Ahad, 31 Oktober 2010

BN DAN SAPP BERSAING PIKAT PENGUNDI

SALAM DENGAN PENYOKONG...calon BN, Datin Linda Tsen bersalaman dengan para penyokong dalam satu majlis kempen bagi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi.

GELAGAT PENYOKONG...para penyokong calon SAPP, Datuk Yong Teck Lee dengan gelagat tersendiri dalam kempen mereka.


Sekalipun pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi membabitkan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Datin Linda Tsen, calon SAPP, Datuk Yong Teck Lee dan Ansari Abdullah dari PKR, ramai pihak berpendapat bahawa persaingan lebih ketara antara calon BN dan calon SAPP sahaja ketika saat-saat penantian pembuangan undi semakin menghampiri penghujungnya.

Ini berdasarkan sokongan pengundi terhadap kedua-dua pihak di mana calon BN, Datin Linda Tsen dikatakan cuba menarik sekurang-kurangnya 60 peratus pengundi Bumiputera Islam dan 40 pengundi Cina manakala taiko Datuk Yong Teck Lee mengharapkan sokongan 70 peratus pengundi Cina dengan 30 pengundi Islam memihak kepadanya.

Persaingan kedua-dua calon ini untuk meraihkan sokongan pengundi seolah-olah memaksa seorang lagi calon, Ansari Abdullah dari PKR tersepit dalam usaha mereka untuk menyertai persaingan mempengaruhi pengundi dengan harapan untuk menyebelahinya.

Sebab itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, penasihat umum PKR terpaksa turun ke gelanggang untuk membantu kempen calon mereka, yang sehingga ini tidak dapat diramalkan kesannya kepada rakyat di kawasan Batu Sapi.

Dalam perkembangan lain, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman tidak menyahut cabaran Datuk Yong Teck Lee untuk berdebat berhubung slogan yang dimainkan oleh taiko SAPP itu iaitu "Sabah Untuk Rakyat Sabah" dan "Autonomi Untuk Sabah" dengan alasan bahawa ia hanya sandiwara calon pembangkang itu untuk meraih simpati pengundi.

Menurut Musa yang juga Pengarah Operasi pilihan raya kecil itu, berkata isu yang dilaungkan calon SAPP itu sudah lapuk dan lebih bersifat kenegerian dan ia tidak selari dengan aspirasi kepimpinan negara masa kini.

"Ini hanya satu pembohongan. Apa kah yang dilakukan Yong ketika menjadi Ketua Menteri kepada rakyat di kawasan ini?. Adakah beliau pernah melawat Batu Sapi semasa beliau menjadi Ketua Menteri dulu," kata beliau.

Beliau berkata, pelawaan calon SAPP itu untuk mengadakan debat hanya perbuatan sia-sia kerana tidak ada isu yang perlu diperdebatkan.

Katanya, bagi kerajaan BN, apa yang menjadi tumpuannya ialah membawa pembangunan kepada rakyat selain terus bekerja untuk rakyat.

"Tindakan Yong ini sangat terdesak untuk mendapatkan kuasa. Beliau seorang yang berbahaya dan pemimpin yang tidak bertanggungjawab, yang menyatakan sesuatu sekarang tetapi apabila berkuasa, beliau melakukan di sebaliknya," tegas Ketua Menteri.

TPM KEMBALI KE BATU SAPI BANTU CALON BN

KEMBALI KE BATU SAPI...Tan Sri Muhyiddin Yassin disambut calon BN, Datin Linda Tsen ketika tiba untuk kembali ke Sandakan bagi membantu kempen BN menyakinkan pengundi.

KUASA WANITA...Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Shahrizat Jalil dan calon BN, Datin Linda Tsen meneruskan kempen bersama pemimpin dan penyokong wanita di kawasan berkenaan.

KITA CUBA DULU...Datuk Salleh Said Keruak menyatakan sesuatu kepada Presiden LDP, Datuk V.K Liew ketika berkempen di Batu Sapi.


Hari pembuangan undi bagi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi cuma tinggal beberapa hari sahaja lagi, menyaksikan ketiga-tiga calon yang bertanding meneruskan kempen masing-masing untuk meraihkan sokongan pengundi-pengundi di kawasan berkenaan.


Dengan calon BN, Datin Linda Tsen yang diiringi beberapa pemimpin kanan komponen itu terus menemui rakyat di situ yang termampu olehnya. Manaka calon SAPP, Datuk Yong Teck Lee dan calon PKR, Ansari Abdullah juga meneruskan kempen masing-masing termasuk di pulau-pulau berhampiran.


Calon PKR, Ansari antara yang bernasib malang kerana telah terjatuh untuk kali kedua daripada jeti yang tiba-tiba roboh dan situasi itu memberi ruang kepada beliau untuk menyarankan kepada kerajaan supaya membaik-pulih jeti-jeti di kawasan tersebut yang sudah usang.

Beliau merujuk insiden yang beliau lalui itu sebagai pengabaian yang dilakukan pemerintah terhadap rakyat di kawasan tersebut.


Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman yang juga Pengarah Operasi pilihan raya kecil tersebut, bagaimanapun berkata, kerajaan BN akan sentiasa memberi perhatian terhadap permasalahan rakyat di kawasan tersebut sejajar dengan prinsip sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengetuai lebih 10,000 penyokong BN pada hari penamaan calon, kembali turun semula ke kawasan Batu Sapi untuk membantu kempen calon BN dan seterusnya menyakinkan pengundi supaya memberi sokongan padu terhadap Datin Linda, balu mendiang Datuk Ir. Edmund Chong, bekas Anggota Parlimen Batu Sapi.


Para penganalisis politik melihat kehadiran secara tiba-tiba sekali lagi Timbalan Perdana Menteri ke kawasan berkenaan membayangkan betapa sengitnya persaingan kempen calon-calon yang bertanding di kawasan tersebut.

"Saya fikir ada sebab dan sudah tentu ada sesuatu perkara yang mendorong Tan Sri Muhyiddin untuk hadir semula membantu kempen calon BN memandangkan calon-calon parti pembangkang terus memberi cabaran kepada lawan," dakwa seorang pemimpin parti politik di sini.

Sepanjang tempoh kempen, para pemimpin kanan BN di peringkat negeri serta beberapa menteri kabinet Persekutuan dan timbalan menteri turut serta menggerakkan jentera kempen BN sejak selepas hari penamaan calon dan dijangka berterusan hingga tengah malam Rabu sebelum hari pengundian pada keesokan harinya.


Antara mereka ialah Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman, Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang juga Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur, Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Belia dan Sukan, Datuk Peter Pang yang ketika ini menjadi Adun Karamunting yang tidak berparti selepas mengumumkan keluar dari LDP, baru-baru ini.


Selain mereka, Presiden LDP, Datuk V.K Liew, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Salleh Said Keruak dan beberapa Ahli Majlis Tertinggi Umno serta pemimpin parti-parti komponen BN yang lain turut berkampung di Batu Sapi.


Kerancakan suasana kempen yang berlaku menyebabkan "tukang-tukang tilik politik" mendapati diri mereka menghadapi kesukaran untuk meramalkan keputusan pilihan raya yang bakal berlaku di Batu Sapi.

Sungguhpun sesetengahnya melihat kelebihan masih menyebelahi BN namun parti-parti pembangkang masih terus berusaha sedaya yang termampu untuk memikat hati pengundi dengan pelbagai taktik dan strategi mereka.


Siapakah yang bakal memenangi kerusi pilihan kecil Batu Sapi, hanya pengundi-pengundi akan dapat memberi jawapan tepat pada Khamis ini, hari pembuangan undi.

Rabu, 27 Oktober 2010

BATU SAPI SAKSI PERTARUNGAN TIGA PENJURU

SEPAKAT...Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tiga dari kanan) kelihatan bersama calon BN, Datin Linda Tsen Thau Lin, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman (tiga dari kiri) dan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan (kanan sekali) untuk memberi sokongan kempen kepada calon BN itu.

SEMANGAT GOLONGAN MUDA...Puteri Umno adalah antara 10,000 penyokong yang mengiringi calon BN pada Hari Penamaan Calon bagi kerusi Parlimen Batu Sapi.


Kira-kira 10,000 penyokong Barisan Nasional (BN) hadir memberi semangat dan sokongan terhadap calon BN bagi kerusi Parlimen Batu Sapi, Datin Linda Tsen Thau Lin pada hari penamaan calon pilihan raya kecil kawasan tersebut.

Datin Linda, 54, balu mendiang Datuk Ir. Edmund Chong, bekas Anggota Parlimen kawasan Batu Sapi akan terlibat dalam pertandingan tiga penjuru dan ditentang Datuk Yong Teck Lee, 52, Presiden SAPP dan Ansari Abdullah, 56, dari PKR.

Senarai nama calon itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan raya bagi pilihan raya kecil Batu Sapi, Mohamad Hamsain Awang Supain yang juga Setiausaha Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) di Dewan Masyarakat Sandakan.

Sekalipun terpaksa berhadapan dengan dua lawan dari pembangkan, Linda, Timbalan Ketua Wanita PBS Bahagian Elopura berikrar akan berusaha untuk memenangi kerusi tersebut bagi membolehkannya meneruskan agenda pembangunan di kawasan berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengetuai 10,000 penyokong BN di hari penamaan calon, berkata BN akan menggunakan pendekatan tidak memandang mudah cabaran daripada dua calon pembangkang itu.

"Kita mempunyai strategi tertentu untuk menyakinkan pengundi di Batu Sapi bahawa calon BN, Datin Linda adalah calon terbaik untuk mewakili mereka dan mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasan ini," katanya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman pula menyifatkan strategi kempen yang digunakan calon SAPP, taiko Yong dengan membawa konsep "Sabah Untuk Rakyat Sabah" dan mengembalikan autonomi kepada Sabah sebagai isu lapuk yang tidak selari dengan aspirasi negara.

Katanya, cara pemikiran seperti itu sudah ketinggalan zaman memandangkan rakyat di negara ini kini hidup dalam suasana aman dan sejahtera di dalam sebuah negara.

Sebagai warganegara Malaysia haruslah bercakap sebagai warga yang bertanggungjawab dan tidak terlalu memainkan sentimen kenegerian," katanya.

Sementara itu, calon PKR, Ansari Abdullah berasal dari Tuaran mendakwa kira 60 peratus rakyat Bumiputera di kawasan Batu Sapi telah diabaikan oleh pemerintahan BN sejak 47 tahun lalu.

Katanya, masyarakat Bumiputera di kawasan itu telah dipinggirkan oleh kerajaan dan tiada pembelaan yang wajar dilakukan kepada mereka.

Apa pun, pemimpin-pemimpin BN ketika ini berusaha keras untuk menyakinkan pengundi supaya mereka membuat pilihan yang tepat kerana kemenangan calon BN di kawasan itu akan memastikan kesinambungan pembangunan yang telah dirancang sebelum ini.

Kesepakatan dan kerjasama erat kalangan pemimpin parti-parti komponen BN turut mencerminkan kesungguhan mereka untuk membantu memastikan kerusi tersebut dapat dipertahankan oleh BN.

Musa yang juga Pengerusi BN Negeri merangkap Pengarah Operasi pilihan raya kecil itu berkata bahawa usaha untuk turun padang bagi mendekati rakyat akan dilakukan secara berterusan dan bukan hanya pada musim pilihan raya.

Katanya, ini penting bagi membolehkan setiap wakil rakyat di negeri ini bersikap prihatin dengan masalah yang dihadapi rakyat sejajar dengan gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.





Isnin, 25 Oktober 2010

LINDA GALAS TUGAS PERTAHAN KERUSI BATU SAPI

Balu mendiang Datuk Ir Edmund Chong, Datin Linda Tsen Thau Lin yang diumumkan sebagai calon Barisan Nasional bagi Pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi pada 4 November ini, menggalas tugas berat untuk mempertahankan kerusi berkenaan.

Linda, 54, lulusan Kolej Muzik London dijangka berhadapan dengan bekas Ketua Menteri yang juga Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee yang bergelar "taiko" dan seorang pemimpin kanan PKR Sabah, Ansari Abdullah berikutan kedua-dua pemimpin pembangkang itu sudah pun dinamakan untuk mewakili parti dan gabungan masing-masing.

Pemilihan calon BN itu dikatakan telah pun mendapat persetujuan semua anggota komponen BN sebagaimana diperjelaskan oleh Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan di Sandakan.

Selepas dinamakan sebagai calon BN, Linda yang juga Timbalan Pergerakan Wanita PBS Bahagian Elopura dan Naib Ketua Wanita PBS Pusat berikrar untuk memastikan kerusi Parlimen berkenaan dapat dipertahankan BN.

"Saya akan bekerja keras untuk memenangi kerusi ini bagi meneruskan kerja-kerja yang dilakukan suami (Edmund) ketika menjadi Anggota Parlimen kawasan ini," katanya.

Beliau menjangka pilihan raya kecil itu akan menyaksikan persaingan sengit dan ini memaksa beliau untuk bekerja lebih keras.

Linda yang dilahirkan di Sandakan berasa terharu tetapi pada masa yang sama bangga kerana telah diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan parti dan BN untuk bertanding bagi pilihan raya kecil kawasan berkenaan.

"Sungguhpun banyak cabaran, kita boleh mememangi pilihan raya kecil ini dengan kita perlu bekerja bersungguh-sungguh," ujar beliau.

Sementara itu, Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Rashid Shirlin yakin pengundi di Batu Sapi akan memberi sokongan kepada calon BN itu berdasqarkan senario sekarang.

Menurut beliau, pihaknya menjangka bahawa Linda akan dapat diterima majoriti pengundi dan sudah tentu beliau mampu untuk membawa kesinambungan pembangunan di kawasan ini sebagaimana yang dilakukan mendiang suami beliau.

Kerusi Parlimen Batu Sapi kosong berikutan kematian mendiang Datuk Ir Edmund Chong yang terbabit dalam nahas jalan raya pada 9 Oktober lepas
.

CORAT-CORET PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2010

BERSEMANGAT...Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama-sama dengan beberapa pemimpin Umno yang lain ketika merasmikan Perhimpunan Agung parti itu di bangunan PWTC Kuala Lumpur.

Beliau memberi peringatan supaya perbahasan mengenai soal hak keistimewaan orang Melayu dihentikan memandangkan ia telah terkunci rapi dalam Perlembagaan Negara.

Perdana Menteri dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka akan melawat ke seluruh negara untuk menemui rakyat akar umbi tahun depan.


SELAMAT DATANG...Anggota Majlis Tertinggi Umno merangkap Ketua Umno Bahagian Beaufort, Datuk Seri Panglima Lajim Haji Ukin menyambut ketibaan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman untuk sama-sama hadir pada majlis jamuan makan malam di kediaman rasmi Lajim di Kuala Lumpur.

Musa merupakan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Sabah yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno.


APA KHABAR DATUK?...mungkin itulah yang diperkatakan Naib Presiden Umno, Datuk Shafie Apdal kepada Datuk Seri Pangliman Lajim Haji Ukin, Anggota Majlis Tertinggi Umno yang juga Ketua Umno Bahagian Beaufort ketika mereka menghadiri Perhimpunan Agung Umno 2010 di bangunan PWTC Kuala Lumpur baru-baru ini.

Shafie yang juga Ketua Umno Bahagian Semporna adalah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah manakala Lajim, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Ahad, 24 Oktober 2010

BN SEDIA HADAPI "TAIKO" YONG DI BATU SAPI

Barisan Nasional (BN) yakin akan dapat mempertahankan kerusi Parlimen Batu Sapi sungguhpun terpaksa berhadapan dengan taiko Yong Teck Lee, Presiden SAPP yang awal-awal lagi mengumumkan untuk bertanding kerusi Parlimen berkenaan.

Selain menyaksikan cabaran darpada bekas Ketua Menteri itu, Pakatan Rakyat (PR) juga dijangka turut meletakkan calonnya bagi menentang BN dalam pilihan raya kecil itu.

Pengerusi BN Pusat, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, peluang BN untuk memenangi semula kerusi itu tidak terjejas walaupun terpaksa menghadapi Presiden SAPP itu.

Perdana Menteri berkata, BN mampu menguasai sebahagian besar pengundi di kawasan Parlimen Batu Sapi dan sebab itu tiada sebab bagi BN tidak boleh mempertahankan kerusi tersebut.

Menurut Najib, "sesiapa pun bebas untuk menjadi calon. Biarlah beliau (Yong) masuk bertanding. Kita akan berhadapan dengan dia."

Perdana Menteri mengulas keputusan bekas Ketua Menteri itu untuk mengesahkan bertanding kerusi Parlimen Batu Sapi, yang diumumkan oleh Naib Presiden SAPP yang juga Ketua Bahagian SAPP Karamunting, Poon Kee Yang.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman menyeru pengundi di kawasan berkenaan supaya bijak memilih wakil rakyat mereka yang mampu meneruskan kesinambungan pembangunan ekonomi dan sosial di Batu Sapi.

Katanya, BN tahu tipu helah pembangkang dan tiada masalah bagi BN untuk berhadapan dengan mereka.

"Rakyat mahukan pembangunan dan bukan retorik semata-mata atau cakap-cakap sahaja serta janji kosong, ini semua tidak betul," kata Ketua Menteri.

Manakala Pakatan Rakyat dijangka menurunkan calon dari PKR dan mereka difahamkan bekerja secara bersama dengan taiko Yong untuk menghadapi tentangan kuat BN.

Presiden SAPP menyifatkan keputusan untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Batu Sapi itu sebagai ujian kepada partinya sebelum bertarung dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.

Beliau berkata, pilihan raya kecil ini dijangka amat mencabar dan menjangka kempen yang sungguh sengit kerana menurutnya, BN akan melakukan apa saja untuk memenangi kerusi tersebut.

Bagaimanapun, Yong berkata, partinya akan memberi tentangan hebat kerana sedar BN akan menyerang beliau secara habis-habisan.

"Mereka akan berusaha melenyapkan saya daripada pentas politik," kata beliau dan percaya bahawa pilihan raya kecil ini turut memberi kesan ke seluruh negara.

Yong yang hilang kelayakan bertanding dalam pilihanraya selama lima tahun sejak 2001 dan menyatakan hasrat untuk kembali bertanding dalam pilihan raya umum ke-12 lalu bagi kawasan Parlimen Kota Kinabalu namun kuota bagi kerusi itu diberi kepada PBS di mana calonnya ketika itu tewas kepada calon DAP, Dr Hiew Keng Cheu.


Suasana di bandar Sandakan ketika ini dilaporkan begitu hangat dan meriah dengan menyaksikan bilik-bilik hotel di bandar tersebut sudah habis ditempah sejak Isnin lepas. Penyokong-penyokong parti yang bertanding, petugas-petugas pilihan raya dan anggota media dilaporkan sejak awal-awal lagi sudah berada di situ.

Ahad, 17 Oktober 2010

WUJUDKAN JAWATANKUASA PERHUBUNGAN UPKO BAGI PARLIMEN DAN DUN

RASMI...Setiausaha Agung Upko, Datuk Wilfred M. Tangau mewakili Timbalan Presiden Upko, Datuk Wilfred Bumburing merasmikan penutupan Konvensyen Upko Bahagian Beaufort di Dewan Balai Bomba Kuala Penyu.

Setiausaha Agung Upko, Datuk Wilfred M. Tangau (kanan) bersama Pengerusi Tetap Upko Pusat, Datuk Herman Tionso dan Naib Ketua Bahagian 1 Upko Beaufort, Lokman Sunggim.
MENGGALAKKAN...Sebahagian peserta yang menghadiri Konvensyen Upko Bahagian Beaufort itu.
Dari kiri; Datuk Herman Tionso, Lokman Sunggim, Fred Singgiok dan Hassan Rahim.


Setiausaha Agung Upko, Datuk Wilfred M. Tangau menyarankan supaya sebuah Jawatankuasa Perhubungan Upko Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Penyu diwujudkan.

Katanya, jawatankuasa perhubungan serupa perlu juga diwujudkan di peringkat kawasan daerah mengundi bagi kawasan DUN Kuala Penyu.

"Ibu pejabat parti sudah pun mengeluarkan arahan kepada bahagian supaya jawatankuasa berkenaan dapat diwujudkan."

"Kita berharap ia dapat dilaksanakan secepat yang mungkin," katanya ketika melakukan penutupan Konvensyen Upko Bahagian Beaufort di Dewan Balai Bomba di Kuala Penyu di sini.

Beliau mewakili Timbalan Presiden parti, Datuk Wilfred Bumburing yang tidak dapat hadir kerana menghadiri persidangan Parlimen di Kuala Lumpur.

Setaiusaha Agung itu berkata, pewujudan jawatankuasa tersebut penting bagi mengatur dan merancang strategi selain berfungsi bagi menghenal pasti senarai pengundi di kawasan daerah mengundi masing-masing.

Tangau juga meminta ahli-ahli parti supaya memberi sokongan terhadap usaha untuk melakukan transformasi dalam kerajaan, ekonomi dan menjayakan gagasan 1Malaysia.

Menurut beliau, apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membuat perubahan perlu disokong oleh semua lapisan rakyat termasuk ahli-ahli Upko.

"Kita harus memberi peluang kepada Perdana Menteri untuk melakukan perubahan selain memberi kerjasama padu untuk menjayakannya," tegas beliau.

Jumaat, 8 Oktober 2010

KAKA JADIKAN RAKAN DARI JEPUN INSPIRASI

SAHABAT BARU...Mohd Hizaz Lokman atau lebih popular dengan panggilan Kaka oleh rakan-rakan (tiga dari kiri) bersama beberapa pemain PFTC Kitakyushu dari Jepun yang menyertai Kejohanan Bolasepak Piala Borneo di Stadium Likas, baru-baru ini.

Kaka, 10, murid tahun empat SK Likas mewakili pasukan KK United (Sabah) yang menewaskan pasukan PFTC Kitakyushu 2-1 dalam perlawanan akhir sekali gus merangkul Piala Borneo 2010 anjuran Borneo Sports and Adventure Holidays, sebuah syarikat yang dimiliki bekas pemain import Sabah dari Australia, Scott Ollerenshaw.

Tahun lalu, Kaka ketika berusia sembilan tahun mewakili pasukan TABS dalam kejohanan itu di mana mereka berjaya mara ke perlawanan akhir tetapi dikecewakan oleh pasukan First 11 Academy dari Australia.

Tahun ini, First 11 Academy yang digeruni lawan itu hanya mampu menduduki tempat ketiga.

Bagi Kaka, ini merupakan penampilan keduanya dalam Piala Borneo itu dan bernasib baik kerana pasukannya, KK United berjaya memenangi piala tersebut daripada dibawa pulang lawan mereka ke Jepun.

Bermain seawal usia tujuh tahun, Kaka ketika ini beraksi dalam pasukan SK Likas dalam Liga Bolasepak Junior Kota Kinabalu Grace One. Awal tahun ini, pemain kesayangan SK Likas ini telah membantu pasukan sekolahnya untuk mara ke perlawanan akhir Kejohanan Bolasepak Bawah 12 Tahun MSSD Kota Kinabalu dan pasukan sekolah itu telah diisytiharkan sebagai pasukan terbaik keseluruhan kejohanan.

Perkembangan terbaru penyerang kidal ini ialah Ketua jurulatih TABS yang mengendalikan pasukan KK United, Matasan Ahmad telah menyenaraikannya sebagai pelatih Program Pembangunan Bolasepak Bawah 12 Tahun di bawah pengawasan SAFA.

Mudah-mudahan program pembangunan pemain kanak-kanak ini terus diberi perhatian serius oleh SAFA kerana ia sudah pasti membolehkan badan bolasepak negeri itu mengenal pasti bakat-bakat baru terutama membabitkan kanak-kanak bawah 12 tahun.

Ini salah satu pendekatan yang perlu diterokai SAFA secara berani dan terancang setelah sekian lama kita mengalami kesukaran untuk mencari pemain-pemain berkaliber sehebat James Wong dan Hassan Sani di era lewat 70-an.

Para peminat bolasepak di Sabah pastinya ternanti-nanti, SAFA mampu menonjol pemain-pemain terbaik yang bukan sahaja mampu mengharumkan nama negeri malah Malaysia di persada global.

Suatu ketika dahulu, pasukan negara begitu disegani pasukan seperti Korea Selatan, Jepun dan Arab Saudi tetapi ketika ini, kita begitu tertinggal jauh bagi pencapaian dalam bolasepak antarabangsa. Jepun, Korea Selatan dan Arab Saudi mampu melayakkan diri ke Piala Dunia tetapi pasukan negara masih lagi tercari-cari di mana kesilapan?.

Justeru, barangkali kita harus kembali bermula dari bawah dan jawapannya ialah menggilap bakat kanak-kanak yang jarang sekali diberi perhatian selama ini.