Selasa, 12 Julai 2011

PTI: UPKO TERUSKAN SYOR PENUBUHAN SURUHANJAYA DIRAJA

DOMPOK...serah kepada kabinet.

Presiden Upko, Tan Sri Bernard Dompok berkata partinya akan terus membuat susulan terhadap cadangan sebelum ini kepada kerajaan berhubung perlunya penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja bagi menyiasat masalah pendatang tanpa izin di Sabah.

Katanya, ini bagi membolehkan penubuhan suruhanjaya itu menjadi kenyataan.

"Kabinet Persekutuan belum membuat sebarang keputusan mengenai perkara ini dan kita akan meneruskan agenda ini," katanya ketika ditanya mengenai perkembangan cadangan parti itu sebelum ini bagi penubuhan suruhanjaya tersebut.

Dompok yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi menyatakan demikian selepas merasmikan Mesyuarat TriTahunan Upko Bahagian Penampang Di Dewan Masyarakat Penampang di sini.

Ditanya mengenai kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein bahawa penubuhan suruhanjaya berkenaan tidak perlu, Presiden Upko itu, berkata Hishamuddin bukan satu-satunya yang membuat keputusan mengenai hal itu.

"Justeru, kita serahkan kepada kabinet untuk membuat keputusan," katanya.

Menteri Dalam Negeri sebelum ini dipetik sebagai berkata bahawa suruhanjaya itu tidak perlu ditubuhkan kerana kerajaan sudah mewujudkan Makmal Pengurusan Warga Asing yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tahun lalu bagi menyelesaikan pelbagai perkara berbangkit termasuk masalah imigresen di Sabah.

Ketika berucap pada mesyuarat itu, Dompok menjelaskan penubuhan suruhanjaya tersebut penting bagi menangani pelbagai masalah berkaitan pendatang di negeri ini.

"Bagi kita suruhanjaya ini mesti ditubuhkan walaupun ada pihak-pihak tertentu merasakan tiada kewajaran bagi penubuhannya," tegas beliau.


Beliau berkata, adalah tidak adil untuk mempersalahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semata-mata kerana ia bukannya kesilapan SPR tetapi kelemahan pihak lain umpamanya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana jabatan itu yang mengeluarkan kad pengenalan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan