjadi isu dalam pilihan raya akan datang.

Ketua Penerangannya, Abdul Rahman Piut membayangkan bahawa masalah itu bakal menjadi isu panas dalam pilihan raya nanti jika pihak kerajaan tidak bijak untuk menanganinya.

"Bagi kami, perkara ini seharusnya diberi perhatian kerajaan kerana pengusaha terlibat sudah dapat membayangkan nasib mereka akan bakal terjejas teruk. Bilangan mereka pula ramai sebab itu kita mengharapkan penyelesaian terbaik oleh pihak kerajaan," katanya.

Rahman berkata, sekiranya masalah itu gagal diselesaikan dan keputusan tetap juga diteruskan maka kerajaan perlu menimbangkan bagi memberi pampasan yang munasabah kepada mereka yang terlibat.

Katanya, pihak persatuan akan menyokong sebarang usaha yang dilakukan kerajaan untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.