Isnin, 20 Jun 2011

BERI KELULUSAN RASMI TEMPAT KHAS LETAK BAS DI INANAM

BINCANG...Lokman bersama pegawai dari DBKK, Jainie Wagiman berbincang dengan pengusaha berhubung tempat khas meletak bas di pekan Inanam.

Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) diminta memberi kelulusan rasmi terhadap petak khas meletak bas yang dijanjikan kepada pengusaha-pengusaha bas di pekan Inanam bagi membolehkan mereka tidak menghadapi masalah berurusan dengan syarikat pengendali lot letak kereta di pekan berkenaan.

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Bumiputera Sabah (PPBBS), Lokman Sunggim, berkata walaupun pegawai-pegawai DBKK telah memberi jaminan kepada pengusaha terbabit mengenai penyediaan tempat khas itu namun mereka tidak menerima sebarang kelulusan rasmi setakat ini.

Katanya, keadaan itu menyebabkan mereka masih menghadapi masalah kerana tidak mendapat kerjasama sepenuhnya daripada syarikat pengendali lot-lot letak kereta di situ.

“Saya kira perkara ini perlu diselesaikan segera dan DBKK perlu konsisten dengan keputusannya untuk menyediakan tempat khas itu kepada pengusaha terbabit sebagaimana yang telah dijanjikan kepada mereka,” katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan pengusaha-pengusaha tersebut di pekan Inanam.

Lokman berkata, pihaknya difahamkan Mayor Datuk Abidin Madingkir pada dasarnya telah bersetuju untuk menyediakan tempat khas itu yang telah dipohon oleh pengusaha terbabit sejak puluhan tahun yang lalu.

“Kita ingin mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Mayor di atas keprihatinan beliau dan berharap masalah ini dapat diselesaikan dalam kadar yang segera,” katanya.

Beliau yang juga Naib Ketua Bahagian 1 Upko Beaufort dan Ahli Jawatankuasa Barisan Nasional (BN) Bahagian Beaufort meminta kerjasama DBKK supaya tidak berlengah menangani masalah tersebut memandangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan melawat pekan berkenaan pada hujung bulan ini.

Menurutnya, masalah ketiadaan tempat khas meletak bas itu dihadapi oleh pengusaha terbabit begitu lama dan sudah tiba masanya jalan penyelesaian diambil.

“Kita memahami kesukaran yang dihadapi pengusaha-pengusaha bas ini dan ia seharusnya tidak dibiarkan begitu sahaja oleh pihak yang berkenaan kerana ini boleh menjejaskan imej kerajaan pada pandangan rakyat,” tegasnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan