Isnin, 31 Januari 2011

KERAJAAN USAHA TANGANI MASALAH BANJIR DI SANDAKAN

Datuk Musa diiringi Datuk Armani dan Datuk Jusli meninjau keadaan banjir yang menjejaskan penduduk di Sandakan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman berkata, kerajaan negeri akan berusaha mencari langkah penyelesaian bagi masalah banjir dan tanah runtuh yang berlaku di Sandakan.

Katanya, langkah yang akan diambil termasuk melakukan pembaikan terhadap setiap longkang yang tersumbat yang boleh menyebabkan kejadian banjir sehingga menjejaskan penduduk.

Selain daripada itu, menurut Ketua Menteri, kerajaan akan mempertimbangkan kawasan yang perlu dibina longkang serta diperluaskan bagi memastikan setiap saliran air tidak tersumbat.

Menurutnya, beliau sendiri telah melawat ke kawasan yang berlaku kejadian tanah runtuh serta banjir dan melihat berlaku banyak kerosakan harta benda dan rumah penduduk.

“Lebih membimbangkan kejadian tanah runtuh akibat hujan berterusan sejak beberapa hari lalu sejak beberapa hari dan turut meragut nyawa penduduk.”

“Oleh itu, langkah yang bakal diambil merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri bagi memastikan keselamatan penduduk lebih terjamin,” kata beliau selepas melawat salah satu kejadian tanah runtuh di Flat Perumahan Dato. Kg. Gelam di sini.

Musa turut mengucapkan takziah dan melahirkan rasa simpati kepada dua keluarga mangsa, Low Phang, 59, dan Santi Muktar, 16, yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh itu.

Beliau juga mengarahkan pihak Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) supaya terus melakukan tinjauan dan penilaian mengenai kerosakan dari segi harta benda dan rumah yang dialami penduduk terbabit.

Khamis, 27 Januari 2011

TIGA PEMAIN SABAH DIBICARA APRIL INI

Dua daripada pemain terbabit menutup muka dengan
baju sukan ketika ditemani peguam mereka di mahkmah.


Tiga pemain skuad Liga Simpanan Sabah yang terbabit dalam kes pecah rumah baru-baru ini akan dibicarakan pada 11 hingga 13 April ini.

Pemain terbabit, Dendiy Lowa, 19, Leopold Alfonso Otong, 20 dan seorang remaja lelaki berusia 17 mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Nurulhuda Mohd Yusof atas tuduhan tersebut.

Ketiga-tiga mereka disyaki melakukan kesalahan itu di sebuah apartmen bernombor No. 414 Tingkat 4, Likas Square Condotel.

Mereka telah memecah masuk ke dalam rumah milik Yang Shuan dan mencuri sebuah telefon bimbit serta wang tunai sejumlah RM1,070.

Kesalahan itu mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan jika didapati bersalah.

Mahkamah menawarkan ikat jamin sebanyak RM2,000 dengan RM600 deposit serta ibu bapa sebagai penjamin untuk Dendiy dan Leopold manakala remaja berusia 17 tahun ditawarkan ikat jamin sebanyak RM1,500 dengan deposit RM500 serta ibu bapa juga sebagai penjamin.

Peguam Nelson Angang dan Lohrito Padua bertindak sebagai peguambela bagi ketiga-tiga tertuduh manakala Cif Inspektor Ismail Mohd Razali sebagai pendakwa.

Rabu, 26 Januari 2011

TIGA PEMAIN HADAPI KEMUNGKINAN DISINGKIR

Keratan akhbar yang menyiarkan pengesahan Sabah FA mengenai penahanan polis terhadap ketiga-tiga pemain tersebut.

ALIJUS...tindakan akan diambil.

Tiga pemain skuad Liga Simpanan Sabah termasuk seorang yang tersenarai dalam skuad Liga Super Malaysia yang baru-baru ini ditahan polis atas dakwaan terbabit dalam kes pecah rumah kini menghadapi kemungkinan penyingkiran oleh majikan mereka, Persatuan Bolasepak Sabah (Sabah FA).

Setiausaha Agung Sabah FA, Alijus Sipil, berkata mereka tidak akan bertolak ansur dengan kesalahan seperti itu dan tindakan tegas pasti akan diambil terhadap pesalah.


Katanya, Sabah FA amat sedih dengan insiden tersebut dan tidak menjangka ia boleh berlaku.


"Kami sangat sedih dengan insiden yang membabitkan pemain skuad Liga Simpanan ini. Dan ia sesuatu yang tidak pernah kami jangka kerana ia berlaku sehari selepas taklimat kepada semua pemain di mana pada ketika itu, para pemain telah diperingatkan mengenai disiplin sama ada ketika di dalam padang mahu pun di luar," tegasnya.


Alijus berkata, dalam kes ini, Sabah FA masih menunggu laporan siasatan akhir daripada pihak polis berhubung ketiga-tiga pemain terbabit yang masih dalam tahanan polis sebelum sebarang tindakan diambil.

Bagaimanapun, katanya, beliau difahamkan hanya tujuh pemain yang telah ditahan dan bukannya lapan sebagaimana yang dilaporkan media sebelum ini.

Empat daripada pemain tersebut sudah pun dibebaskan.


Ketiga-tiga pemain yang masih ditahan polis itu berusia antara 18-20 tahun disyaki telah melakukan pecah rumah di sebuah apartmen di Likas Square dipercayai terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Isnin, 24 Januari 2011

PERPADUAN TERJALIN ERAT DALAM BN BEAUFORT

Barisan kepimpinan BN Bahagian Beaufort.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Bahagian Beaufort, Datuk Seri Panglima Lajim Haji Ukin berkata, perpaduan dan kerjasama di kalangan parti-parti komponen di kawasan Parlimen Beaufort sentiasa erat dan semakin kukuh.

Katanya, pemimpin parti-parti komponen terbabit turut menyatakan ikrar yang tidak berbelah bagi dan memberi jaminan terus bekerja keras bagi memastikan kepentingan rakyat diberi keutamaan.

Menyatakan perkara itu selepas mempengerusikan Mesyuarat Barisan Nasional Bahagian Beaufort di Pejabat Umno Bahagian Beaufort di sini, Lajim yang juga Anggota Parlimen Beaufort, berkata melalui perbincangan dari hati ke hati itu, mereka juga membincangkan tentang kekuatan gabungan itu selain mengenal pasti sebarang kelemahan yang timbul dan perlu di atasi segera.
 
Pada masa yang sama semua pemimpin komponen parti berikrar dan bersiap sedia untuk menggerakkan jentera parti masing-masing untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang sekali gus memastikan kemenangan memihak BN.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu menjelaskan berdasarkan laporan daripada kalangan pemimpin komponen didapati tidak ada perkara yang boleh dijadikan isu oleh pembangkang kerana tidak ada masalah besar yang dihadapi rakyat.

“Jika ada pun hanyalah masalah-masalah kecil dan menerusi perbincangan tersebut masalah-masalah kecil tersebut mampu di atasi sebelum menjelang pilihan raya,” katanya.

Lajim yang juga Ketua Umno bahagian berkenaan berkata BN Beaufort juga akan mengadakan konyensyen yang dijangka akan diadakan pada Mac dania dijangka akan dirasmikan oleh Setiausaha Agung BN, Tengku Adnan Tengku Mansur.

Beliau berkata dalam konvensyen itu, beberapa isu semasa akan diperbincangkan antaranya isu-isu politik semasa,memberikan penjelasan mengenai Program Transformasi Kerajaan dan isu-isu berkaitan dengan kenaikan harga barang keperluan harian.

Lajim seterusnya berkata dan memvberi contoih dalam konvensyen itu juga akan disuarakan isu-isu kenaikan harga barang dan membawa beberapa perkara seperti janji-janji pilihanraya lalu dan isu-isu parti pembangkang.

Semua pemimpin parti komponen Barisan Nasional masing-masing akan membawa usul atau mengemukakan usul atau isu tetapi berlandaskan kepada konsep satu Malaysia, katanya
 
Dalam konvensyen itu nanti, kita akan mengadakan Majlis Jasa Mu Dikenang untuk memberikan penghargaan kepada pejuang-pejuang yang telah berjasa kepada parti khususnya dari kalangan anggota komponen BN.

Antara yang hadir ialah Timbalan ketua Umno Bahagian, Isnin Haji Aliasnih dan Naib Ketua Bahagian, Datuk Kimjus Duim, Ketua Wanita Umno Bahagian, Datuk Hajjah Azizah Mohd Dun, Ketua Bahagian UPKO Beaufort , Datuk Wences Angang, Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Kuala Penyu, Sebastian Anjim, Timbalan Ketua Bahagian UPKO Beaufort, YB John Teo Mau Sing, Naib Ketua Bahagian 1 UPKO Bahagian Beaufort, Lokman Sunggim, Pengerusi MCA Beaufort, Datuk Vincent Yong Kon Fah dan Ketua Penerangan BN, Jali Nordin.

Jumaat, 21 Januari 2011

PBS DAN UPKO PERTIKAI CADANGAN PERKENAL UNDI PROKSI

PAIRIN...bercanggah amalan demokrasi.

Dua parti komponen Barisan Nasional (BN) di Sabah, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Upko mempertikaikan cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memperkenalkan sistem undi proksi, satu kaedah yang membolehkan seseorang pemilih mewakilkan pihak lain untuk mengundi bagi pihaknya.

PBS, anggota komponen kedua terbesar di Sabah menyifatkan cadangan SPR berhubung sistem undi proksi sebagai satu kaedah yang bertentangan dengan amalan demokrasi di negara ini.

Presidennya, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, berkata berdasarkan amalan demokrasi, rakyat diberi hak untuk mengundi serta menentukan kerajaan pilihan melalui pilihan raya yang diadakan.


Katanya, oleh itu, cadangan tersebut ternyata bercanggah dengan konteks demokrasi dan tidak seharusnya diterima kerana ia dikhuatiri akan menimbulkan lebih banyak masalah.

"Kita harap cadangan itu tidak dilaksanakan kerana ia akan menimbulkan kekeliruan dan ini pasti mencetuskan perbahasan dan polemik berpanjangan di kalangan semua pihak berkepentingan," katanya.


Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur itu bimbang jika cadangan itu diterima pakai, kepercayaan terhadap sistem demokrasi tidak akan dapat dipertingkatkan kerana ia bertentangan dengan peranan dan hak rakyat.


Sementara itu, Timbalan Presiden Upko, Datuk Wilfred Bumburing berkata, partinya tidak bersetuju dengan cadangan seumpama itu kerana ia memberi peluang kepada pendatang asing untuk mengundi dalam pilihan raya.

Katanya, memandangkan negeri ini mempunyai ramai pendatang tanpa izin, cadangan sistem undi proksi ini boleh memberi ruang kepada mereka untuk mengundi.


Menurutnya, Upko berpandangan bahawa cadangan SPR itu tidak wajar dilaksanakan kerana ia mempunyai risiko besar di Sabah jika ia dilaksanakan.

Isnin, 17 Januari 2011

KM SOKONG PILIH CALON YG DISENANGI RAKYAT

NAJIB...saran parti komponen pilih calon yang boleh menang.
MUSA...sokong pemilihan calon yang sesuai dan diterima rakyat.

Barisan Nasional (BN) Sabah bersetuju dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahukan parti-parti komponen BN melakukan pilihan yang tepat dan sesuai dalam memilih calon bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman, berkata beliau sendiri dari awal-awal lagi telah mengingatkan semua wakil rakyat BN yang ada di negeri ini dan mereka yang dipilih sebagai calon hendaklah mereka yang dikehendaki dan dapat diterima rakyat.

“Kita mahukan calon yang boleh memenangi kerusi yang mereka tandingi apabila diberi peluang sebagai calon mewakili BN,” katanya kepada wakil media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri di sini.

Beliau yang juga Pengerusi BN Sabah dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah mengulas kenyataan Najib yang juga Pengerusi BN Pusat yang menyarankan supaya anggota komponen BN membuat penilaian di samping mempunyai opsyen dalam memilih calon untuk pilihan raya akan datang dengan mengetengahkan mereka yang hanya benar-benar mempunyai peluang untuk menang sahaja.

Menurut Perdana Menteri, pemilihan calon yang berupaya untuk menang itu tidak semestinya seseorang yang mempunyai kedudukan atau popular dalam parti sebaliknya mereka yang dapat diterima baik oleh rakyat secara keseluruhannya di kawasan beliau bertanding.

Pengerusi BN Pusat itu berkata, ia satu prinsip yang begitu penting kerana calon yang dipilih itu akan mewakili BN dan calon tersebut semestinya boleh menang supaya parti mampu membentuk kerajaan.

Musa berkata, BN Sabah akan memberi penekanan dan keutamaan terhadap soal pemilihan calon akan datang dengan hanya mengetengahkan mereka yang boleh menang dan diterima oleh rakyat sahaja.

Perkembangan terbaru dalam BN ini seolah-olah menjadi satu peringatan drastik kepada parti-parti komponen supaya calon yang mereka tonjolkan mendapat restu daripada rakyat dan tidak lagi bersikap secara tangkap muat atau bidan terjun dalam soal memilih bakal calon.

Ini bertepatan sekali dengan trend pemikiran rakyat masa kini yang semakin matang khususnya dalam memberi sokongan kepada calon-calon yang hanya dekat di hati mereka kerana kesilapan memilih seseorang wakil rakyat akan mengakibatkan penyesalan yang tidak ada kesudahan dan menjadi kerugian besar kepada mereka.

SERIUS TANGANI KES BUANG BAYI, KATA MUSLIATI

MUSLIATI...masalah buang bayi kritikal.

Pergerakan Puteri Umno Sabah meminta pihak berkuasa supaya mengambil tindakan yang lebih serius terhadap usaha menangani isu pembuangan bayi yang semakin berleluasa di negeri ini kebelakangan ini.

Ketuanya, Musliati Moslimin, berkata lima kes pembuangan bayi yang dilaporkan sejak 1 Januari lepas di Sabah sahaja menggambarkan masalah itu kini ditahap kritikal dan ia memerlukan penggemblengan tenaga daripada semua pihak.

Katanya, pihaknya sangat sedih dengan keadaan yang berlaku kerana walaupun banyak pihak yang bercakap mengenai kes seumpama ini termasuk hebahan di media massa namun kes pembuangan bayi ini masih terus berlaku sehingga hampir setiap hari.

“Sebab itu, kita mendesak pihak yang bertanggungjawab agar melaksanakan program yang mampu membasmi masalah ini dengan lebih berkesan dan bukan sekadar dilakukan seperti melepas batuk ditangga sahaja.

Lima kes itu membabitkan penemuan mayat bayi di Gayang, Tuaran, dua janin di Pusat Commercial Salut, satu janin ditemui terapung di laut berhampiran Kampung Sing Kee di Tanah Merah, Sandakan dan satu janin di kawasan Taman Perumahan Che Mei, Lido di Penampang.

Musliati berkata, masalah itu semakin kritikal dan menuntut semua pihak memberi sumbangan bagi mencari jalan terbaik untuk menyelesaikannya.

Menurutnya, tanggungjawab pencegahan pembuangan bayi bukan sekadar harus dipikul oleh kerajaan semata-mata tetapi juga masyarakat keseluruhan yang boleh memainkan peranan dengan memantau aktiviti di kawasan masing-masing.

“Kita tidak boleh jangka bila dan di mana pihak yang tidak bertanggungjawab akan berbuat demikian,” kata Musliati.

Ketua Puteri Umno Sabah itu meluahkan rasa bimbang bahawa gejala itu akan membawa imej negatif terhadap Malaysia sebagai sebuah negara Islam jika ia tidak ditangani.

Beliau turut menyambut baik tindakan kerajaan menjadikan kes pembuangan bayi disiasat sebagai kes membunuh dan menyifatkannya sebagai suatu keputusan yang sangat wajar dan tepat pada masanya.

“Ini mustahak supaya isu ini tidak menjadi satu budaya dalam masyarakat kerana perbuatan itu bukan sahaja amat hina malah ia melibatkan dosa besar,” tegasnya.

Sabtu, 15 Januari 2011

SFX KENINGAU, SEKOLAH YG SENTIASA DIINGATI

Pelajar-pelajar kelas tingkatan 5A SFX tahun 1980 bergambar bersama Pengetua, Encik Alex Lumau (duduk enam dari kiri) dan guru-guru yang lain.

Guru-guru lelaki SFX Keningau.

Gelagat pelajar kelas tingkatan 5A. Dari kiri Easter, Susan, Francis, Vivian, Roger dan Winnie.

SUKAN TAHUNAN...peserta Rumah Biru bersama cikgu Pazil Jaafar (depan sekali) ketika sukan tahunan SFX.

Winnie dan Easter, dua sahabat yang paling rapat dalam kelas tingkatan lima 5A. Gambar mereka berdua ini cukup meninggalkan kesan dalam ingatan.

Selepas memperoleh kelulusan dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) pada 1979, saya tidak menyangka bahawa saya akan meneruskan pelajaran ke tingkatan empat di sebuah sekolah di pedalaman kerana kalau mengikut hasrat hati, saya pasti memilih untuk menyambung persekolahan ke Kota Kinabalu.

Bagaimanapun keluarga saya terutama bapa mempunyai perkiraan yang lain dan ini menyebabkan saya tiada pilihan melainkan meneruskan pelajaran ke tingkatan empat di St. Francis Xavier, Keningau, sebuah sekolah menengah yang agak popular di pedalaman.

Sebenarnya pada malam sebelum berangkat ke pekan Keningau keesokannya, tidur saya tidak menentu kerana memikirkan buat kali pertama menjejak kaki di sebuah pekan di pedalaman dan meneruskan pula pelajaran di situ tanpa kawan melainkan rakan-rakan yang baru nak dikenali.

Tetapi oleh kerana ia mungkin sudah tertulis dalam perjalanan hidup saya bahawa SFXlah tempat terbaik untuk saya menyambung persekolahan, saya sekadar mampu menuruti hasrat ayah saya untuk meneruskan pembelajaran di situ.

Selepas kali pertama memasuki kawasan sekolah SFX sehari selepas ketibaan di pekan Keningau, saya hanya ditemani sepupu saya yang ketika itu belajar di tingkatan lima di sekolah sama untuk menemui pengetua, Encik Alex Lumau, seorang individu yang selamba, berperwatakan baik dan tidak bercakap banyak.

Sebelum menemui pengetua tersebut, di luar bilik guru, saya benar-benar berasa tergamam dan seram sejuk apabila seorang guru, cikgu Baharuddin tiba-tiba menangkap leher baju seragam sekolah saya yang secara kebetulan tidak terpasang satu butang di bahagian leher baju, dan beliau berkata, " awak nak tunjuk samseng ke kat sini."

Saya hanya tercegat tanpa menyatakan apa-apa kerana tindakan itu seolah-olah menjadi petanda buruk terhadap permulaan saya memasuki kelas tingkatan empat di sekolah ini.

Mujurlah insiden itu rupanya hanyalah cabaran awal yang saya tempuhi dan ia bukan sesuatu bayangan buruk yang bakal menimpa saya di sekolah ini kerana akhirnya cikgu Baharuddin bukan saja menjadi guru yang saya minati malah ia kemudian menjadi sahabat yang baik sama ada ketika belajar di SFX dan sehinggalah beliau meninggalkan sekolah tersebut dan kami terus menjadi sahabat ketika kami sama-sama berada di Kota Kinabalu selepas beberapa tahun kemudian.

Selama dua tahun belajar di sekolah ini, dari tingkatan empat hingga tingkatan lima, beberapa guru yang saya kenali rapat ialah guru sejarah cikgu Pazil Jaafar, guru geografi cikgu Abdullah Hamid, guru matematik cikgu Abraham dan isteri dari India, guru bahasa Inggeris cikgu George Verghist juga dari India, cikgu Ani (sains) dan Halim (sastera).

Ketika di tingkatan lima, saya berada di kelas tingkatan 5A, sebuah kelas yang mempunyai pelajar yang memiliki karakter yang pelbagai dan popular menjadikan kelas ini sangat dikenali bukan saja di kalangan guru-guru malah pelajar-pelajar dari kelas lain.

Nama-nama pelajar yang hangat seperti Susan A. Jui, Vivian Louis, Roger Amandus, Easter Sutili, Winnie Leong, Yohani Jasni, Hasnol Ayub, Baharun Kasran, Guptah Nair, Jinuin Jaunal, Alex Ditah, Noya Jaafar, James Liput, Joseph Sundangking, Edwin, Justin Mikin, Francis Morsidin, Kong Tze Pin, Paliton Y, Judith Quadra, Philip Francis, Felix Francis dan secara kebetulan saya juga boleh bersahabat baik dengan mereka atau dengan kata lain boleh "masuk" dengan kumpulan mereka ini.

Di kelas tingkatan 5B, saya hanya mengenali beberapa rakan seperti Henry A. Dulasim atau kini dikenali sebagai Mohd Khairy Abdullah, Jackson Angah, Serinus Thomas dan Julian Lingkiron. Kami semua memang rapat dan persahabatan kami semakin ketara dan bertambah erat lagi apabila kami juga bersama-sama menjadi penghuni asrama Yayasan Sabah Keningau sepanjang tahun 1980, yang secara kebetulan saya menjadi pengerusi asrama tersebut ketika itu.

Selepas keputusan SPM pada 1981, kami semua terpisah kerana sama ada menyambung persekolahan atau ada sesetengahnya mendapat peluang pekerjaan dan tidak meneruskan persekolahan, malah ada juga yang terkandas dan terpaksa mengulang untuk menduduki semula peperiksaan SPM.

Saya adalah antara yang bernasib baik kerana layak untuk menyambung persekolahan lagi setelah berjaya dalam peperiksaan SPM pada tahun itu.

Setelah lebih 30 tahun meninggalkan SFX, pada November tahun lepas, bekas pelajar SFX terutama pelajar tingkatan lima tahun 1980 telah menganjurkan majlis reunion yang dihadiri beberapa bekas pelajar dan juga guru-guru yang pernah mengajar di sekolah ini termasuk bekas pengetua kami, Encik Alex Lumau dan isteri.

Malangnya saya tidak dapat menghadiri majlis tersebut kerana kebetulan mempunyai komitmen lain di Kota Kinabalu tetapi dari kejauhan saya dapat berkongsi keseronokan dengan rakan-rakan yang menghadiri majlis reunion itu yang menceritakan kemeriahan pertemuan mereka pada malam itu.

Pada saya secara peribadi, sungguh pun hanya dua tahun belajar di sekolah ini, SFX sebenarnya satu-satunya sekolah menengah yang saya sukar lupakan kerana keramahan dan kemesraan rakan-rakan sepersekolahan selain keunikan sekolah ini yang membenarkan pelajar lelakinya berambut panjang hingga menutupi telinga, yang mungkin tidak berlaku di sekolah lain.

Walaupun saya datang dari daerah yang jauh di Kuala Penyu namun kesempatan belajar di SFX adalah suatu pengalaman dan kenangan yang meninggalkan kesan yang sangat mendalam terhadap diri saya sehingga kini dan agaknya sampai bila-bila.

Bak kata cikgu Pazil Jaafar yang memulakan kerjaya sebagai guru di sekolah ini, SFX menjadi sekolah istimewa kerana kerjaya perguruannya bermula di sini dan tentunya ia sangat sukar dilupakan. Kerana itu juga apabila dimaklumkan dengan majlis reunion itu, cikgu Pazil yang kini menjadi Pengetua di SMK Mergong, Kedah sanggup kembali ke Keningau hanya kerana ingin bertemu semula dengan bekas-bekas pelajar tersebut.

Kesanggupan seorang guru seperti cikgu Pazil itu mencerminkan betapa SFX ada sesuatu yang benar-benar menggamit perasaan untuk beliau datang semula sekalipun puluhan tahun sudah ditinggalkan.

Saya sendiri pun apabila berpeluang untuk bertemu semula dengan beberapa orang rakan sekelas di SFX dulu merasakan seolah-olah tempoh lebih 30 tahun lalu kami terpisah itu terasa bagaikan baru sahaja berlalu. Apa lagi apabila mengimbau detik-detik bersama mereka sama ada di dalam kelas ketika itu atau di luar kelas...kenangan itu kadangkala sangat menyentuh perasaan dan seakan-akan boleh menitis air mata untuk mengenangkannya semula.

Inilah antara keistimewaan SFX dan keakraban pelajar-pelajarnya sentiasa menjadi ingatan dan ia sentiasa segar walaupun sudah puluhan tahun terpisah demi mengejar kerjaya dan kehidupan masing-masing.

Pelajar di sekolah ini silih berganti setiap tahun namun nama SFX sentiasa terukir indah dalam ingatan dan amat sukar untuk dilupakan. Ia meninggalkan banyak kenangan dan pada masa yang sama memberi seribu harapan kepada pelajar yang menjejak kaki di sekolah ini.


Jumaat, 14 Januari 2011

KENAPA SAYA RELA JADI NOMBOR TIGA?

LOKMAN...jawatan bukan segala-galanya.

Ramai rakan-rakan baik dalam parti sendiri, Upko Bahagian Beaufort mahu pun rakan-rakan seperjuangan dalam komponen Barisan Nasional bertanya, kenapa saya memberi laluan kepada orang lain dan sanggup menjadi orang nombor tiga dalam parti di bahagian daripada nombor dua sebelum ini.

Atau dalam bahasa yang lebih mudah daripada memegang jawatan timbalan ketua bahagian menjadi naib ketua bahagian satu walaupun belum diadakan sebarang pemilihan dalam parti di bahagian ini.

Saya memenangi jawatan Timbalan Ketua Upko Bahagian Kuala Penyu tanpa bertanding pada pemilihan parti pada 2004 selepas tiga calon lain gagal mendapat pencalonan yang mencukupi bagi melayakkan diri untuk bertanding.

Secara kebetulan ketua bahagian, Datuk Wences Angang juga telah mengekalkan jawatan beliau selepas menang tanpa bertanding bagi jawatan tersebut.

Apabila Majlis Tertinggi Upko memutuskan untuk kembali menggunakan bahagian mengikut kawasan Parlimen berbanding mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Penyu sebelum ini pada tahun lalu (2010), ketua bahagian, Datuk Wences Angang memberi pandangan supaya saya secara sukarela memberi laluan jawatan timbalan ketua bahagian kepada Adun Kuala Penyu yang baru, John Teo Mau Sing, yang sebelum ini memegang jawatan sebagai penolong bendahari bahagian.

Memikirkan bahawa jawatan bukanlah segala-galanya, saya tanpa dalih menyatakan persetujuan terhadap cadangan ketua bahagian itu.

"Kalau itu yang terbaik pada pandangan Datuk, secara peribadi ia tidak menjadi masalah besar kepada saya kerana pada saya, jawatan bukanlah segala-galanya. Pada saya tanpa jawatan dalam bahagian sekalipun, saya masih boleh menyumbang tenaga dan memberi kerjasama untuk kebaikan BN di kawasan Parlimen Beaufort dan DUN Kuala Penyu," saya memberi maklum balas terhadap cadangan ketua bahagian.

Ekoran daripada itu, Datuk Wences menjelaskan bahawa dengan persetujuan itu, saya akan diletakkan sebagai naib ketua bahagian 1 atau dalam istilah lain, orang nombor tiga dalam bahagian.

Situasi ini bukanlah satu masalah besar kepada saya kerana ini sebahagian pengorbanan kita kepada parti dan BN. Malah saya pernah memberitahu ketua bahagian bahawa jika beliau tidak menyenaraikan saya pun dalam bahagian, ia tidak menjadi masalah kepada saya walaupun ketua bahagian kurang bersetuju dengan apa yang saya perkatakan itu.

Apa pun saya tetap berterima kasih kepada ketua bahagian dan kepimpinan tertinggi Upko termasuk Presiden, Tan Sri Bernard Dompok dan semua ahli majlis tertinggi kerana penyusunan semula penaja Upko Bahagian Beaufort masih memberi peluang kepada saya memegang jawatan sebagai orang nombor tiga.

Kerana kedudukan itu juga membolehkan saya terus menganggotai Jawatankuasa BN Bahagian Beaufort yang dipengerusikan oleh Anggota Parlimen Beaufort yang juga Ketua Umno Bahagian Beaufort, Datuk Seri Panglima Lajim Haji Ukin.

Tiga lagi wakil Upko bahagian yang menganggotai jawatankuasa itu ialah Datuk Wences Angang , setiausaha bahagian, David Etin dan Adun Kuala Penyu, John Teo Mau Sing yang secara automatik menjadi anggota atas kapasiti sebagai wakil rakyat.

Pada saya pembabitan dalam jawatankuasa BN Bahagian Beaufort cukup bermakna kerana bukan sahaja boleh turut berkongsi idea bagi memperkasa gerak kerja BN khususnya di bahagian Beaufort malah ia turut memberi banyak pengalaman hasil pendedahan yang dilalui bersama dengan anggota-anggota jawatankuasa yang lain.

Ini sangat penting bagi pemimpin-pemimpin komponen BN khususnya dalam merangka strategi dan persediaan bagi menghadapi sebarang pilihan raya yang diadakan pada masa akan datang.


Khamis, 13 Januari 2011

SALLEH SPEAKER DUN SABAH YANG BARU

SALLEH...Speaker DUN Sabah yang baru.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Salleh Tun Said dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang baru dan akan mengangkat sumpah bagi memegang jawatan itu pada Isnin ini.

Salleh, 53, yang juga bekas Ketua Menteri menggantikan Datuk Seri Juhar Haji Mahiruddin yang dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri yang ke-10, baru-baru ini.

Sebelum ini, Salleh juga merupakan Penasihat Sains kepada Ketua Menteri, satu jawatan yang bertaraf menteri.

Pelantikan beliau sebagai Speaker yang baru diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman, dan berkata bahawa Yang Dipertua Negeri telah memperkenan pelantikan tersebut.

Menurut Musa, beliau telah memaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai pelantikan itu dan Perdana Menteri telah bersetuju mengenainya.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai pelantikan itu, Ketua Menteri, berkata ia dibuat berdasarkan pengalaman luas yang dimiliki Salleh.

"Kita mahu lantik Speaker yang mempunyai pengalaman luas kerana jawatan itu penting dalam mengendalikan persidangan dewan," katanya.

Dengan pengumuman pelantikan itu telah mengakhiri teka-teki sebelum ini mengenai siapa individu yang akan diberi kepercayaan mengisi kekosongan jawatan tersebut.