Khamis, 14 Julai 2011

KETUA PEMUDA UPKO BEAUFORT DAN TIMBALAN BERKOMPROMI

 KOMPROMI...Japari (kiri) dan Fredolin (tengah) bersama Setiausaha pergerakan pemuda, Binzos Ensil berjabat tangan tanda kesepakatan.

Tiada pertandingan bagi jawatan Ketua Pemuda Upko Bahagian Beaufort dan timbalannya berikutan kompromi yang dicapai antara ketuanya, Japari Kunin dan timbalan, Fredolin Penggo pada Khamis.

Spekulasi bertiup kencang sebelum ini bahawa Fredolin dijangka akan mencabar Japari bagi jawatan Ketua Pemuda pada Mesyuarat Pemilihan pergerakan itu pada 2 September ini.

Bagi menamatkan spekulasi itu, kedua-duanya telah bersemuka dalam satu majlis ringkas dan telah mencapai kata sepakat untuk mereka hanya mempertahankan jawatan masing-masing.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Bahagian, Datuk Wences Angang, Naib Ketua Bahagian, Lokman Sunggim, Setiausaha Bahagian, David Etin dan beberapa ahli jawatankuasa bahagian yang lain.

Ketika ditemui di sini, Japari berkata, dengan keputusan itu bermakna kedua-dua jawatan itu dijangka tidak akan berlaku pertandingan.

Katanya, ini sesuatu yang baik kerana dengan persefahaman itu, mereka akan dapat memfokuskan tanggungjawab mereka untuk memperkasakan lagi pergerakan itu serta melaksanakan agenda parti.

“Dengan kompromi yang dicapai ini, adalah diharapkan tiada lagi spekulasi dan khabar angin yang disebarkan selepas ini,” kata Japari.

Mengulas perkembangan itu, Naib Ketua Bahagian, Lokman Sunggim, berkata langkah yang diambil kedua-dua pemimpin pergerakan pemuda itu sangat dialu-alukan kerana ia dapat mengelak perpecahan dalam pergerakan itu.

Katanya,  ia juga dapat menepis sebarang spekulasi yang cuba mengambil kesempatan mengeruhkan hubungan dalam kalangan ahli pemuda.

“Ini bukan masa untuk kita bertegang sebaliknya memberi tumpuan terhadap usaha meningkatkan kesepakatan dan kerjasama dalam parti sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang,” tegasnya.

Beliau juga berharap semua anggota parti itu di bahagian berkenaan supaya terus meningkatkan kerjasama dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang dakyah yang tidak bertanggungjawab.

Selasa, 12 Julai 2011

SABAH SOKONG PM PERTAHAN DEMOKRASI

BUAL...Musa menyatakan sesuatu kepada Najib pada satu majlis.

Kerajaan negeri menyokong penuh kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk terus mempertahankan sistem demokrasi dan tidak takut menghadapi pembangkang dalam pilihan raya umum apabila tiba masanya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini selama ini adalah adil, saksama dan harmoni.

“Kerajaan negeri dari awal lagi tidak bersetuju dengan sebarang demonstrasi jalanan yang tidak memberi manfaat kepada kepada rakyat dan negara,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia berada dalam keadaan yang baik, aman dan tenang, jadi mengapa perlu diwujudkan suasana huru-hara  oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Bercakap selepas menerima kunjungan hormat Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan di Sri Gaya, Musa berkata, penguasaan pembangkang di beberapa negeri di negara ini membuktikan adanya demokrasi yang adil dan saksama.

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional negeri dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah menggesa rakyat supaya memberi sokongan padu kepada kepimpinan kerajaan yang sedia ada.

Isnin, 11 Julai 2011

PTI: UPKO TERUSKAN SYOR PENUBUHAN SURUHANJAYA DIRAJA

DOMPOK...serah kepada kabinet.

Presiden Upko, Tan Sri Bernard Dompok berkata partinya akan terus membuat susulan terhadap cadangan sebelum ini kepada kerajaan berhubung perlunya penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja bagi menyiasat masalah pendatang tanpa izin di Sabah.

Katanya, ini bagi membolehkan penubuhan suruhanjaya itu menjadi kenyataan.

"Kabinet Persekutuan belum membuat sebarang keputusan mengenai perkara ini dan kita akan meneruskan agenda ini," katanya ketika ditanya mengenai perkembangan cadangan parti itu sebelum ini bagi penubuhan suruhanjaya tersebut.

Dompok yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi menyatakan demikian selepas merasmikan Mesyuarat TriTahunan Upko Bahagian Penampang Di Dewan Masyarakat Penampang di sini.

Ditanya mengenai kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein bahawa penubuhan suruhanjaya berkenaan tidak perlu, Presiden Upko itu, berkata Hishamuddin bukan satu-satunya yang membuat keputusan mengenai hal itu.

"Justeru, kita serahkan kepada kabinet untuk membuat keputusan," katanya.

Menteri Dalam Negeri sebelum ini dipetik sebagai berkata bahawa suruhanjaya itu tidak perlu ditubuhkan kerana kerajaan sudah mewujudkan Makmal Pengurusan Warga Asing yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tahun lalu bagi menyelesaikan pelbagai perkara berbangkit termasuk masalah imigresen di Sabah.

Ketika berucap pada mesyuarat itu, Dompok menjelaskan penubuhan suruhanjaya tersebut penting bagi menangani pelbagai masalah berkaitan pendatang di negeri ini.

"Bagi kita suruhanjaya ini mesti ditubuhkan walaupun ada pihak-pihak tertentu merasakan tiada kewajaran bagi penubuhannya," tegas beliau.


Beliau berkata, adalah tidak adil untuk mempersalahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semata-mata kerana ia bukannya kesilapan SPR tetapi kelemahan pihak lain umpamanya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana jabatan itu yang mengeluarkan kad pengenalan.

Isnin, 4 Julai 2011

PM SANGGUP DUDUK DI JALAN RAYA KERANA RAKYAT

SESAK...Najib di tengah-tengah kesesakan orang ramai ketika melakukan walkabout di Inanam.

TANDA KENANGAN...Najib menerima cenderahati yang disampaikan Ketua Umno Bahagian Sepanggar, Datuk Jumat Idris sambil diperhatikan Hajjah Zaiton Datuk Kassim.

Najib dan Musa menunjukkan isyarat 1Malaysia bersama dengan gadis-gadis suku kaum Murut semasa melawat Kemabong.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan seorang pemimpin yang sentiasa berusaha untuk mendekati rakyat setiap masa luangnya bagi mengetahui dan menyelami sendiri sebarang permasalahan yang mereka hadapi.

Sejajar dengan amalan turun padang ke setiap pelosok tempat melalui pendekatan walkabout atau tinjauan mesra khususnya di tempat awam baik di bandar-bandar besar mahu pun pekan di seluruh negara membolehkan Perdana Menteri bukan sahaja dianggap berjiwa rakyat malah sekali gus dapat menyelami sebarang masalah dihadapi rakyat.

Memang jarang seorang pemimpin yang sanggup turun padang berjalan kaki meninjau kawasan pasar, gerai, warung, lorong kaki lima kedai selain menemui pemandu teksi dan sebagainya. Namun itulah yang dilakukan Datuk Seri Najib selepas mengambil alih jawatan nombor satu negara itu daripada Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi.

Beliau bertekad untuk mengubah pendekatan kerajaan sesuai dengan aspirasi rakyat masa kini. Dengan itu, pelbagai kaedah dan pendekatan dilaksanakan seperti transformasi dalam kerajaan, transformasi ekonomi, politik , memperkenalkan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diiutamakan serta konsep turun padang melalui tinjauan mesra di seluruh negara.

Baru-baru ini, Perdana Menteri melakukan tinjauan mesra dan menemui rakyat di Inanam, sebuah pekan yang sedang berkembang pesat dan sememangnya mendapat sambutan yang amat memberangsangkan dengan kehadiran ribuan penduduk.

Ketika memberi ucapan ringkas di luar Restoran Taufik yang sesak dengan orang ramai, Najib, berkata beliau sanggup duduk di luar restoran itu kerana ingin menemui rakyat.

“Saya sanggup duduk di luar kedai ini kerana ingin menemui saudara-saudari semua. Kalau duduk di jalan raya sekali pun tak apa kerana semata-mata untuk rakyat,” kata Perdana Menteri.

Beliau yang juga Pengerusi BN Pusat dan Presiden Umno, berkata beliau turun padang untuk bertemu rakyat kerana ingin menyelami sendiri denyut nadi mereka dan mahu menyelesaikan permasalahan yang mereka hadapi.

“Saya sangat gembira kerana dapat menemui anda semua dalam program ini dan kita akan cuba berusaha menyelesaikan sebarang permasalahan rakyat,” katanya sambil mengumumkan peruntukan sejumlah RM2 juta bagi pembinaan sebuah dewan baru di pekan Inanam.

Mengenai permintaan untuk peruntukan jalan raya, Najib berkata "yang ini saya nak teliti dulu".

Perdana Menteri berkata, kehadiran yang begitu ramai ini membuktikan sokongan rakyat terhadap kerajaan dan sokongan seperti ini diperlukan oleh BN pada pilihan raya umum nanti.

DISOAL POLIS GARA2 MINTA TANDATANGAN PM



PRIHATIN...Najib terhenti seketika untuk menandatangani surat daripada Muksin (di belakang pengawal peribadi PM).


Gara-gara keberanian ingin suratnya ditandatangani oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tanpa mengikut protokol menyebabkan seorang pemuda di soal siasat polis selepas dia meminta Perdana Menteri menandatangani surat ketika beliau menuju ke kereta.

Kejadian itu berlaku ketika Datuk Seri Najib singgah di Likas di rumah waris keluarga yang pernah dikunjungi oleh Allahyarham bapanya, Tun Abdul Razak kira-kira 45 tahun lalu.

Ketika menuju ke kereta, tiba-tiba seorang pemuda nekad datang ke arah Perdana Menteri dan meminta surat yang tersedia di failnya untuk ditandatangani oleh Datuk Seri Najib yang menyebabkan beliau berhenti seketika dan memerhati surat tersebut sepintas lalu dan kemudian mencatat sesuatu di dalam surat itu.

Walaupun dalam situasi seperti itu, Perdana Menteri tidak menghampakan hasrat pemuda itu dan sempat juga menandatangani surat tersebut di khalayak ramai sebelum masuk ke kereta yang membawanya.

Menurut pemuda itu yang hanya dikenali sebagai Muksin, selepas mengambil balik surat dari tangan Perdana Menteri, dia kemudian disoal siasat beberapa anggota polis.

"Anggota polis ingin tahu mengenai surat saya itu dan tujuan saya meminta tandatangan Perdana Menteri."

"Saya memberitahu mereka (anggota polis) bahawa saya hanya meminta tanda tangan sokongan PM sebelum saya menyerahkan surat itu kepada pihak yang berkenaan," katanya yang mengakui pada mulanya berasa gementar ketika mendekati PM untuk mendapatkan tandatangan beliau.

Muksin memberitahu, dia memang nekad untuk menemui PM dalam kesempatan yang ada itu dan sudah bersedia dengan risiko yang mungkin terpaksa ditempuhinya.

"Saya pun tidak menyangka PM akan menandatangani surat itu tetapi saya bersyukur kerana beliau seorang yang baik hati dan mencatat sesuatu di situ dan menandatanganinya," katanya yang sebelum itu membeli pen bernilai RM2.50 yang digunakan PM menandatangani surat tersebut.

Katanya, selepas ini, dia akan menyerahkan surat itu kepada pihak yang berkenaan dan berharap hasilnya tidak akan sisa-sia.

Menurut Muksin, pada mulanya dia berhasrat mendapatkan tandatangan PM ketika duduk bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan Ketua Umno Bahagian Sepanggar, Datuk Jumat Idris di meja di luar rumah yang disinggahi Datuk Seri Najib itu.

Namun, katanya, dia seolah-olah tidak terdaya untuk berbuat demikian menyebabkan dia terpaksa menunggu semasa PM mahu beredar menuju ke kereta yang membawa beliau di kawasan rumah berkenaan.

Beliau memberitahu, ramai rakan-rakannya bagaikan tidak percaya dengan tindakannya itu tetapi pada saya, "niat saya baik dan apa salahnya kalau kita cuba mendapatkan sokongan daripada Perdana Menteri untuk tujuan yang baik".