Ahad, 9 Oktober 2011

DETIK MANIS BUAT DUA BERADIK

SAAT MANIS...Mohd Al-Hafidz (kanan) bersama adik Mohd Hilmy.

KUALA LUMPUR: Saat yang paling menggembirakan bagi dua beradik Mohd Al-Hafidz Lokman dan Mohd Hilmy Lokman dari Sabah ialah apabila mereka berdua di hari yang sama menerima ijazah masing-masing pada Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya 2011 di Dewan Tunku Canselor UM, baru-baru ini.

Mohd Al-Hafidz, 25, menerima Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang manakala adiknya Mohd Hilmy, 23, menerima Ijazah Sarjana Muda Sastera (pengajian perbandaran dan perancangan).

Al-Hafidz dan Hilmy, merupakan anak pasangan bekas wartawan Lokman Sunggim dan Salbiah Jabrin.

Menurut Al-Hafidz, detik ini merupakan kenangan yang sangat manis bagi mereka dua beradik kerana dapat konvo bersama.

“UM banyak memberi pengalaman yang berguna kepada kami dan sudah tentu apa yang kami lalui di universiti ini meninggalkan  banyak kenangan,” katanya yang ketika ini bertugas di firma guaman Shukor Baljit & Patners di Sentul, Kuala Lumpur.

Al-Hafidz berkata, kedua ibu bapa mereka memang banyak memberi dorongan kepada mereka untuk melanjutkan pengajian di UM, universiti tertua di negara ini.

NURUL SYAFIQAH...lanjut pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda dalam jurusan yang sama.

“Mereka sangat meminati UM sebab itu kami berusaha melanjutkan pengajian di sini dan kejayaan kami ini diharap dapat menggembirakan kedua ibu bapa kami,” katanya yang berharap dapat peluang berkhidmat dengan kerajaan terutama di Jabatan Peguam Negara.

Selain, katanya, dia juga gembira kerana adik perempuan, Nurul Syafiqah lebih dahulu konvo dengan mereka pada Istiadat Konvokesyen Ke-3 Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) di Terengganu pertengahan bulan lepas.

Syafiqah yang berjaya memperoleh Diploma Pengajian Islam (Usulluddin) meneruskan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda bagi jurusan yang sama di Unisza.

Beliau berharap adik-adiknya yang lain yang masih menuntut di sekolah menengah ketika ini akan dapat mengikut jejak mereka untuk melanjutkan pengajian di istitusi pengajian tinggi.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan