Sabtu, 25 Jun 2011

TREND PENGIKLANAN DI BAS MAKIN BERKEMBANG DI SABAH, S'WAK

Mursidi memantau kerja-kerja pemasangan iklan di bas yang dilakukan kakitangan Ad-On-Bus.

Kaedah pengiklanan di bas kini menjadi satu trend yang sedang berkembang pesat di Sabah dan Sarawak, bagi memperkenal dan mempromosikan sesuatu produk, menurut analisis sebuah syarikat agen pengiklanan yang terkenal di Kuala Lumpur.

Ad-On-Bus Sdn. Bhd., sebuah syarikat yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang pengiklanan menyatakan sebelum ini pengiklanan sedemikian hanya popular di Semenanjung Malaysia terutama di kawasan bandar-bandar besar.

Bagaimanapun, akhir-akhir ini syarikat itu mendapati bahawa kaedah pengiklanan di bas ini kini mulai mendapat sambutan memberangsangkan syarikat-syarikat besar untuk mempromosikan produk mereka di negeri ini dan Sarawak.

"Boleh dikatakan sambutan pengiklan-pengiklan kini amat baik kerana pihak syarikat kerap menerima tempahan untuk pemasangan iklan sedemikian berbanding pada masa lalu," kata Ahmad Fuad, salah seorang ahli lembaga pengarah Ad-On-Bus.

Beliau yang juga tenaga penggerak penting syarikat dalam menarik minat para pengiklan, berkata potensi pengiklanan seumpama itu di Sabah dan Sarawak amat cerah dan kebelakangan ini memang banyak syarikat-syarikat besar menunjukkan minat.

Katanya, pengiklanan di bas ini didapati berkesan dalam mempromosikan sesuatu produk dan ini dibuktikan dengan kesanggupan pihak-pihak di sektor pendidikan seperti kolej-kolej swasta, perbankan dan syarikat-syarikat telekomunikasi sudah pun mengiklankan produk mereka di negeri ini dan Sarawak.

Fuad yakin trend pengiklanan di bas ini akan terus berkembang pesat dan ini sekali gus membantu menjana ekonomi Sabah dengan pengaliran wang masuk ke sini.

"Peluang seumpama ini bukan sahaja memberi pendapatan sampingan kepada pengusaha-pengusaha bas tetapi yang penting ia membantu terhadap pertumbuhan ekonomi di Sabah," tegasnya.

Sementara itu, Bendahari Agung Persatuan Pengusaha Bas Bumiputera Sabah (PPBBS), Mursidi Ridi, berkata pihak persatuan akan sentiasa menjalinkan kerjasama dengan Ad-On-Bus untuk memastikan bidang pengiklanan di bas akan menjadi salah satu punca pendapatan sampingan baru bagi pengusaha-pengusaha bas selain menjalankan perkhidmatan pengangkutan awam.

Katanya, peluang-peluang yang wujud seperti ini haruslah dimanfaatkan pengusaha namun begitu hanya mereka yang mempunyai rekod perkhidmatan yang baik akan diberi peluang untuk tujuan tersebut.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan