Ahad, 5 September 2010

PENDEKATAN BARU SAMBUT PESTA RUMBIA?



Gambar atas; Kelihatan beberapa Anggota Majlis Daerah Kuala Penyu dan ketua jabatan kerajaan di Kuala Penyu mendengar taklimat berhubung Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, yang disampaikan sendiri oleh timbalan menterinya, Datuk Seri Panglima Lajim Haji Ukin di kementerian berkenaan di Damansara, Kuala Lumpur.

Gambar bawah; Datuk Lajim (duduk tengah) bersama rombongan Majlis Daerah Kuala Penyu bergambar kenangan di kementeriannya ketika rombongan tersebut melawat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.



Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Panglima Lajim Haji Ukin menyarankan Pejabat Daerah Kuala Penyu supaya melakukan perubahan bagi sambutan perayaan Pesta Rumbia di daerah berkenaan pada masa akan datang.

Katanya, perubahan baru bagi sambutan pesta perlu dilakukan bagi membolehkan ia dapat menarik lebih ramai pelawat dari luar terutama pelancong asing datang menyaksikan pesta tersebut.

Menurut beliau, pesta yang diadakan setiap tahun ini masih gagal menarik perhatian pelancong asing walaupun perayaan itu sudah terkandung dalam kalender pelancongan di Sabah.

"Justeru, kita perlu melakukan perubahan supaya pesta ini mampu menarik lebih ramai pelancong asing untuk datang ke daerah Kuala Penyu," katanya pada satu majlis jamuan makan malam meraikan rombongan MDKP di Hotel Adamson, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Lajim berkata, bagi membolehkan perkara itu diberi perhatian serius, pihaknya sudah mengarahkan Pegawai Daerah Kuala Penyu, Edmund Teo untuk memikirkan pendekatan baru yang boleh diambil bagi menarik perhatian pelancong asing datang ke daerah berkenaan.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Beaufort berkata, sekiranya usaha menarik kedatangan pelancong asing ke Kuala Penyu berjaya, ini akan membantu meningkatkan kegiataan ekonomi di daerah tersebut dan ini sudah tentu memberi manfaat kepada penduduk setempat.

Katanya, anggota-anggota majlis juga harus tampil memberi idea bagi menjayakan usaha tersebut demi kebaikan rakyat di Kuala Penyu.

"Saya fikir kita boleh menggamit perhatian pelancong asing sekiranya kita berupaya mengadakan aktiviti yang mampu mendorong pelancong ke daerah berkenaan, lebih-lebih daerah Kuala Penyu sendiri mempunyai tempatan pelancongan dan pantai yang menarik," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan