Selasa, 31 Mei 2011

MAJLIS PENUTUPAN PESTA KAAMATAN PERINGKAT NEGERI 2011

Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin (tengah) bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman (dua dari kiri) dan Presiden KDCA, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan mengetam padi pada upacara penutupan rasmi Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri 2011 di Hongkod Koisaan KDCA di Penampang.

Datuk Seri Musa bergambar dengan Tan Sri Joseph Pairin, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan, Datuk Clarence Bongkos dan Datuk Dr. Maximus Ongkili.

Datuk Seri Musa berbual dengan Tun Juhar ketika menghadiri majlis penutupan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri di Hongkod Koisaan KDCA, Penampang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman yang diiringi Tan Sri Joseph Pairin bersalaman dengan pengunjung pada penutupan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri.

Ahad, 29 Mei 2011

KJ PERJELAS PENGGANTIAN AZMAN

TIADA MASALAH...Khairy (dua dari kiri) bersama Azman dan Ketua Umno Bahagian Keningau, Datuk Sairin Karno (kiri sekali) memotong kek pada persidangan itu.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin menjelaskan bahawa penggantian Ketua Pemuda Umno Sabah, Azman Haji Ruslan baru-baru ini bukan disebabkan beliau tidak menjalankan tugas tetapi ia ada kaitan dengan "perang dingin" dalam kepimpinan Umno Sabah.

Katanya, penggantian itu adalah amalan biasa dalam parti.

Jawatan Ketua Pemuda Umno Sabah diambil alih oleh Awang Kadin Tang, yang sebelum itu adalah Naib Ketua Pemuda Umno Sabah.

Bagaimanapun, penukaran Azman yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Keningau mencetuskan tanda tanya kepada sesetengah pemimpin pergerakan pemuda Umno bahagian yang menuntut Khairy memberi penjelasan.

Ketika merasmikan persidangan perwakilan Pemuda Umno Bahagian Keningau di salah sebuah hotel di Keningau, Khairy menggesa anggota pergerakan itu supaya tidak membabitkan diri dengan "perang dingin" dalam kepimpinan parti sebaliknya memberi fokus terhadap persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Namun begitu, Ketua Pemuda Umno itu tidak pula menyebut pemimpin yang terlibat dalam perang dingin tersebut.

Yang nyata pelucutan jawatan Azman itu dibuat selepas beliau dilantik sebagai pengerusi sebuah anak syarikat di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang diterajui Datuk Shafie Apdal.

Pada majlis yang sama, Azman pula menyatakan, beliau tidak terkilan dengan penukaran itu malah memberi sokongan penuh kepada penggantinya Awang Kadin untuk terus memimpin pergerakan itu di negeri ini.

Menurut beliau, pihaknya juga memberi sokongan kepada kepimpinan Datuk Seri Musa Haji Aman selaku Ketua Perhubungan Umno Sabah dan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak.


Jumaat, 27 Mei 2011

LAGI GESAAN "SULTAN SULU" DIUSIR KELUAR

JAHID...Ketua Pemuda PBS.

CHRISTINA...tidak boleh dimaafkan.

Sebuah lagi anggota komponen Barisan Nasional (BN), Parti Bersatu Sabah (PBS) turut menyatakan pendiriannya supaya bekas tahanan ISA, Datu Akjan Mohd Ali yang mendakwa dirinya Sultan Sulu diusir keluar seberapa segera.

Pendirian terkini anggota kedua terbesar parti komponen BN di Sabah selepas Umno sebagai sokongan kepada gesaan Upko yang mahu kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri membatalkan kewarganegaraan Akjan dan segera mengusirnya dari negara ini.

Ketua Pemuda PBS, Datuk Jahid Jahim, berkata pergerakan itu meragui status kewarganegaraan yang dimiliki Akjan.

Katanya, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen perlu menyiasat status kewarganegaraan Akjan untuk membolehkan mereka menentukan undang-undang mana yang telah dicabuli oleh bekas tahanan ISA itu dan tindakan haruslah diambil terhadapnya.

Beliau yang juga Pembantu Menteri Belia dan Sukan Negeri berkata, partinya menyokong penuh terhadap gesaan rakan komponen, Upko sebelum ini supaya "Sultan Sulu" diusir keluar dalam kadar yang segera.

"Kes Akjan ini membabitkan kepentingan awam. Kerana itu, undang-undang harus melihat dakwaan serius itu dari semua sudut status kewarganegaraannya," tegas beliau.

Sementara itu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian Kota Kinabalu turut menyokong supaya tindakan tegas diambil ke atas Akjan termasuk mengusirnya dari Malaysia.

Ketuanya, Christina Liew berkata, bekas tahanan ISA jelas bersikap khianat dan tidak menghormati langsung kedaulatan Malaysia dengan mengisytiharkan dirinya sebagai Sultan Sulu sedang dia mendakwa sebagai warganegara Malaysia.

"Perbuatan khianat ini boleh mengancam keselamatan negara dan tidak boleh dimaafkan dan tindakan yang paling wajar ialah mengusirnya dari bumi negara ini," katanya.

Khamis, 26 Mei 2011

UPKO GESA KERAJAAN USIR "SULTAN SULU"

BUMBURING...usir segera.

Pertubuhan Kebangsaan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) segera mengusir keluar "Sultan Sulu", Datu Akjan Mohd Ali dari negara ini.

Timbalan Presidennya, Datuk Wilfred Bumburing, berkata tindakan Akjan, bekas tahanan ISA menabalkan dirinya sebagai Sultan Sulu baru-baru ini adalah satu penghinaan kepada Yang DiPertuan Agong, pemerintah tertinggi yang berdaulat ini.

Katanya, ia juga merupakan satu cabaran langsung kepada Yang Dipertua Negeri.

Akjan mengisyitiharkan dirinya sebagai Sultan Sulu di kediamannya di Kg Likas pada 2 Februari lepas.

Bumburing yang juga Anggota Parlimen Tuaran, berkata tindakan Akjan itu juga satu penghinaan kepada perlembagaan negara.

"Kita meragui status kewarganegaraan bekas tahanan ISA ini dan seharusnya kewarganegaraannya dibatalkan dan dia perlu dihantar balik ke negara asal," tegasnya.

Timbalan Presiden Upko itu turut meminta Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan agar bertindak positif terhadap memorandum yang beliau serahkan kepada kementerian berkenaan Disember lepas di mana beliau bangkitkan sekali lagi ketika sidang Parlimen pada Mac tahun ini.

Katanya, pada Jun tahun lepas, KDN mencabar beliau untuk mengemukakan bukti pendatang asing di Sabah yang diberikan Mykad atau kewarganegaraan melalui cara yang salah dan beliau telah mengumpulkan bukti-bukti itu dan menyerahkan kepada kementerian itu.

Ahad, 15 Mei 2011

SAMBUTAN TADAU KAAMATAN UPKO 2011

Tan Sri Bernard Dompok bersama barisan kepimpinan Upko menyambut ketibaan Datuk Seri Musa Aman ke rumah terbuka Tadau Kaamatan Upko di Dewan Masyarakat Menggatal.


Tan Sri Bernard bercakap kepada pemberita RTM pada sambutan perayaan itu.

Tan Sri Bernard memotong makan tradisi suku kaum Murut yang dibungkus dengan daun.

YB Justine Guka, Adun Bingkor (kanan) bersama Naib Ketua Bahagian Upko Beaufort, Lokman Sunggim pada sambutan Tadau Kaamatan Upko 2011 di Menggatal.

Sebagaimana kebiasaannya, Pertubuhan Kebangsaan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) akan mengadakan sambutan perayaan Tadau Kaamatan setiap tahun.

Sambutan ini diadakan di daerah-daerah di seluruh negeri ini secara bergilir mengikut ketetapan yang diputuskan oleh pihak penganjur.


Tahun ini, sambutan perayaan itu berpusat di Dewan Masyarakat Menggatal.


Antara tetamu kehormat yang menghadiri rumah terbuka sempena pesta itu ialah Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman.

Presiden Upko, Tan Sri Bernard Dompok mengetuai barisan kepimpinan tertinggi parti itu menyambut ketibaan kedua-dua tetamu kehormat tersebut.


Pelbagai program menarik disusun bagi memeriahkan perayaan itu termasuk acara kemuncaknya pertandingan Unduk Ngadau (ratu cantik) selain pertandingan makanan tradisi, pertandingan orang kuat serta pertunjukkan oleh orang-orang kuat di Sabah, salah satu acara yang mendapat sambutan hangat orang ramai.