Sabtu, 28 Ogos 2010

UPKO PERLU KERJASAMA UMNO DI DUN K. PENYU

LOKMAN...sumbangan Umno dan PBS wajar dihargai kerana komitmen mereka menyumbang kepada kejayaan BN di DUN Kuala Penyu dalam pilihan raya.

Selaku seorang pemimpin dalam Upko Bahagian Beaufort (sebelum ini dikenali Upko Bahagian Kuala Penyu), saya merasakan kerjasama akrab dan sokongan baik rakan-rakan dalam komponen Barisan Nasional (BN) di bahagian Beaufort adalah amat penting dalam memastikan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Penyu terus dapat dipertahankan pada pilihan raya akan datang.

Sebab itu, semua pemimpin dan anggota dalam gabungan ini haruslah mengelakkan sebarang pergeseran sebaliknya menumpukan perhatian dalam mengeratkan hubungan dan kerajasama demi kebaikan BN.


Secara peribadi, saya melihat jalinan kerjasama dan interaksi di kalangan pemimpin dan anggota dalam gabungan ini seelok-eloknya perlu dipererat dan dimantapkan lagi kerana ini semua akan membantu dalam usaha mengekalkan kerusi "panas" Kuala Penyu dapat dikekalkan dalam genggaman BN.

Mungkin, bukanlah sesuatu yang sangat janggal jika Upko berterima kasih dengan rakan-rakan kita terutama dari Umno, sebuah parti tonggak pemerintahan kerajaan BN selain PBS, yang kedua-duanya banyak membantu Upko merampas semula kerusi Dun Kuala Penyu, yang terlepas kepada calon Bebas pada pilihan raya umum negeri 2004.


Mujur kuota ini masih terus diberikan kepada Upko yang sudah tentu memberi peluang untuk menebus kesilapan, jika ada, ketika mengharungi pilihan raya pada 2004. Secara kebetulan pula, Upko yang mewakili semula BN di kerusi ini mampu memenanginya semula dengan sokongan rakan-rakan dari Umno dan PBS.


Wakil Rakyat, YB John Teo, seorang muka baru dalam pentas politik boleh dianggap orang yang bernasib baik kerana tidak pernah membayangkan untuk menjadi calon, mendapat peluang keemasan itu dan dengan izin Allah S.W.T telah berjaya memenangi kerusi Dun Kuala Penyu walaupun di peringkat awal kempen menerima tentangan sengit calon Bebas, John O.T Ghani.

Dengan menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat, John Teo sudah tentu tidak terlepas dengan pelbagai rintangan dan cabaran yang terpaksa ditempuhi dengan hati yang tabah dan cekal.


Pada saya, YB John Teo telah berusaha sedaya yang termampu olehnya untuk menjadi seorang pemimpin dan Adun dengan pendekatan beliau sendiri. Sama ada usaha-usaha yang dilakukan itu dapat memenuhi kehendak oleh rakyat yang diwakilinya, bukanlah individu yang membuat ukuran tetapi biarlah rakyat sendiri membuat penilaian sepenuh.

Adalah adil sekiranya kita memberi peluang kepada YB John melakukan sesuatu yang terbaik untuk rakyat yang mengundinya kerana merekalah pengadil yang terbaik.
Apa pun komen, teguran dan rungutan yang kedengaran, ia adalah lumrah dalam kamus kehidupan seorang wakil rakyat.

Yang nyata, tidak semua kehendak dan aspirasi rakyat mampu dipenuhi oleh seseorang YB dan John Teo sendiri sudah tentu tidak terlepas daripada perkiraaan ini.
Menjadi harapan kita bahawa YB ini mungkin perlu menyemak hal-hal yang kurang disenangi rakyat dan lantas berusaha untuk memperbaiki keadaan suapaya ia bukan sahaja baik bagi dirinya sebagai YB tetapi juga demi menegak imej Upko di mata rakyat di Kuala Penyu.

Pada saya, Kuala Penyu sebenarnya merupakan kubu kuat BN. Maknanya bukan mudah untuk parti pembangkang memiliki kerusi ini sekiranya pemimpin yang menjadi sandaran mereka berupaya memikul amanah sebagaimana yang menjadi impian rakyat.

Namun begitu, jika berlaku sebarang kepincangan, apalagi terdapat elemen yang kurang memuaskan hati rakan-rakan dalam gabungan, maka ini boleh mengakibatkan kekuatan BN tidak dapat dimanfaat semaksima mungkin. Tentulah natijahnya kurang baik.

Sejujurnya, apa yang dilakukan oleh Umno untuk membantu kempen calon BN di Kuala Penyu sebelum ini sewajarnya amat kita hargai. Dengan kerjasama dan sokongan mereka bagi menggerak jentera pilihan raya BN sangat jelas menyumbangkan terhadap kejayaan calon BN.


Saya fikir seluruh warga Upko di Bahagian Beaufort harus menyedari hakikat ini supaya kita tidak terlalu melihat situasi ini sebaliknya. Kita harus positif setiap saat dan ketika dan adalah tidak manis jika kita hanya mengenali sahabat ketika kita memerlukan mereka terutama apabila kita berada di medan "pertempuran".


Saya berharap Upko ini akan sentiasa menjadi sahabat kepada Umno dan PBS baik di ketika susah mahupun senang. Ini baru dikatakan sahabat sejati. Umpamanya kalau YB mendapat kek, biarlah rakan-rakan kita diajak untuk berkongsi merasakan kek tersebut biarpun mungkin dalam belahan kecil.

Dalam hal ini, pendekatan Pengerusi BN Bahagian Beaufort yang Anggota Parlimen Beaufort, Datuk Seri Lajim Haji Ukin boleh kita contohi. Beliau bukan sahaja sangat menghargai pengorbanan rakyat yang mengundinya tetapi dia berusaha mengingati sahabat-sahabat dalam teraju kepimpinan BN bahagian di tahap selayaknya.


Pada saya, Datuk Janang Gayuh telah meletakkan asas yang baik yang boleh dijadikan teladan dalam menyakinkan sokongan rakyat kepada BN di kawasan Parlimen Beaufort. Usaha-usaha yang diambil beliau sebenarnya turut menempias hingga ke kawasan Dun

Kuala Penyu, secara kebetulan salah satu kawasan di Parlimen yang beliau wakili. Peruntukan-peruntukan bagi projek pembangunan infrastruktur sama ada yang diperoleh daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan atau menerusi peruntukan Parlimen.


Mudah-mudahan kerja-kerja baik yang dibawa oleh Datuk Janang ini memberi inspirasi kepada pemimpin golongan muda membuat persiapan untuk tampil menjadi penerus kesinambungan kepimpinan yang disukai rakyat.


Pada masa yang sama diharapkan kepimpinan tertinggi BN dan parti haruslah mempunyai kesediaan untuk mendengar pandangan akar umbi tentang aspirasi mereka terhadap seorang bakal calon, yang akan mengibarkan cabaran BN dalam pilihan raya umum ke-13 kelak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan