Selasa, 18 Januari 2011

KM SOKONG PILIH CALON YG DISENANGI RAKYAT

NAJIB...saran parti komponen pilih calon yang boleh menang.
MUSA...sokong pemilihan calon yang sesuai dan diterima rakyat.

Barisan Nasional (BN) Sabah bersetuju dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahukan parti-parti komponen BN melakukan pilihan yang tepat dan sesuai dalam memilih calon bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman, berkata beliau sendiri dari awal-awal lagi telah mengingatkan semua wakil rakyat BN yang ada di negeri ini dan mereka yang dipilih sebagai calon hendaklah mereka yang dikehendaki dan dapat diterima rakyat.

“Kita mahukan calon yang boleh memenangi kerusi yang mereka tandingi apabila diberi peluang sebagai calon mewakili BN,” katanya kepada wakil media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri di sini.

Beliau yang juga Pengerusi BN Sabah dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah mengulas kenyataan Najib yang juga Pengerusi BN Pusat yang menyarankan supaya anggota komponen BN membuat penilaian di samping mempunyai opsyen dalam memilih calon untuk pilihan raya akan datang dengan mengetengahkan mereka yang hanya benar-benar mempunyai peluang untuk menang sahaja.

Menurut Perdana Menteri, pemilihan calon yang berupaya untuk menang itu tidak semestinya seseorang yang mempunyai kedudukan atau popular dalam parti sebaliknya mereka yang dapat diterima baik oleh rakyat secara keseluruhannya di kawasan beliau bertanding.

Pengerusi BN Pusat itu berkata, ia satu prinsip yang begitu penting kerana calon yang dipilih itu akan mewakili BN dan calon tersebut semestinya boleh menang supaya parti mampu membentuk kerajaan.

Musa berkata, BN Sabah akan memberi penekanan dan keutamaan terhadap soal pemilihan calon akan datang dengan hanya mengetengahkan mereka yang boleh menang dan diterima oleh rakyat sahaja.

Perkembangan terbaru dalam BN ini seolah-olah menjadi satu peringatan drastik kepada parti-parti komponen supaya calon yang mereka tonjolkan mendapat restu daripada rakyat dan tidak lagi bersikap secara tangkap muat atau bidan terjun dalam soal memilih bakal calon.

Ini bertepatan sekali dengan trend pemikiran rakyat masa kini yang semakin matang khususnya dalam memberi sokongan kepada calon-calon yang hanya dekat di hati mereka kerana kesilapan memilih seseorang wakil rakyat akan mengakibatkan penyesalan yang tidak ada kesudahan dan menjadi kerugian besar kepada mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan