Isnin, 20 September 2010

MASALAH AIR DI K. PENYU TIADA PENGHUJUNG...?

BN BEAUFORT...Pengerusi Barisan Nasional Bahagian Beaufort yang juga MP kawasan Beaufort, Datuk Seri Lajim Haji Ukin (duduk lima dari kiri) bersama beberapa anggota jawatankuasa BN bahagian berkenaan ketika turut berkempen dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor tidak lama dulu. Turut kelihatan Isnin Aliasnih dari Umno (lima dari kanan), Lokman Sunggim dari Upko (empat dari kanan), James Digi (PBS), Ishak Haji Ibrahim, Ketua Pemuda Umno Beaufort (dua dari kanan), Saridah Datuk Seri Mohd Dun, Ketua Puteri Umno Beaufort (tiga dari kiri) dan wakil MCA dan Gerakan.

Masalah paling kritikal yang sering dihadapi penduduk di Kuala Penyu termasuk di daerah kecil Menumbok ialah mendapat bekalan air bersih yang mencukupi. Keadaan lebih menyedihkan apabila ketiadaan bekalan air berlaku pada musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Krismas dan Tahun Baru Cina.

Boleh dikatakan setiap kali musim perayaan, penduduk di kedua-kedua kawasan sentiasa diselubungi resah kerana terpaksa berhadapan dengan masalah air untuk keperluan harian mereka.

Situasi ini sudah wujud berabad lamanya walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh para pemimpin untuk menyuarakan masalah tersebut.

Saya masih ingat bagaimana bekas Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Infrastrukur, Datuk Wences Angang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menyakinkan Kerajaan Pusat ketika beliau masih menganggotai kabinet negeri untuk memberi peruntukan bagi menangani masalah air di Kuala Penyu dan Menumbok serta di daerah-daerah lain di Sabah.

Wences yang juga ketika itu Adun Kuala Penyu telah beberapa kali menemui Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S. Samy Vellu dan hasilnya beliau berjaya mendapatkan peruntukan bagi mengatasi masalah air di Kuala Penyu dan Menumbok bernilai RM38 juta selain memperoleh peruntukan bagi tujuan yang sama di daerah Kudat dan Sandakan.

Saya mengetahui semua ini kerana ketika itu saya bertugas sebagai Setiausaha Akhbar kepada beliau dan sering bersama beliau berulang-alik ke Kuala Lumpur untuk urusan tersebut.

Memang diakui ia merupakan sumbangan besar Datuk Wences kepada rakyat di Kuala Penyu selain beliau juga mengilhamkan cadangan supaya Kerajaan Pusat menyediakan peruntukan untuk pembinaan Jambatan Sitompok, yang baru menjadi kenyataan dan pembinaannya dimulakan awal tahun ini.

Bagaimanapun, yang sangat menghairankan walaupun peruntukan RM38 juta sudah dilaksanakan bagi menangani masalah air tersebut tetapi daerah Kuala Penyu dan Menumbok terus menghadapi masalah itu, yang seolah-olah ia tiada penghujung dan tiada penyelesaian mutlak.

Apakah dengan peruntukan begitu besar tidak mampu menyelesaikan masalah tersebut? Hanya Jabatan Air Negeri sahaja yang boleh menjawab persoalan ini.

Masalah air ini bukan sahaja menjadi isu dalam pilihan raya malah ia kerap kali dibincang dalam sesi dialog, mesyuarat pembangunan daerah dan Majlis Daerah tetapi cerita tetap sama, tiada penyelesaian konkrit.

Ketika dalam mesyuarat penuh Majlis Daerah sebelum ini, masalah ini telah menjadi perbincangan hangat hinggakan anggota-anggota majlis telah mengambil ketetapan supaya Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah harus datang ke Kuala Penyu untuk memberi penjelasan tentang apakah masalah yang sebenar menyebabkan jabatan itu tidak mampu mengatasi masalah tersebut.

Pengarah berkenaan sehingga ini belum turun padang untuk berbuat demikian walaupun undangan sudah dikemukakan kepada beliau. Maknanya, rakyat Kuala Penyu dan Menumbok masih berterusan diselubungi seribu persoalan dan tanda tanya.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Anggota Parlimen Beaufort, Datuk Seri Lajim Haji Ukin sekali lagi membangkitkan masalah air di Kuala Penyu dan Menumbok kerana sudah tidak larat lagi melihat kesukaran yang terpaksa ditempuhi penduduk, lebih-lebih lagi di musim perayaan Aidilfitri ini.

Pengerusi BN Bahagian Beaufort itu sudah tidak dapat menahan perasaan dengan menyatakan apa sudah yang dibuat dengan peruntukan RM30 juta (sebenarnya RM38 juta) kenapa masalah air ini masih terus menghantui penduduk di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, ke mana pegawai-pegawai Jabatan Air dan juruteranya, kenapa mereka tidak berusaha mencari jalan untuk membantu menyelesaikan masalah yang berlaku sudah berabad lamanya.

"Saya ada gambar-gambar bahawa loji yang sepatutnya membekalkan air tetapi tidak berfungsi untuk membuktikan semua ini," katanya dengan nada kesal.

Kita percaya teguran keras seperti ini perlu membuka mata dan hati para pegawai Jabatan Air memandangkan masalah air di Kuala Penyu dan Menumbok ini sudah sampai ke tahap yang boleh menghilangkan kesabaran penduduk jika terus dibiarkan tiada penghujungnya.

Kena buka mata untuk melihat apa sebenarnya punca masalah lantas mengambil tindakan sewajarnya dan kena buka hati supaya Jabatan Air mempunyai perasaan bertimbang rasa terhadap masalah yang terlalu lama menghantui kehidupan penduduk.







Tiada ulasan:

Catat Ulasan