Khamis, 4 Ogos 2011

SK LIKAS JUARA LIGA B-SEPAK JUNIOR KK 2011

Pasukan SK Likas muncul sebagai juara Liga Bolasepak Junior Bawah 12 Tahun Kota Kinabalu 2011 setelah mengutip 43 mata untuk mengatasi pasukan lain sepanjang liga itu yang berakhir pada 30 Julai lepas.

Liga tersebut anjuran Borneo Sport and Adventure Holidays diterajui bekas pemain import Sabah dari Australia, Scott Ollerenshaw.

Pesaing utama, pasukan Tunas Asas Bolasepak Safa Bandaraya (TABS) 1 menduduki naib juara setelah mengumpul 42 mata manakala Tuaran FDP di tempat ketiga.

SK Likas dan TABS 1 saling bersaing  untuk  menghuni takhta liga namun SK Likas mempunyai kelebihan kerana berjaya memintas pencabarnya itu sejak liga itu bermula beberapa bulan lalu hingga ke penghujung saingan.

Kedua-dua pasukan berkenaan merupakan pasukan terkuat dan terbaik dalam liga tersebut kerana memiliki sekurang-kurangnya tiga pemain yang mewakili pasukan MSSS peringkat negeri tahun ini.

SK Likas mempunyai tiga pemain MSSS bawah 12 tahun iaitu Ramli Jamrih (ketua pasukan), Mohd Hizaz Lokman dan Aziz manakala TABS 1 memiliki S.H Rizan (ketua pasukan), Shen dan Aidil. TABS 1 juga mempunyai khidmat dua pemain berasal dari Australia.

Barisan pemain SK Likas bersama jurulatih dan pengadil yang menjuarai Liga Junior KK 2011.

Kehadiran pemain MSSS dalam pasukan masing-masing dilihat memberi kelebihan kepada kedua-dua pasukan ini untuk beraksi lebih baik sekali gus sentiasa memberi cabaran kepada pasukan lain.      

Berdasarkan prestasi sepanjang liga, SK Likas dan TABS 1 masing-masing akan mengetuai pembentukan dua pasukan, KK Rovers dan KK United untuk mewakili Sabah dalam Kejohanan Piala Borneo Bawah 12 Tahun yang akan berlangsung di Kota Kinabalu pada Oktober ini.

Mereka akan dikehendaki mengenal pasti pemain-pemain dari pasukan lain yang turut menyertai liga itu untuk diserapkan dalam pasukan masing-masing.

Seperti kebiasaannya, Piala Borneo dijangka menyaksikan penyertaan pasukan-pasukan antarabangsa seperti Australia, Jepun, Hong Kong, Brunei selain pasukan-pasukan tempatan yang lain.

Tahun lepas, Piala Borneo dimenangi pasukan KK United setelah mengalahkan pasukan dari Jepun di Stadium Likas.

Jurulatih SK Likas, Norsi Haji Sabtari memberitahu, persiapan untuk menghadapi kejohanan itu dijangka dilakukan selepas perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Menurut beliau, pihaknya telah diberi kepercayaan oleh pihak penganjur Liga Junior KK untuk membentuk salah satu pasukan yang akan bertanding dalam Piala Borneo.

SK Likas (jersi kuning) bersama naib juara, TABS 1 (jersi biru), dua pasukan terkuat dalam Liga Junior KK bagi tahun 2011.


“Kita akan memilih pemain-pemain yang menunjukkan permainan terbaik sepanjang liga untuk digandingkan pemain-pemain dari SK Likas,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan