Selasa, 16 Ogos 2011

UTAMAKAN KHIDMAT KPD RAKYAT BARU KERUSI: KM

Musa (tengah) berbual dengan Datuk Seri Najib Razak sambil diperhatikan Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) di negeri ini dinasihati supaya mengutamakan perkhidmatan kepada rakyat dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, ini penting dilakukan supaya BN tidak mempunyai masalah ketika menghadapi pilihan raya nanti.

"Ini yang penting, fokus hendaklah bekerja keras dengan berjumpa dan berusaha mengetahui masalah rakyat. Dengan itu, kita tidak akan bermasalah dan boleh menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa," katanya sebagi mengulas kenyataan Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk V.K Liew bahawa LDP satu-satunya parti yang layak bertanding di kawasan yang dimiliki parti pembangkang, Parti Maju Sabah (SAPP).

SAPP yang sebelum ini merupakan anggota BN memenangi enam kawasan (DUN dan Parlimen) yang ditandinginya pada pilihan raya umum 2008 tetapi kemudian bertindak keluar dari gabungan itu.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan kuih-muih hari raya di Menara Tun Mustapha di Likas di sini, Musa yang juga Pengerusi BN Negeri dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri turut menyambut baik penubuhan jawatankuasa terpilih Parlimen bagi membincangkan tranformasi proses pilihan raya yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Sebagaimana yang selalu kita katakan, tiada apa yang hendak disorok. Kita sedia untuk beri penjelasan dan penerangan apa yang selama ini kita lakukan secara terbuka dan telus supaya tidak wujud pra sangka dalam kalangan parti-parti yang bertanding dalam pilihan raya," tegasnya.

Beliau berkata, rakyat dapat melihat sendiri pilihan raya yang dijalankan dalam keadaan aman damai dan secara telus.

Mengenai sumbangan kuih-muih sempena menjelang hari raya, Ketua Menteri berkata, ia tanda penghargaan dan terima kasih di atas jasa dan pengorbanan seluruh warga anggota pasukan keselamatan yang sentiasa berkhidmat untuk menjaga keselamatan dan kestabilan negara.

Sabtu, 13 Ogos 2011

MENGIMPIKAN SKUAD SABAH KEMBALI BERSINAR

Pasukan Sabah ketika mengadakan perlawanan persahabatan dengan kelab Tricolore FC dari Australia di Padang Bandaran Labuan pada 1982.

Aksi Hassan Sani ketika menentang kelab Manchester United di Likas.

Pada era lewat 1970-an dan awal 1980-an, Sabah antara pasukan yang hebat dan digeruni pasukan-pasukan lain di negara ini dalam kejohanan tempatan pada ketika itu.


Bakat yang dimiliki pemain negeri begitu memberangsangkan dan ini dapat memastikan kecemerlangan pasukan dalam menghadapi kejohanan-kejohanan tempatan serta mampu menarik perhatian kelab-kelab dari luar negara untuk berkunjung ke negeri ini bagi mengadakan perlawanan persahabatan.


Ini termasuk kelab-kelab ternama dalam Liga Inggeris seperti Manchester United dan kelab dari Australia.


Kehebatan pemain-pemain seperti James Wong, Hassan Sani, Razali Zinin, Peter Rajah, Karti Tukimin, Richard Barnes dan lain-lain sentiasa meniti di bibir peminat-peminat bolasepak tanah air.


Kelincahan mereka beraksi di padang membolehkan sebahagian pemain terbabit terutama James Wong, Hassan Sani dan Razali diberi peranan untuk beraksi dalam skuad kebangsaan terutama dalam Kejohanan Pestabola Merdeka, Sukan Sea, pra-kelayakan Piala Dunia dan Olimpik.


Aksi-aksi hebat pemain-pemain ini memang sukar dicari ganti dan sehingga sekarang, pasukan Sabah sendiri masih terkapai-kapai untuk mencari bakat-bakat baru yang boleh menandingi prestasi pemain-pemain yang pernah kita miliki sebelum ini.


Walaupun keupayaan mereka memang telah terbukti namun tiada seorang daripada pemain-pemain yang berkaliber itu kini terbabit dalam menggerakkan pembangunan bolasepak di negeri ini.


Entah di mana silapnya atau apa puncanya, bakat dan pengalaman mereka dalam bolasepak seolah-olah terlepas pandang oleh pihak yang mengurus bolasepak kita sekarang.


Dalam komen di facebook baru-baru ini, bekas pemain Sabah berasal dari WP Labuan, Dul Alias menyarankan supaya bekas-bekas pemain negeri sepatutnya diberi peluang dan dilibatkan dalam perancangan  pembangunan bolasepak di Sabah.


Katanya, pemain kanak-kanak bawah 12 tahun lagi harus diberi bimbingan yang betul mengenai bolasepak bagi membolehkan bakat mereka terus digilap sekali gus mereka dapat mewakili pasukan negeri suatu hari nanti.


Bekas pemain pertahanan skuad Sabah, Zulfikar Ahmad pula berkata bahawa politiking yang wujud dalam bolasepak haruslah dikurangkan kerana ia boleh menjejaskan perancangan dan pengurusan bolasepak.

Rabu, 10 Ogos 2011

ORANG ASAL, DULU KOLOT KINI MAMPU UNTUK MAJU

Orang Asal (indigenous peoples) berhak untuk mempertahankan hak-hak mereka daripada ditindas dan diceroboh, kata Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.


Namun begitu, katanya, komuniti Orang Asal tetap terikat dengan adat-istiadat serta tatasusila yang perlu dijaga baik dari segi pertuturan mahu pun tingkah laku atau perbuatan yang melambangkan ketinggian ketamadunan masyarakat terbabit.


"Justeru, kita janganlah terikut-ikut dengan budaya masyarakat luar yang sanggup melakukan apa saja di luar batasan yang akhirnya akan merendahkan martabat kita sebagai komuniti Orang Asal," katanya pada majlis sambutan Perayaan Hari Orang Asal Sedunia (PHOAS) di Hongkod Koisaan KDCA, Penampang di sini.


Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah (KDCA), Datuk Richard Bainon.


Sebahagian suku kaum Orang Asal dari Semenanjung, Sarawak dan Sabah menyertai perarakan pada sambutan perayaan itu.


Pairin juga memberi jaminan bahawa kerajaan akan sentiasa peka, prihatin dan terbuka untuk mendengar permasalahan yang dihadapi Orang Asal.


Bagaimanapun, katanya, mereka hendaklah menyampaikan sebarang cadangan, bantahan dan ketidapuasan hati melalui saluran yang betul kepada yang berwajib mengikut lunas-lunas perlembagaan.


Pairin yang juga Presiden KDCA berkata, sebagai kaum asal, golongan ini mempunyai kehidupan tradisi, budaya, adat, kepercayaan dan teknologi tersendiri yang unik.


"Jika dahulu, kita dianggap sebagai kaum yang kolot dan mundur tetapi kini kita telah buktikan bahawa kita juga mampu maju seperti kaum lain," tegasnya.


Beliau berkata, Orang Asal seharusnya berbangga kerana kini komuniti ini telah mencapai kemajuan termasuk dalam konteks pembangunan.


Beliau juga berkata, Orang Asal memiliki pengetahuan, sistem pengurusan komuniti, tanah dan sumber tersendiri termasuk teknologi-teknologi yang wajar dicontohi.


TRADISI...sebahagian daripada suku Orang Asal dari Semenanjung, Sarawak dan Sabah menyertai perarakan sempena sambutan Perayaan Hari Orang Asal Sedunia di Penampang.

Misalnya, kata beliau, sistem tagal yang diamalkan untuk menjaga eko-sistem dan ekologi sejak turun menurun telah diakui dan diterima pakai oleh kerajaan melalui Jabatan Perikanan sebagai sesuatu yang efektif untuk memulihara sumber sungai.

Ahad, 7 Ogos 2011

HIKMAH RAMADAN...SHAFIE DAN MUSA BERSAMA BERBUKA PUASA

MELANGKAH BERSAMA...Shafie dan Musa berjalan seiring ketika bersama di majlis berbuka puasa di Semporna.

Naib Presiden Umno, Datuk Shafie Apdal dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Seri Musa Aman menghadiri majlis berbuka puasa Badan Perhubungan Umno Negeri bagi Zon 6 di Semporna pada Ahad.


Shafie yang juga Ketua Umno Bahagian Semporna menjadi tuan rumah majlis itu memberi sambutan mesra kepada Ketua Menteri dan seterusnya berbuka puasa bersama-sama dengan pemimpin Umno yang lain.


Ia merupakan detik pertemuan yang dinantikan rakyat di Sabah bagi kedua-dua pemimpin kanan itu, lebih-lebih lagi apabila kedua-dua mereka sering dikaitkan dengan pergeseran yang kebelakangan ini menimbulkan tandatanya.


Bagaimanapun, keakraban antara Shafie dan Musa dalam majlis itu seolah-olah menepis spekulasi yang berlaku sebelum ini walaupun ada juga pihak yang menyifatkan situasi itu sebagai satu strategi politik.


Soalnya sesiapa pun boleh membuat sebarang andaian mengenai detik pertemuan kedua-dua pemimpin berkenaan namun yang lebih mengetahui keikhlasan mereka hanya mereka berdua sahaja.


Apa pun, mudah-mudahan kemesraan duduk semeja berbuka puasa di bulan yang berakah ini tentu ada hikmahnya bagi kedua-dua pemimpin ini yang sudah tentu sangat diharap-harapkan oleh rakyat.


Sesuai dengan konsep sepakat membawa berkat adalah diharapkan hubungan baik antara Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Ketua Menteri ini memberi harapan baru kepada rakyat terutama kepada para penyokong Barisan Nasional dalam mereka melayari bahtera menjelang pilihan raya umum yang akan datang.


BERBUKA PUASA...Shafie dan Musa pada majlis berbuka puasa Umno bagi zon 6.

Khamis, 4 Ogos 2011

SK LIKAS JUARA LIGA B-SEPAK JUNIOR KK 2011

Pasukan SK Likas muncul sebagai juara Liga Bolasepak Junior Bawah 12 Tahun Kota Kinabalu 2011 setelah mengutip 43 mata untuk mengatasi pasukan lain sepanjang liga itu yang berakhir pada 30 Julai lepas.

Liga tersebut anjuran Borneo Sport and Adventure Holidays diterajui bekas pemain import Sabah dari Australia, Scott Ollerenshaw.

Pesaing utama, pasukan Tunas Asas Bolasepak Safa Bandaraya (TABS) 1 menduduki naib juara setelah mengumpul 42 mata manakala Tuaran FDP di tempat ketiga.

SK Likas dan TABS 1 saling bersaing  untuk  menghuni takhta liga namun SK Likas mempunyai kelebihan kerana berjaya memintas pencabarnya itu sejak liga itu bermula beberapa bulan lalu hingga ke penghujung saingan.

Kedua-dua pasukan berkenaan merupakan pasukan terkuat dan terbaik dalam liga tersebut kerana memiliki sekurang-kurangnya tiga pemain yang mewakili pasukan MSSS peringkat negeri tahun ini.

SK Likas mempunyai tiga pemain MSSS bawah 12 tahun iaitu Ramli Jamrih (ketua pasukan), Mohd Hizaz Lokman dan Aziz manakala TABS 1 memiliki S.H Rizan (ketua pasukan), Shen dan Aidil. TABS 1 juga mempunyai khidmat dua pemain berasal dari Australia.

Barisan pemain SK Likas bersama jurulatih dan pengadil yang menjuarai Liga Junior KK 2011.

Kehadiran pemain MSSS dalam pasukan masing-masing dilihat memberi kelebihan kepada kedua-dua pasukan ini untuk beraksi lebih baik sekali gus sentiasa memberi cabaran kepada pasukan lain.      

Berdasarkan prestasi sepanjang liga, SK Likas dan TABS 1 masing-masing akan mengetuai pembentukan dua pasukan, KK Rovers dan KK United untuk mewakili Sabah dalam Kejohanan Piala Borneo Bawah 12 Tahun yang akan berlangsung di Kota Kinabalu pada Oktober ini.

Mereka akan dikehendaki mengenal pasti pemain-pemain dari pasukan lain yang turut menyertai liga itu untuk diserapkan dalam pasukan masing-masing.

Seperti kebiasaannya, Piala Borneo dijangka menyaksikan penyertaan pasukan-pasukan antarabangsa seperti Australia, Jepun, Hong Kong, Brunei selain pasukan-pasukan tempatan yang lain.

Tahun lepas, Piala Borneo dimenangi pasukan KK United setelah mengalahkan pasukan dari Jepun di Stadium Likas.

Jurulatih SK Likas, Norsi Haji Sabtari memberitahu, persiapan untuk menghadapi kejohanan itu dijangka dilakukan selepas perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Menurut beliau, pihaknya telah diberi kepercayaan oleh pihak penganjur Liga Junior KK untuk membentuk salah satu pasukan yang akan bertanding dalam Piala Borneo.

SK Likas (jersi kuning) bersama naib juara, TABS 1 (jersi biru), dua pasukan terkuat dalam Liga Junior KK bagi tahun 2011.


“Kita akan memilih pemain-pemain yang menunjukkan permainan terbaik sepanjang liga untuk digandingkan pemain-pemain dari SK Likas,” katanya.