Rabu, 28 September 2011

JANGAN BINCANG AGIHAN KERUSI SECARA TERBUKA: KM

MUSA...bincang melalui saluran tertentu dalam BN

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman mengingatkan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) di Sabah supaya tidak membincangkan isu agihan kerusi secara terbuka terutamanya ketika suasana Pilihan raya Umum Ke-13 ini.

Beliau berkata, ketua-ketua pemimpin komponen di negeri ini termasuk Umno supaya perkara tersebut dibincangkan secara tertutup dalam satu keluarga yang besar.

"Apa juga masalah dalaman, kita ada saluran tertentu untuk berbincang. Adakalanya tidak perlu kita ke media massa kerana ianya boleh dibincangkan bersama sebagai satu keluarga di dalam BN," katanya selepas menghadiri majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, kelmarin.

Musa yang juga Pengerusi BN Sabah diminta mengulas saranan beberapa parti komponen seperti Upko yang meminta tambahan kerusi di kawasan yang dirasakan sesuai untuk parti itu tandingi.

"Sebagai sebahagian daripada keluarga BN, kita mestilah mempraktikkan amalan saling hormat-menghormati dan tidak menyentuh perasaan rakan-rakan komponen yang lain," tegas beliau.

Bagaimanapun, menurut Ketua Menteri, adalah perkara biasa kepada parti-parti komponen BN untuk meminta kerusi yang lebih untuk parti masing-masing.

"Apa pun kita akan bincang dan berunding bersama dalam kalangan anggota komponen BN mengenai agihan kerusi seperti yang dilakukan pada masa-masa lalu dan selepas itu kita akan kemukakan kepada Perdana Menteri untuk mendapatkan persetujuan," katanya.

Mengenai usul pewujudan jawatan Timbalan Pengerusi BN kedua daripada kalangan parti-parti komponen BN, Musa berkata, beliau bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri bahawa perkara itu harus dibincangkan menerusi saluran tertentu.

"Kita mempunyai platform untuk membincangkannya melalui saluran tertentu kerana kita adalah keluarga yang besar dalam BN dan ia boleh dibincangkan untuk kebaikan bersama," ujar beliau.




Selasa, 27 September 2011

MUKA BARU MUNGKIN DIBERI PELUANG DALAM PRU KE-13?


Musa dan Shafie melangkah bersama.

Barisan Nasional (BN) tidak menolak kemungkinan akan menyenaraikan muka-muka baru untuk dicalonkan pada Pilihan raya Umum Ke-13 yang akan datang.

Pengerusi BN Negeri, Datuk Seri Musa Aman, berkata, "mungkin akan ada muka-muka baru tetapi ia belum ditentukan."

"Kita akan mencalonkan dan akan berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.

Ketua Menteri berkata, apa yang pasti, setiap calon BN akan dipastikan menepati kriteria yang ditetapkan seperti calon tersebut hendaklah boleh diterima rakyat, mesra, rajin bekerja dan komited serta prihatin terhadap masyarakat.

Katanya, ini bagi memastikan  setiap calon BN yang memenangi PRU-13 tidak sekadar melihat jawatan yang disandang sebagai satu keistimewaan tetapi sebagai tanggungjawab dan amanah terhadap rakyat.

"Sebab itulah kita memberi ingatan agar setiap wakil rakyat BN giat turun padang dan mendekati rakyat tidak kira sebelum, semasa atau selepas pilihan raya," tegasnya.

Musa juga berkata bahawa BN Sabah sudah pun bersiap sedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa dan kini terpulang kepada budi bicara Perdana Menteri untuk menentukan tarikh PRU-13 nanti.

Beliau menyatakan perkara ini di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Ahli Parlimen Kalabakian, Datuk Ghapur Salleh.

Ditanya sejauh mana beliau yakin BN Sabah dapat mempertahankan Sabah dari Pakatan Rakyat pada PRU-13, Ketua Menteri berkata, rakyat Sabah tentunya bijak menilai usaha berterusan BN kepada negara dan negeri.










Ahad, 11 September 2011

KELUARGA SAYA DI HARI RAYA AIDILFITRI 2011

Saya dan keluarga ingin mengucapkan terima kasih kepada adik ipar bongsu saya, Alfizan Jabrin atas rakaman gambar ini (tengah) ketika kami berhari raya di kediaman emak mentua di Kg. Bandulan, Teluk Sepanggar pada hari raya pertama.


Alfizan atau biasa dipanggil Izan saja adalah seorang jurutera elektrikal tetapi rupanya berkebolehan menjadi jurufoto yang baik berdasarkan hasil gambar yang diambilnya ini.


Tetapi secara bergurau dia menyatakan, "ala, ini pluk sut saja bang."


Pada saya gambar ini boleh dikira baik dan ada seni kreativitinya kalau berpandukan pengalaman pernah bertugas di akhbar-akhbar tempatan sebagai editor yang menentukan gambar-gambar sesuai untuk siaran akhbar sebelum ini.


Bergambar sekeluarga bersama memang jarang dapat dilakukan kecualilah pada musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri ini. Kalau adapun ia mestilah dirancang terlebih dahulu dengan menggunakan khidmat jurufoto yang berpengalaman dari kedai gambar.


Secara kebetulan pula kesemua anak-anak ada bersama pada perayaan aidilfitri tahun ini dan kehadiran di rumah emak mentua kali ini menjadi bertambah ceria dan meriah.


Kepada anak sulung, Mohd Al-Hafidz dan adik-adiknya, Mohd Hilmy dan Nurul Syafiqah yang akan menghadiri upacara konvokesyen masing-masing pada 18 September dan 7 Oktober 2011 diucapkan tahniah dan syabas di atas kejayaan masing-masing.


Hafidz lulusan undang-undang dari Universiti Malaya dan Mohd Hilmy dalam jurusan Perancangan Bandar juga di Universiti Malaya akan menghadiri konvokesyen di universiti berkenaan pada 7 Oktober ini. Manakala Nurul Syafiqah yang menamatkan pengajian Diploma Pengajian Islam (Usulluddin) dari Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) Terengganu akan menghadiri konvokesyen lebih awal pada 18 September ini dan akan melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Muda dalam jurusan yang sama di universiti berkenaan.


Syabas dan semoga terus sukses buat anda bertiga!

WENCES, JOHN MENANG TANPA TANDING, LOKMAN, MONIH DIPILIH SEMULA


MENANG TANPA TANDING...Wences (kanan) dan John Teo.

MENANG SEMULA...Lokman (108 undi) dan Monih (78 undi)

Ketua Upko Bahagian Beaufort, Datuk Wences Angang dan timbalannya, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Kuala Penyu, John Teo Mau Sing menang tanpa tanding untuk mengekalkan jawatan masing-masing pada Mesyuarat agung tri-tahunan bahagian berkenaan di Dewan Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat daerah Kuala Penyu, baru-baru ini.


Manakala jawatan naib ketua bahagian menyaksikan pertandingan sengit di antara empat calon yang bertanding bagi merebut dua jawatan yang dipilih.


Mereka terdiri daripada Lokman Sunggim, Monih Epin, kedua-duanya bertanding mempertahankan jawatan masing-masing selain dua lagi calon, Peter Kong Ping Sin, Pengarah Urusan Labuan Ferry Corporatin Sdn. Bhd. dan Alihassan Ibrahim, seorang pegawai di Jabatan Bendahari daerah Beaufort.


Dua jawatan itu dimenangi semula masing-masing oleh Lokman yang memperoleh undi terbanyak 108 dan Monih yang mendapat 78 undi.


Manakala Alihassan hanya mendapat 64 undi diikuti oleh Peter yang memperoleh 62 undi.


Bagi 10 jawatan ahli jawatankuasa bahagian yang dipilih telah dimenangi Jain Hj Bisnin, Jamaluddin Henry, Rajinan Edin, John Chin, Hj. Asmat Misrin, Kanda Jurih, Binzos Ensil, Fred Judin Tangulon, Agustine Anjut Junti dan Hj. Abdullah Pandak.


Ketua bahagian, Datuk Wences dua hari kemudian telah mengumumkan pelantikan baru bagi jawatan lantikan.


Peter Kong yang tewas dalam pemilihan jawatan naib ketua bahagian bagaimanapun dilantik sebagai naib ketua bahagian III dan bekas ahli jawatankuasa yang tidak bertanding sebarang jawatan pada pemilihan kali ini, Jaliman Saban turut dilantik sebagai naib ketua bahagian IV.


Seorang muka baru dan guru besar yang bersara, Fred Judin Tangulon dilantik sebagai setiausaha bahagian baru mengambil alih tugas David Etin yang dilantik sebagai setiausaha penganjur. Penolong setiausaha bahagian diberikan kepada Weldy T. Hujie yang ketika ini bertugas sebagai setiausaha kerja parti.


Seorang lagi calon yang bertanding jawatan naib ketua bahagian tetapi tewas, Alihassan Ibrahim dilantik sebagai bendahari bahagian menggantikan Thomas Kaling yang hanya dilantik sebagai ahli jawatankuasa bahagian. Penolong bendahari bahagian dipegang Jutih Kangang, bekas ahli jawatankuasa bahagian.


Pemimpin Kemajuan Rakyat Kuala Penyu, Marcellinus A. Piong dilantik sebagai Pegawai Penerangan yang baru mengambil tugas Dr. Sining Unchi yang hanya dilantik sebagai ahli jawatankuasa bahagian. Penolongnya pula ialah Roslin Daud, bekas ahli jawatankuasa pergerakan pemuda bahagian.


Selain Thomas dan Dr. Sining, ahli jawatankuasa bahagian lain yang dilantik ialah Lindah Ensil, Ketua Pergerakan Komulakan, Agku Rauf Pg. Jumat dan Hj. Mohamad Hj. Kassim.


Wences yang juga Naib Presiden Upko ketika mengumumkan pelantikan baru itu menjelaskan bahawa ia telah mengambil kira aspek komposisi kaum, kewibawaan dan taburan wakil kawasan ke dalam bahagian.


Beliau percaya pelantikan itu mencerminkan perubahan besar yang sudah tentu akan dapat membantu memantap lagi parti.


"Senarai pemimpin dalam bahagian ini merupakan gandingan yang baik dan saya yakin mereka boleh memberi pekhidmatan sebagaimana yang diharapkan oleh ahli-ahli dan rakyat," katanya.


Senarai penuh Ahli Jawatankuasa Bahagian Upko Beaufort bagi 2011-2014 adalah seperti berikut;


Pengerusi tetap; Jephrinus Ungkin, timbalan pengerusi tetap; Agustine P. Tingkun.


Ketua bahagian; Datuk Wences Angang, timbalan ketua bahagian; YB John Teo Mau Sing, naib ketua bahagian I; Lokman Sunggim, naib ketua bahagian II; Monih Epin, naib ketua bahagian III; Peter Kong, naib ketua bahagian IV; Jaliman Saban, setiausaha bahagian; Fred Judin Tangulon, penolong setiausaha; Weldy T. Hujie, bendahari bahagian; Alihassan Ibrahim, penolong bendahari; Jutih Kangang, setiausaha penganjur; David Etin, pegawai penerangan; Marcellinus A. Piong, penolong pegawai penerangan; Roslin Daud, ahli jawatankuasa bahagian; Jain Hj Bisnin, Jamaluddin Henry, Rajinan Edin, John Chin, Hj. Asmat Misrin, Kanda Jurih, Binzos Ensil, Agustine Anjut Junti, Hj Abdullah Pandak, Lindah Ensil, Thomas Kaling, Dr. Sining Unchi, Awangku Rauf Pg Jumat dam Hj Mohamad Hj Kassim.


Juruaudit: Matin Nadan dan Lunsiu Kangon.