Sabtu, 18 Jun 2011

13,000 GSTT DISERAP SEMULA SELEPAS DIBERI LATIHAN

Lajim menyampaikan cenderakenangan kepada Muhyiddin pada persidangan itu.

Muhyiddin (atas pentas) dikerumuni para jurugambar selepas merasmikan Persidangan perwakilan Umno Bahagian Beaufort.

Seramai 13,000 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di seluruh negara akan diberi latihan terlebih dahulu di Institut Perguruan Malaysia selama 18 bulan sebelum mereka diserapkan semula untuk meneruskan perkhidmatan mereka, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran, berkata bilangan itu termasuk 500 orang dari Sabah dan Sarawak akan mengambil masa sedikit untuk diambil berkhidmat semula.

"Oleh kerana bilangan mereka ramai maka ini akan mengambil masa sedikit tetapi jika bilangan itu hanya 500 orang, esok pun kita boleh serapkan mereka semula," kata beliau sebagai mengulas permintaan Ketua Umno Bahagian Beaufort, Datuk Seri Panglima Lajim Haji Ukin supaya kira-kira 500 GSTT dipertimbangkan untuk diambil berkhidmat semula.

Muhyiddin berkata, pihaknya sudah pun mengarah Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan supaya menawarkan semula GSTT terbabit ke jawatan mereka.

Bagaimanapun, katanya, memandangkan jawatan mereka sebelum ini sudah diisikan oleh guru-guru terlatih maka GSTT yang belum diserapkan itu akan diberi latihan bagi melayakkan mereka untuk diambil berkhidmat semula.

"Selepas mengikuti latihan di Institut Perguruan Malaysia dalam tempoh 18 bulan, mereka ini akan diserapkan semula untuk meneruskan perkhidmatan," katanya.

Sebelum itu, Lajim yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan mendakwa menerima sistem pesanan ringkas (sms) daripada beberapa GSTT yang mahu perkara itu disampaikan kepada Menteri Pelajaran itu.

Katanya, masalah mereka itu perlu diberi perhatian kerajaan sebelum pilihan raya umum.

"Bilangannya 500 orang dan jika termasuk keluarga mereka, ini boleh menyebabkan BN boleh kalah satu kawasan dalam pilihan raya," tegas Lajim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan