Jumaat, 4 Mac 2011

13,000 GURU SANDARAN KEMBALI BERTUGAS

Muhyiddin bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman bersalaman dengan orang ramai setibanya di Tongod.

Seramai 13,000 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di seluruh negara yang menerima surat penamatan tugas tahun lepas menerima berita gembira apabila Kementerian Pelajaran memutuskan untuk melanjutkan perkhidmatan mereka.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pihaknya telah meneliti keadaan itu dan membuat keputusan GSTT harus dikekalkan dan notis pemberhentian yang dikeluarkan sebelum ini ditarik balik.


"Saya minta Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran mengeluarkan surat pemberitahuan kepada mereka yang sudah berkhidmat dua, tiga hingga lima tahun, kita beri mereka peluang meneruskan perkhidmatan dan menempatkan mereka di tempat yang sesuai," katanya.


Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan perkara itu di Tongod, kelmarin. Beliau diminta mengulas masalah 578 GSTT di Sabah yang ditamatkan kontrak dan terdapat permintaan termasuk daripada Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan agar kontrak mereka disambung semula.

Muhyiddin berkata, beliau sudah mengeluarkan arahan sejak dua bulan lepas bagi menarik balik surat pemberhentian itu dan mengekalkan khidmat GSTT yang terlibat.


Katanya, keputusan mengekalkan GSTT adalah bagi memberi mereka peluang untuk menjadi guru yang terlatih.


"Jika mereka hendak diserap kepada guru terlatih dan tidak cukup kelayakan, pendekatan yang sesuai diambil dengan memberi mereka peluang mengikuti kursus lanjutan dan kursus dalam cuti," katanya.


Timbalan Perdana Menteri berkata, pendekatan ini bagi membolehkan GSTT meningkatkan keupayaan mereka dalam bidang mata pelajaran pilihan bukan am seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia, Sains dan Matematik.


Beliau juga menasihatkan GSTT supaya bersedia untuk mberkhidmat di mana sahaja mereka dihantar bertugas kerana mereka tidak semestinya dihantar semula bertugas di sekolah asal.


"Pengambilan GSTT yang baru tidak perlu diisi dahulu tetapi disemak dengan Pengarah pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran," kata beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan