Rabu, 28 September 2011

JANGAN BINCANG AGIHAN KERUSI SECARA TERBUKA: KM

MUSA...bincang melalui saluran tertentu dalam BN

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman mengingatkan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) di Sabah supaya tidak membincangkan isu agihan kerusi secara terbuka terutamanya ketika suasana Pilihan raya Umum Ke-13 ini.

Beliau berkata, ketua-ketua pemimpin komponen di negeri ini termasuk Umno supaya perkara tersebut dibincangkan secara tertutup dalam satu keluarga yang besar.

"Apa juga masalah dalaman, kita ada saluran tertentu untuk berbincang. Adakalanya tidak perlu kita ke media massa kerana ianya boleh dibincangkan bersama sebagai satu keluarga di dalam BN," katanya selepas menghadiri majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, kelmarin.

Musa yang juga Pengerusi BN Sabah diminta mengulas saranan beberapa parti komponen seperti Upko yang meminta tambahan kerusi di kawasan yang dirasakan sesuai untuk parti itu tandingi.

"Sebagai sebahagian daripada keluarga BN, kita mestilah mempraktikkan amalan saling hormat-menghormati dan tidak menyentuh perasaan rakan-rakan komponen yang lain," tegas beliau.

Bagaimanapun, menurut Ketua Menteri, adalah perkara biasa kepada parti-parti komponen BN untuk meminta kerusi yang lebih untuk parti masing-masing.

"Apa pun kita akan bincang dan berunding bersama dalam kalangan anggota komponen BN mengenai agihan kerusi seperti yang dilakukan pada masa-masa lalu dan selepas itu kita akan kemukakan kepada Perdana Menteri untuk mendapatkan persetujuan," katanya.

Mengenai usul pewujudan jawatan Timbalan Pengerusi BN kedua daripada kalangan parti-parti komponen BN, Musa berkata, beliau bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri bahawa perkara itu harus dibincangkan menerusi saluran tertentu.

"Kita mempunyai platform untuk membincangkannya melalui saluran tertentu kerana kita adalah keluarga yang besar dalam BN dan ia boleh dibincangkan untuk kebaikan bersama," ujar beliau.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan