Selasa, 21 September 2010

HARGAI SUMBANGAN PENGUSAHA BUMIPUTERA

Bas-bas milik pengusaha Bumiputera menunggu giliran mendapatkan penumpang di Terminal Bas Bandaraya dekat Wawasan Plaza di Kota Kinabalu. Perkhidmatan bas terbabit sewajarnya dihargai memandangkan mereka membantu pihak kerajaan menyediakan perkhidmatan pengangkutan kepada orang ramai sejak sekian lama.


BANTAH...Dullah Bache, wakil pengusaha menunjukkan surat bantahan mereka kepada LPKP supaya tiada perkhidmatan baru diberikan kepada syarikat lain ke Taman Telipok Ria. Perkhidmatan bas sedia ada ke kawasan berkenaan dipercayai mencukupi dan jika kebenaran terus diberikan kepada syarikat lain maka ia akan menjejaskan mereka.


Para pengusaha bas Bumiputera menggesa Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah supaya tidak mengeluarkan permit baru terutama di kawasan yang sudah ada perkhidmatan yang mencukupi.

Ini bagi memberi peluang perkhidmatan sedia ada dapat berkembang selain mengelak mata pencarian pengusaha terbabit terjejas.

Baru-baru ini, pengusaha-pengusaha yang menjalankan perkhidmatan di Taman Telipok Ria dan sepanjang jalan lama Tuaran melahirkan kekecewaan kerana syarikat pengendali City Bus telah diberikan kebenaran pihak berkenaan menjalankan perkhidmatan baru di kawasan berkenaan.

Lantas ia mengundang rasa tidak puas hati di kalangan pengusaha yang menjalankan perkhidmatan di kawasan tersebut memandangkan langkah memberi kebenaran kepada syarikat baru tersebut menjejaskan perkhidmatan mereka.

Jurucakap pengusaha terlibat, Dullah Bachee mempersoalkan tindakan pihak berkenaan membenarkan syarikat tersebut menjalankan perkhidmatan di situ kerana perkhidmatan yang sedia ada sebenarnya masih boleh menampung permintaan pengguna.

"Kenapa mesti beri keistimewaan kepada syarikat berkenaan untuk beroperasi ke Telipok Ria sedangkan mereka sepatutnya memfokus perkhidmatan sebagai bas pengantara di dalam bandar," katanya.

Beliau berkata, pihak kerajaan khususnya LPKP harus menghargai sumbangan pengusaha Bumiputera selama ini kerana telah membantu kerajaan menyediakan perkhidmatan yang terdaya oleh mereka.

"Lagi pun, pengusaha-pengusaha ini telah berusaha menjalankan perkhidmatan dengan sebaik mungkin selama ini dan seharusnya LPKP mengambil kira perkara ini sebelum membenarkan syarikat baru menjalankan perkhidmatan di situ," katanya.

Pengerusi Barisan Nasional Bahagian Sepanggar yang juga Ketua Umno bahagian berkenaan, Jumat Idris turut berkongsi pandangan dengan pengusaha terbabit dan meminta LPKP supaya mengkaji semula kebenaran yang diberikan kepada syarikat terbabit.

Katanya, tindakan tersebut menjejaskan perkhidmatan pengusaha sedia ada yang secara kebetulan mereka merupakan pengundi di kawasannya.

"Perkara ini jika tidak ditangani boleh menjejaskan sokongan terhadap BN pada pilihan raya akan datang walaupun rata-rata mereka adalah penyokong kuat kerajaan di masa lalu," tegas beliau.

Sambil merestui bantahan yang dikemukakan pengusaha, Jumat berkata, kerajaan harus bersikap bertimbang rasa dan seharusnya memberi perhatian serius terhadap apa sahaja isu yang boleh mengundang ketidakpuasan hati terhadap kerajaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Penerangan Persatuan Pengusaha Bas Bumiputera Sabah, Abdul Rahman Piut meminta pihak LPKP menghentikan tindakan memberi kesitimewaan tertentu kepada mana-mana syarikat bagi menjalankan perkhidmatan bas di kawasan yang sudah mempunyai perkhidmatan mencukupi.

Katanya, persatuan memandang serius sebarang tindakan mengeluarkan permit baru di kawasan yang dikenal pasti tiada keperluan bagi perkhidmatan baru.

"Beri peluang kepada pengusaha sedia ada selagi mereka berupaya menjalankan perkhidmatan dengan baik kepada pengguna," katanya.

Beliau menambah bahawa LPKP harus bersikap menghargai sumbangan pengusaha Bumiputera dan bukannya memberi tekanan kepada mereka kerana ini boleh menghakiskan sokongan kepada kerajaan.

"Kita tiada niat mempolitikkan perkara ini tetapi berdasarkan pengalaman kita selama ini sikap dan tindakan jabatan-jabatan tertentu boleh memberi masalah kepada kerajaan ketika pilihan raya," kata Rahman.

Beliau memberi contoh kebenaran yang diberikan kepada syarikat pengendali City Bus untuk memanjangkan perkhidmatannya ke Taman Telipok Ria amat mengecewakan ramai pengusaha di kawasan berkenaan.

Katanya, Ketua Umno Bahagian Sepanggar sendiri dapat merasakan keadaan itu dan ini sepatutnya tidak berlaku di saat kawasan itu kini dikuasai oleh pembangkang.

"Kita bimbang masalah yang berlaku ini memberi ruang kepada SAPP yang mewakili kawasan Parlimen tersebut untuk mengeksploitasikan apa yang berlaku," katanya.

Isnin, 20 September 2010

MASALAH AIR DI K. PENYU TIADA PENGHUJUNG...?

BN BEAUFORT...Pengerusi Barisan Nasional Bahagian Beaufort yang juga MP kawasan Beaufort, Datuk Seri Lajim Haji Ukin (duduk lima dari kiri) bersama beberapa anggota jawatankuasa BN bahagian berkenaan ketika turut berkempen dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor tidak lama dulu. Turut kelihatan Isnin Aliasnih dari Umno (lima dari kanan), Lokman Sunggim dari Upko (empat dari kanan), James Digi (PBS), Ishak Haji Ibrahim, Ketua Pemuda Umno Beaufort (dua dari kanan), Saridah Datuk Seri Mohd Dun, Ketua Puteri Umno Beaufort (tiga dari kiri) dan wakil MCA dan Gerakan.

Masalah paling kritikal yang sering dihadapi penduduk di Kuala Penyu termasuk di daerah kecil Menumbok ialah mendapat bekalan air bersih yang mencukupi. Keadaan lebih menyedihkan apabila ketiadaan bekalan air berlaku pada musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Krismas dan Tahun Baru Cina.

Boleh dikatakan setiap kali musim perayaan, penduduk di kedua-kedua kawasan sentiasa diselubungi resah kerana terpaksa berhadapan dengan masalah air untuk keperluan harian mereka.

Situasi ini sudah wujud berabad lamanya walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh para pemimpin untuk menyuarakan masalah tersebut.

Saya masih ingat bagaimana bekas Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Infrastrukur, Datuk Wences Angang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menyakinkan Kerajaan Pusat ketika beliau masih menganggotai kabinet negeri untuk memberi peruntukan bagi menangani masalah air di Kuala Penyu dan Menumbok serta di daerah-daerah lain di Sabah.

Wences yang juga ketika itu Adun Kuala Penyu telah beberapa kali menemui Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S. Samy Vellu dan hasilnya beliau berjaya mendapatkan peruntukan bagi mengatasi masalah air di Kuala Penyu dan Menumbok bernilai RM38 juta selain memperoleh peruntukan bagi tujuan yang sama di daerah Kudat dan Sandakan.

Saya mengetahui semua ini kerana ketika itu saya bertugas sebagai Setiausaha Akhbar kepada beliau dan sering bersama beliau berulang-alik ke Kuala Lumpur untuk urusan tersebut.

Memang diakui ia merupakan sumbangan besar Datuk Wences kepada rakyat di Kuala Penyu selain beliau juga mengilhamkan cadangan supaya Kerajaan Pusat menyediakan peruntukan untuk pembinaan Jambatan Sitompok, yang baru menjadi kenyataan dan pembinaannya dimulakan awal tahun ini.

Bagaimanapun, yang sangat menghairankan walaupun peruntukan RM38 juta sudah dilaksanakan bagi menangani masalah air tersebut tetapi daerah Kuala Penyu dan Menumbok terus menghadapi masalah itu, yang seolah-olah ia tiada penghujung dan tiada penyelesaian mutlak.

Apakah dengan peruntukan begitu besar tidak mampu menyelesaikan masalah tersebut? Hanya Jabatan Air Negeri sahaja yang boleh menjawab persoalan ini.

Masalah air ini bukan sahaja menjadi isu dalam pilihan raya malah ia kerap kali dibincang dalam sesi dialog, mesyuarat pembangunan daerah dan Majlis Daerah tetapi cerita tetap sama, tiada penyelesaian konkrit.

Ketika dalam mesyuarat penuh Majlis Daerah sebelum ini, masalah ini telah menjadi perbincangan hangat hinggakan anggota-anggota majlis telah mengambil ketetapan supaya Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah harus datang ke Kuala Penyu untuk memberi penjelasan tentang apakah masalah yang sebenar menyebabkan jabatan itu tidak mampu mengatasi masalah tersebut.

Pengarah berkenaan sehingga ini belum turun padang untuk berbuat demikian walaupun undangan sudah dikemukakan kepada beliau. Maknanya, rakyat Kuala Penyu dan Menumbok masih berterusan diselubungi seribu persoalan dan tanda tanya.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Anggota Parlimen Beaufort, Datuk Seri Lajim Haji Ukin sekali lagi membangkitkan masalah air di Kuala Penyu dan Menumbok kerana sudah tidak larat lagi melihat kesukaran yang terpaksa ditempuhi penduduk, lebih-lebih lagi di musim perayaan Aidilfitri ini.

Pengerusi BN Bahagian Beaufort itu sudah tidak dapat menahan perasaan dengan menyatakan apa sudah yang dibuat dengan peruntukan RM30 juta (sebenarnya RM38 juta) kenapa masalah air ini masih terus menghantui penduduk di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, ke mana pegawai-pegawai Jabatan Air dan juruteranya, kenapa mereka tidak berusaha mencari jalan untuk membantu menyelesaikan masalah yang berlaku sudah berabad lamanya.

"Saya ada gambar-gambar bahawa loji yang sepatutnya membekalkan air tetapi tidak berfungsi untuk membuktikan semua ini," katanya dengan nada kesal.

Kita percaya teguran keras seperti ini perlu membuka mata dan hati para pegawai Jabatan Air memandangkan masalah air di Kuala Penyu dan Menumbok ini sudah sampai ke tahap yang boleh menghilangkan kesabaran penduduk jika terus dibiarkan tiada penghujungnya.

Kena buka mata untuk melihat apa sebenarnya punca masalah lantas mengambil tindakan sewajarnya dan kena buka hati supaya Jabatan Air mempunyai perasaan bertimbang rasa terhadap masalah yang terlalu lama menghantui kehidupan penduduk.







Selasa, 14 September 2010

KM DI RUMAH TERBUKA AIDILFITRI DATUK JANANG

SALAM TANDA HORMAT...saya bersalaman dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman ketika beliau menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri Penegrusi BN Bahagian Beaufort yang juga Ketua Umno Bahagian berkenaan di kediaman Datuk Janang Gayuh di Beaufort. Gambar ini dirakam oleh sdra Jaafar Wahid, pegawai media Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu.

Saya secara bergurau dengan Jaafar melalui Facebook bahawa angle gambar ini boleh memberi andaian macam-macam, malah ada sudah yang komen dalam FB. Apa pun selaku Naib Ketua Bahagian Upko Beaufort dan ahli jawatankuasa BN Bahagian Beaufort, saya menghormati semua pemimpin kita apa lagi Datuk Musa sebagai pemimpin nombor satu kerajaan negeri. Marilah kita semua bekerjasama rapat untuk kekuatan BN dan
mengurangkan spekulasi, yang memberi ruang kepada lawan untuk mesensasikannya.
BERSAMA PEMIMPIN UMNO DAN BN...Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman dan isteri Datin Faridah Tusin bergambar dengan Pengerusi BN Bahagian Beaufort yang juga Ketua Umno Bahagian, Datuk Seri Panglima Lajim Haji Ukin dan isteri Datin Normilah Siong serta beberapa pemimpin Umno bahagian dan BN bahagian ketika menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri Datuk Janang Gayuh di kediamannya di Beaufort. Turut kelihatan ialah Datuk Salleh Tun Said, Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah dan bekas Timbalan Ketua Menetri, Datuk Tham Nyip Shen.
PEMIMPIN UMNO BAHAGIAN...sebahagian barisan kepimpinan Umno Bahagian Beaufort kelihatan penuh segak. Antara mereka ialah Isnin Aliasneh, Timbalan Ketua Bahagian (lima dari kiri), Haji Juseh, Setiausaha Bahagian (kiri sekali), Azman Datuk Seri Lajim, Naib Ketua Pemuda Bahagian (tiga dari kanan) dan ahli jawatankuasa bahagian yang lain pada majlis rumah terbuka Aidilfitri ketua bahagian mereka, Datuk Seri Panglima Lajim Haji Ukin di kediaman beliau di Beaufort. Mereka ini adalah rakan-rakan seperjuangan dalam teraju kepimpinan Barisan Nasional Beaufort yang sentiasa bertungkus lumus dalam pilihan raya umum negeri baik bagi kawasan Parlimen Beaufort mahu pun bagi kerusi DUN Kuala Penyu dan DUN Klias.

Ahad, 5 September 2010

MAMPU KAH SHAFIE JADI SANDARAN RAKYAT SABAH?


Datuk Seri Shafie Apdal...hanya masa menentukan hala tujunya.

PERGOLAKAN politik di Sabah akhir-akhir ini seolah-olah menuntut kehadiran seorang pemimpin yang benar-benar mempunyai kewibawaan bukan sahaja untuk menangani kemelut yang sedang melanda, malah mungkin yang mampu menyelamatkan jiwa rakyat yang penuh kekeliruan dan amarah pada masa ini.

Ketidak-puasan hati dapat dirasakan begitu meluap di kalangan rakyat dan ini memerlukan kebijaksaan untuk meredakannya kerana jika tidak ada usaha sedemikian, ia dibimbangi boleh menjejaskan sokongan mereka terhahap pemerintah.

Dengan kemelut yang melanda teraju kepimpinan BN, ditambah dengan adu-domba beberapa pemimpin, yang kita tidak begitu pasti matlamatnya menyebabkan pemimpin lain dalam gabungan itu hilang kesabaran, lantas mengambil keputusan mengejutkan.

Yang terbaru, tindakan Naib Presiden LDP, Datuk Peter Pang untuk keluar parti mengejutkan ramai pihak walaupun ia dilihat tidaklah menjejaskan sangat kepimpinan BN di peringkat negeri.

Namun situasi itu tidak syak lagi mengundang pelbagai spekulasi yang sudah tentu menyebabkan rakyat biasa diselubungi seribu tanda tanya dan persoalan.

Kritikan pedas selain kenyataan balas yang beremosi terhadap LDP, salah sebuah parti komponen dalam BN gara-gara kenyataan Timbalan Presidennya, Chin Su Phin selepas mesyuarat BN Sabah baru-baru ini, bahawa partinya tidak lagi boleh bekerjasama dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, berakhir dengan parti itu kehilangan seorang pemimpin kanannya yang didakwa tidak bersetuju dengan kenyataan nekad yang disifatkan melampau terhadap Pengerusi BN Sabah itu.

Pang mempunyai hak berbuat demikian kerana sebagai seorang anggota kabinet negeri, beliau tentulah tidak sewajarnya mendiamkan diri tetapi harus mempunyai pendirian. Lebih-lebih lagi, beliau tidak boleh bersikap menggigit tangan tuannya yang mengangkat beliau daripada seorang ahli perniagaan melonjak mendadak menjadi timbalan ketua menteri.

Apa pun pergeseran dalam kalangan pemimpin yang menjadi sandaran rakyat turut mempengaruhi pemikiran dan emosi rakyat itu sendiri. Ibarat gajah sama gajah bertarung, tikus yang berada di tengah tentulah terhimpit dan menjadi mangsa.

Akhir-akhir ini, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Haji Apdal mungkin terpaksa menggalas tugas yang berat untuk melihat apa sebenarnya yang berlaku dengan kepemimpinan BN di Sabah kerana beliau bukan sahaja seorang pemimpin kanan dalam Umno, juga seorang menteri di peringkat persekutuan tetapi beliau juga mempunyai hubungan yang akrab dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tidak hairanlah Pengerusi BN Pusat dan Presiden Umno itu mempunyai kepercayaan kepada Shafie untuk membantu rakyat Sabah merungkai segala kemelut yang melanda mereka dan memperbetulkan sebarang kekeliruan supaya mereka tidak terpedaya dengan pelbagai tomahan terhadap kerajaan BN.

"Datuk Shafie boleh diibaratkan sebagai penyelamat rakyat Sabah jika beliau terus diberi peranan untuk membaik-pulih sebarang "kerosakan" yang berlaku di Sabah termasuk emosi rakyat yang sudah terjejas," kata seorang bekas pemimpin belia sejak era Usno.

Berbanding dengan pemimpin lain di sini, menurut beliau, kita dapati Datuk Shafie lebih bersifat sangat terbuka dan berterus-terang malah kita sangat mudah mendekati beliau asalkan kita berniat baik.

Jadi, rakyat sudah tentu menginginkan pemimpin muda seperti beliau ini yang bersedia berkongsi harapan dan melihat jauh harapan yang disandarkan rakyat.

"Saya rasa kita tidak perlu pemimpin rakus, monopli dan terlalu bersandarkan kuasa semata-mata sehingga rakyat sukar memberi pandangan. Minda rakyat harus tiada kongkongan kerana mereka pun berhak membuat teguran dan buah fikiran yang baik untuk masa depan generasi mereka," katanya meluah perasaan.

Saya sendiri secara peribadi sangat bersetuju bahawa rakyat seharusnya diletakkan di hadapan menjadi keutamaan pemimpin kerana mana-mana pemimpin, apa tak lagi pemimpin yang dilabelkan sebagai nombor satu seharusnya menyedari bahawa beliau datang dan kemudian berada di puncak kekuasaan kerana keringat yang dicurah rakyat terhadapnya.

Oleh kerana itu, pada saya, teraju kepimpinan seharusnya bersedia berkongsi dengan pemimpin bawah peringkat akar umbi dan rakyat seluruhnya bagi memastikan sesuatu kejayaan dapat dikecapi bersama. Bak kata orang, pemimpin dan rakyat saling memerlukan baik dalam apa juga keadaan sekalipun.

Kelebihan Datuk Shafie sebagai Naib Presiden Umno dan seorang anggota kabinet Persekutuan yang memegang portfolio penting khususnya bagi rakyat Sabah dan Sarawak, saya kira sewajarnya perlu diberi sokongan seluruh rakyat Sabah untuk seboleh-bolehnya mengubah lanskap politik di Sabah, yang pada saya begitu statik sejak era pemerintahan Usno, Berjaya, PBS dan terbawa-bawa hingga ke saat ini.

Saya fikir pandangan ini bukanlah keterlaluan walaupun ada kalangan melihatnya begitu, kerana sebagai generasi baru dalam pentas politik, kita melihat Datuk Shafie seorang pemimpin muda yang sangat sederhana tetapi mempunyai naluri kepimpinan yang boleh menembusi gerak denyut nadi rakyat.

Tentu ramai yang bersetuju bahawa politik berteraskan kelompok tertentu, rakus, tahu semua, adu-domba, berlagak wira, bercakap lain di hati lain sudah tiada lagi tempat dalam sesebuah masyarakat yang bertamadun, merdeka dan hidup di dalam sebuah negara demokrasi. Hakikat merdeka dan demokrasi yang sering dicanangkan sebaiknya bukan sekadar di bibir sahaja sebaliknya harus direalisasikan dengan jiwa yang ikhlas.

Sudah tiba masanya, kita semua rakyat dari segenap lapisan memberi tumpuan untuk membina dan membawa negeri kita ini ke suatu era yang berani menampilkan kepimpinan yang berlandaskan kemurnian jiwa, ketulusan, berkongsi harapan dengan rakyat dan menyandarkan impian bersama.

Mudah-mudahan, Datuk Shafie yang sebelum ini sanggup melepaskan jawatan Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Sabah kerana kesediaan memberi tumpuan tugas yang diamanah Perdana Menteri diizinkan oleh Allah S.W.T untuk kembali ke negeri bawah bayu ini untuk melakukan permulaan bagi kepimpinan baru di Sabah yang menjadi impian rakyat, yang selama ini sudah pun terluka oleh "keadaan" yang berlaku.

Kita juga memanjat doa semoga kita semua sentiasa dilindungi dan dirahmati olehNya di atas usaha dan kerja-kerja kita termasuk cara berfikir dalam politik yang menjurus ke arah kebaikan dan input yang diberikan untuk kesejahteraan dan kemakmuran rakyat kita di Sabah.

PENDEKATAN BARU SAMBUT PESTA RUMBIA?



Gambar atas; Kelihatan beberapa Anggota Majlis Daerah Kuala Penyu dan ketua jabatan kerajaan di Kuala Penyu mendengar taklimat berhubung Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, yang disampaikan sendiri oleh timbalan menterinya, Datuk Seri Panglima Lajim Haji Ukin di kementerian berkenaan di Damansara, Kuala Lumpur.

Gambar bawah; Datuk Lajim (duduk tengah) bersama rombongan Majlis Daerah Kuala Penyu bergambar kenangan di kementeriannya ketika rombongan tersebut melawat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.



Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Panglima Lajim Haji Ukin menyarankan Pejabat Daerah Kuala Penyu supaya melakukan perubahan bagi sambutan perayaan Pesta Rumbia di daerah berkenaan pada masa akan datang.

Katanya, perubahan baru bagi sambutan pesta perlu dilakukan bagi membolehkan ia dapat menarik lebih ramai pelawat dari luar terutama pelancong asing datang menyaksikan pesta tersebut.

Menurut beliau, pesta yang diadakan setiap tahun ini masih gagal menarik perhatian pelancong asing walaupun perayaan itu sudah terkandung dalam kalender pelancongan di Sabah.

"Justeru, kita perlu melakukan perubahan supaya pesta ini mampu menarik lebih ramai pelancong asing untuk datang ke daerah Kuala Penyu," katanya pada satu majlis jamuan makan malam meraikan rombongan MDKP di Hotel Adamson, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Lajim berkata, bagi membolehkan perkara itu diberi perhatian serius, pihaknya sudah mengarahkan Pegawai Daerah Kuala Penyu, Edmund Teo untuk memikirkan pendekatan baru yang boleh diambil bagi menarik perhatian pelancong asing datang ke daerah berkenaan.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Beaufort berkata, sekiranya usaha menarik kedatangan pelancong asing ke Kuala Penyu berjaya, ini akan membantu meningkatkan kegiataan ekonomi di daerah tersebut dan ini sudah tentu memberi manfaat kepada penduduk setempat.

Katanya, anggota-anggota majlis juga harus tampil memberi idea bagi menjayakan usaha tersebut demi kebaikan rakyat di Kuala Penyu.

"Saya fikir kita boleh menggamit perhatian pelancong asing sekiranya kita berupaya mengadakan aktiviti yang mampu mendorong pelancong ke daerah berkenaan, lebih-lebih daerah Kuala Penyu sendiri mempunyai tempatan pelancongan dan pantai yang menarik," katanya.