Ahad, 1 Mei 2011

ANIFAH PERSOAL PRESTASI PETRONAS DI KIMANIS

ANIFAH...tuntut Petronas laksana apa yang dipersetujui.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menggesa syarikat minyak negara, Petronas menyegerakan pembinaan sekolah teknikal yang khusus untuk melatih anak-anak tempatan di Sabah terutama dari golongan Bumiputera dalam bidang minyak dan gas.

Katanya, langkah itu akan membuka peluang kepada tenaga kerja di negeri ini untuk merebut peluang pekerjaan di dalam sektor tersebut yang dilaksanakan di Sabah nanti.

"Petronas juga wajar memberi peluang kepada syarikat perniagaan Bumiputera Sabah sendiri untuk melaksanakan kerja-kerja yang berkaitan minyak dan gas di negeri ini," katanya.

Beliau yang juga Anggota Parlimen kawasan Kimanis menyatakan perkara itu ketika merasmikan Mesyuarat agung tahunan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) cawangan Sabah di sini.

Anifah berkata, pihaknya telah meminta supaya Petronas membina loji di kawasan minyak dan gas di Kimanis.

Sambil melahirkan rasa kecewa, beliau berkata sehingga ini tidak banyak yang dilakukan Petronas selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan DPPMM Sabah berkaitan projek minyak dan gas di kawasan Kimanis.

Menteri Luar itu mendakwa bahawa Petronas tidak menepati syarat selepas penduduk Kampung Takis di Papar juga di dalam kawasan Kimanis, menyerahkan kawasan tanah adat seluas 100 hektar bagi pembangunan satu terminal minyak dan gas.

Katanya, syarikat minyak negara itu harus melaksanakan apa yang telah dipersetujui agar kesan limpahan daripada projek tersebut akan dapat dirasai oleh rakyat di negeri ini.

1 ulasan:

  1. mana ya mau cari kerja dgn syarikat yang ada projek di kimanis ni... tak kan tiada peluang kerjaya di sana? atau peluang bisnis..

    BalasPadam