Sabtu, 5 Mac 2011

PM SIFATKAN AZIZULHASNI TOKOH IKON SEBENAR

SUMBANGAN...Najib menyampaikan sumbangan MSN kepada Azizulhasni sambil diperhatikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang, yang tetap meneruskan perlumbaan walaupun mengalami kecederaan ketika Kejohanan Trek Berbasikal Siri Piala Dunia di Manchester bulan lepas sebagai tokoh ikon yang sebenar.

"Anda membuat kami berasa bangga kerana telah menunjukkan apa sebenarnya semangat itu."

"Sebenarnya anda adalah tokoh ikon yang sebenar-benar yang tidak mengenal erti menyerah kalah," katanya pada majlis jamuan tengah hari dengan rakyat Malaysia yang kebanyakannya pelajar dan turut dihadiri Azizulhasni di Universiti Melbourne, di sini.

Azizulhasni merupakan penuntut universiti berkenaan dan kini berpangkalan di sini bersama skuad berbasikal trek negara.


Pada majlis itu, Perdana Menteri menyampaikan sumbangan RM30,679.00 dari Majlis Sukan Negara (MSN) kepada jaguh berbasikal trek negara itu.


Najib menyifatkan episod Azizulhasni sebagai satu cerita yang menarik kerana ia seolah-olah sikap menyerah kalah tidak ada dalam kamus hidupnya.


"Anda hadapi rintangan dan atasi rintangan itu. Anda ahadapi cabaran, anda menanggung kesakitan itu dan jika anda tanggung kesakitan itu, anda akan berjaya," tegas beliau.

Azizulhasni terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan serpihan kayu sepanjang 20 sentimeter tertusuk di betis kirinya sewaktu menyertai kejohanan siri Piala Dunia di Manchester.


Biarpun betisnya masih tertusuk serpihan kayu namun Azizulhasni bingkas menunggang semula basikalnya untuk menamatkan perlumbaan dan meraihkan pingat gangsa, memastikannya terus mengungguli ranking pertama Siri Klasik Piala Dunia.

Najib berkata, Azizulhasni juga merupakan simbol dalam hubungan Malaysia-Australia seperti yang disebut oleh Perdana Menteri Australia, Julia Gillard bahawa Azizulhasni adalah pelumba Malaysia di bawah asuhan Australia.


Malaysia menyandarkan harapan kepada Azizulhasni untuk meraihkan pingat emas pada Sukan Olimpik 2012 di London.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan