Sabtu, 18 Jun 2011

SELESAIKAN ISU PEMIMPIN "BERMASALAH", SYOR LAJIM

LAJIM...singkirkan.

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Panglima Lajim Haji Ukin mencadangkan kepimpinan tertinggi parti supaya menyelesaikan isu pemimpin bermasalah baik di peringkat kepimpinan negeri, bahagian mahu pun cawangan.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Beaufort mahu supaya masalah yang membelenggui semua peringkat kepimpinan tersebut ditangani segera bagi mengelak ia menjejaskan parti.

"Pada hari ini, saya ingin mencadangkan mana-mana pemimpin yang bermasalah perlu diselesaikan sebelum ia menjejaskan Umno dalam pilihan raya umum nanti," katanya ketika berucap pada Persidangan perwakilan Umno bahagian berkenaan di Beaufort, di sini.

Menurut Lajim, sekiranya pemimpin bermasalah itu membabitkan wakil-wakil rakyat dan jika keduanya boleh menjejaskan parti, mereka (kedua-duanya) hendaklah disingkirkan dan jangan lagi dicalonkan pada pilihan raya akan datang.

Mesej daripada AMT Umno itu memberi kejutan dalam persidangan bahagian berkenaan yang dirasmikan oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Salleh Said Keruak dan Penolong Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Masidi Manjun selaku wakil badan perhubungan Umno negeri.

Lajim berkata, sebarang pertelingkahan dan pergeseran yang berlaku akan menjejaskan parti dalam melakukan persiapan menghadapi pilihan raya.

Kerana itu, kepimpinan tertinggi hendaklah mengambil usaha untuk segera menyelesaikannya, kata beliau.

Mengulas isu berkaitan, Muhyiddin berkata pemimpin semua peringkat dalam parti termasuk akar umbi perlu mengutamakan perpaduan untuk membolehkan Barisan Nasional menang dalam pilihan raya.

"Musuh kita bukan dari dalam tetapi musuh sebenar kita ada di luar sana. Kalau nak tentang, tentanglah mereka, bukan sesama kita dalam parti," tegasnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan