Isnin, 30 Mei 2011

KJ PERJELAS PENGGANTIAN AZMAN

TIADA MASALAH...Khairy (dua dari kiri) bersama Azman dan Ketua Umno Bahagian Keningau, Datuk Sairin Karno (kiri sekali) memotong kek pada persidangan itu.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin menjelaskan bahawa penggantian Ketua Pemuda Umno Sabah, Azman Haji Ruslan baru-baru ini bukan disebabkan beliau tidak menjalankan tugas tetapi ia ada kaitan dengan "perang dingin" dalam kepimpinan Umno Sabah.

Katanya, penggantian itu adalah amalan biasa dalam parti.

Jawatan Ketua Pemuda Umno Sabah diambil alih oleh Awang Kadin Tang, yang sebelum itu adalah Naib Ketua Pemuda Umno Sabah.

Bagaimanapun, penukaran Azman yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Keningau mencetuskan tanda tanya kepada sesetengah pemimpin pergerakan pemuda Umno bahagian yang menuntut Khairy memberi penjelasan.

Ketika merasmikan persidangan perwakilan Pemuda Umno Bahagian Keningau di salah sebuah hotel di Keningau, Khairy menggesa anggota pergerakan itu supaya tidak membabitkan diri dengan "perang dingin" dalam kepimpinan parti sebaliknya memberi fokus terhadap persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Namun begitu, Ketua Pemuda Umno itu tidak pula menyebut pemimpin yang terlibat dalam perang dingin tersebut.

Yang nyata pelucutan jawatan Azman itu dibuat selepas beliau dilantik sebagai pengerusi sebuah anak syarikat di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang diterajui Datuk Shafie Apdal.

Pada majlis yang sama, Azman pula menyatakan, beliau tidak terkilan dengan penukaran itu malah memberi sokongan penuh kepada penggantinya Awang Kadin untuk terus memimpin pergerakan itu di negeri ini.

Menurut beliau, pihaknya juga memberi sokongan kepada kepimpinan Datuk Seri Musa Haji Aman selaku Ketua Perhubungan Umno Sabah dan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan