Ahad, 31 Oktober 2010

TPM KEMBALI KE BATU SAPI BANTU CALON BN

KEMBALI KE BATU SAPI...Tan Sri Muhyiddin Yassin disambut calon BN, Datin Linda Tsen ketika tiba untuk kembali ke Sandakan bagi membantu kempen BN menyakinkan pengundi.

KUASA WANITA...Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Shahrizat Jalil dan calon BN, Datin Linda Tsen meneruskan kempen bersama pemimpin dan penyokong wanita di kawasan berkenaan.

KITA CUBA DULU...Datuk Salleh Said Keruak menyatakan sesuatu kepada Presiden LDP, Datuk V.K Liew ketika berkempen di Batu Sapi.


Hari pembuangan undi bagi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi cuma tinggal beberapa hari sahaja lagi, menyaksikan ketiga-tiga calon yang bertanding meneruskan kempen masing-masing untuk meraihkan sokongan pengundi-pengundi di kawasan berkenaan.


Dengan calon BN, Datin Linda Tsen yang diiringi beberapa pemimpin kanan komponen itu terus menemui rakyat di situ yang termampu olehnya. Manaka calon SAPP, Datuk Yong Teck Lee dan calon PKR, Ansari Abdullah juga meneruskan kempen masing-masing termasuk di pulau-pulau berhampiran.


Calon PKR, Ansari antara yang bernasib malang kerana telah terjatuh untuk kali kedua daripada jeti yang tiba-tiba roboh dan situasi itu memberi ruang kepada beliau untuk menyarankan kepada kerajaan supaya membaik-pulih jeti-jeti di kawasan tersebut yang sudah usang.

Beliau merujuk insiden yang beliau lalui itu sebagai pengabaian yang dilakukan pemerintah terhadap rakyat di kawasan tersebut.


Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman yang juga Pengarah Operasi pilihan raya kecil tersebut, bagaimanapun berkata, kerajaan BN akan sentiasa memberi perhatian terhadap permasalahan rakyat di kawasan tersebut sejajar dengan prinsip sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengetuai lebih 10,000 penyokong BN pada hari penamaan calon, kembali turun semula ke kawasan Batu Sapi untuk membantu kempen calon BN dan seterusnya menyakinkan pengundi supaya memberi sokongan padu terhadap Datin Linda, balu mendiang Datuk Ir. Edmund Chong, bekas Anggota Parlimen Batu Sapi.


Para penganalisis politik melihat kehadiran secara tiba-tiba sekali lagi Timbalan Perdana Menteri ke kawasan berkenaan membayangkan betapa sengitnya persaingan kempen calon-calon yang bertanding di kawasan tersebut.

"Saya fikir ada sebab dan sudah tentu ada sesuatu perkara yang mendorong Tan Sri Muhyiddin untuk hadir semula membantu kempen calon BN memandangkan calon-calon parti pembangkang terus memberi cabaran kepada lawan," dakwa seorang pemimpin parti politik di sini.

Sepanjang tempoh kempen, para pemimpin kanan BN di peringkat negeri serta beberapa menteri kabinet Persekutuan dan timbalan menteri turut serta menggerakkan jentera kempen BN sejak selepas hari penamaan calon dan dijangka berterusan hingga tengah malam Rabu sebelum hari pengundian pada keesokan harinya.


Antara mereka ialah Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman, Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang juga Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur, Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Belia dan Sukan, Datuk Peter Pang yang ketika ini menjadi Adun Karamunting yang tidak berparti selepas mengumumkan keluar dari LDP, baru-baru ini.


Selain mereka, Presiden LDP, Datuk V.K Liew, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Salleh Said Keruak dan beberapa Ahli Majlis Tertinggi Umno serta pemimpin parti-parti komponen BN yang lain turut berkampung di Batu Sapi.


Kerancakan suasana kempen yang berlaku menyebabkan "tukang-tukang tilik politik" mendapati diri mereka menghadapi kesukaran untuk meramalkan keputusan pilihan raya yang bakal berlaku di Batu Sapi.

Sungguhpun sesetengahnya melihat kelebihan masih menyebelahi BN namun parti-parti pembangkang masih terus berusaha sedaya yang termampu untuk memikat hati pengundi dengan pelbagai taktik dan strategi mereka.


Siapakah yang bakal memenangi kerusi pilihan kecil Batu Sapi, hanya pengundi-pengundi akan dapat memberi jawapan tepat pada Khamis ini, hari pembuangan undi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan