Ahad, 31 Oktober 2010

BN DAN SAPP BERSAING PIKAT PENGUNDI

SALAM DENGAN PENYOKONG...calon BN, Datin Linda Tsen bersalaman dengan para penyokong dalam satu majlis kempen bagi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi.

GELAGAT PENYOKONG...para penyokong calon SAPP, Datuk Yong Teck Lee dengan gelagat tersendiri dalam kempen mereka.


Sekalipun pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi membabitkan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Datin Linda Tsen, calon SAPP, Datuk Yong Teck Lee dan Ansari Abdullah dari PKR, ramai pihak berpendapat bahawa persaingan lebih ketara antara calon BN dan calon SAPP sahaja ketika saat-saat penantian pembuangan undi semakin menghampiri penghujungnya.

Ini berdasarkan sokongan pengundi terhadap kedua-dua pihak di mana calon BN, Datin Linda Tsen dikatakan cuba menarik sekurang-kurangnya 60 peratus pengundi Bumiputera Islam dan 40 pengundi Cina manakala taiko Datuk Yong Teck Lee mengharapkan sokongan 70 peratus pengundi Cina dengan 30 pengundi Islam memihak kepadanya.

Persaingan kedua-dua calon ini untuk meraihkan sokongan pengundi seolah-olah memaksa seorang lagi calon, Ansari Abdullah dari PKR tersepit dalam usaha mereka untuk menyertai persaingan mempengaruhi pengundi dengan harapan untuk menyebelahinya.

Sebab itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, penasihat umum PKR terpaksa turun ke gelanggang untuk membantu kempen calon mereka, yang sehingga ini tidak dapat diramalkan kesannya kepada rakyat di kawasan Batu Sapi.

Dalam perkembangan lain, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman tidak menyahut cabaran Datuk Yong Teck Lee untuk berdebat berhubung slogan yang dimainkan oleh taiko SAPP itu iaitu "Sabah Untuk Rakyat Sabah" dan "Autonomi Untuk Sabah" dengan alasan bahawa ia hanya sandiwara calon pembangkang itu untuk meraih simpati pengundi.

Menurut Musa yang juga Pengarah Operasi pilihan raya kecil itu, berkata isu yang dilaungkan calon SAPP itu sudah lapuk dan lebih bersifat kenegerian dan ia tidak selari dengan aspirasi kepimpinan negara masa kini.

"Ini hanya satu pembohongan. Apa kah yang dilakukan Yong ketika menjadi Ketua Menteri kepada rakyat di kawasan ini?. Adakah beliau pernah melawat Batu Sapi semasa beliau menjadi Ketua Menteri dulu," kata beliau.

Beliau berkata, pelawaan calon SAPP itu untuk mengadakan debat hanya perbuatan sia-sia kerana tidak ada isu yang perlu diperdebatkan.

Katanya, bagi kerajaan BN, apa yang menjadi tumpuannya ialah membawa pembangunan kepada rakyat selain terus bekerja untuk rakyat.

"Tindakan Yong ini sangat terdesak untuk mendapatkan kuasa. Beliau seorang yang berbahaya dan pemimpin yang tidak bertanggungjawab, yang menyatakan sesuatu sekarang tetapi apabila berkuasa, beliau melakukan di sebaliknya," tegas Ketua Menteri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan