Isnin, 15 November 2010

EX-USNO AKHIRNYA "TUTUP KEDAI"

BUBAR...Datu Badaruddin (kanan sekali) bersama ahli jawatankuasa Ex-Usno yang lain pada mesyuarat pembubaran pertubuhan itu.

Pertubuhan Bekas Ahli Usno atau lebih dikenali Ex-Usno, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dibubarkan secara rasmi pada Sabtu.

Pembubaran itu dilakukan pada satu mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presidennya, Datu Badaruddin Tun Datu Haji Mustapha di salah sebuah hotel di Kota Kinabalu.


Bagaimanapun tidak ada sebarang alasan diberikan oleh bekas presiden yang mendorong terhadap pembubaran pertubuhan itu, yang sebelum ini difahamkan dijadikan landasan bekas ahli-ahli Usno untuk meneruskan perjuangan mereka.


Usno, sebuah pertubuhan politik yang dipimpin oleh Allahyarham Tun Datu Haji Mustapha Harun, ayah kepada Badaruddin dan pernah memerintah negeri dibubarkan pada tahun 90-an bagi memberi laluan kepada Umno yang mengembangkan sayapnya ke Sabah ketika itu.

Bekas Setiausaha Agung Ex-Usno, Abdullah Sani Haji Abdul Salleh memberitahu, ekoran pembubaran itu, pihaknya akan mengemukakan surat makluman kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan di Putrajaya dan pejabat Pendaftar Pertubuhan di Kota Kinabalu.


Ex-Usno telah didaftarkan dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan pada tahun 2007 sebagai sebuah NGO bukan politik. Namun begitu, banyak pihak melihat usaha pertubuhan itu untuk menarik minat bekas-bekas ahli Usno untuk menyertainya sebelum ini sebagai langkah untuk menyemarakkan semula semangat Usno kerana sebahagian besar daripada mereka dikatakan merasakan diri disisihkan.


Bagaimanapun keputusan mendadak yang diambil Presidennya untuk membubarkan badan yang berusia kira-kira tiga tahun ini menimbulkan banyak tanda tanya sekali gus mengundang spekulasi.

Ramai pihak berpendapat apa pun perkembangan yang berlaku pastinya selepas ini lambat laun akan terbongkar juga rahsia sebenar yang membawa kepada pembubaran Ex-Usno.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan