Ahad, 23 Oktober 2011

GERAKAN TERIMA TENTANGAN BERTANDING DI SABAH

LAJIM...analisis kenyataan Ghapur.
Selepas Anggota Parlimen kawasan Kalabakan, Datuk Ghapur Salleh menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya tidak mengizinkan parti Gerakan untuk bertanding kerusi di Sabah pada pilihan raya umum akan datang, seorang lagi pemimpin dari Sabah, Datuk Seri Panglima Lajim Ukin menyuarakan pendirian yang serupa.

Anggota Majlis Tertinggi Umno itu, berkata, kenyataan Ghapur sebelum ini harus dihargai dan dianalisis.

Menurut Lajim, apa yang diperkatakan oleh MP Kalabakan itu ada asasnya dan Gerakan seharusnya menumpukan perhatian di Semenanjung dan Pulau Pinang.

"Bagaimana parti itu (Gerakan) hendak memperluaskan pengaruhnya di Sabah sedangkan mereka tidak mampu menjaga kawasan mereka sendiri," tegas beliau yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Baru-baru ini, Ghapur dalam nada yang berterus terang, berkata, Gerakan telah ditumbangkan di tempat asal mereka sendiri di Pulau Pinang dan ia tidak ada mempunyai kaitan dan impak di Sabah malah akan terus akan ditumbangkan di negeri ini kerana pengundi terutama masyarakat Cina tidak mengalu-alukan kehadiran parti itu di Sabah.

Bahkan, katanya, parti itu boleh menjadi liabiliti kepada Barisan Nasional (BN) kerana ia bukanlah parti politik yang boleh menang.

"Semua wakil yang dipilih dari Sabah dalam Gerakan adalah "katak" yang berada di situ supaya mereka boleh mengekalkan jawatan mereka dalam kabinet," kata Ghapur.

Lajim yang juga Anggota Parlimen Beaufort menambah bahawa terdapat calon dan parti yang boleh mewakili masyarakat Cina dan juga mampu menyumbangkan kerusi kepada BN pada pilihan raya akan datang.

"Sudah terlalu banyak parti dari Semenanjung. Adakah calon dari parti-parti tempatan di Sabah tidak mampu menyumbang terhadap kemenangan BN sedangkan kita telah membuktikan pada pilihan raya umum 2008," ujar beliau sambil berharap Pengerusi BN Sabah dan BN Pusat akan memikirkan perkara itu sebaik-baiknya.

Lajim berkata, pertimbangan menyeluruh perlu dilakukan untuk memastikan tidak berlaku ketidakseimbangan dalam konteks parti-parti politik dan calon di Sabah.

"Saya ingin tekankan bahawa kita di Sabah mempunyai parti-parti yang boleh mewakili negeri ini. Jangan perlekehkan semua ini kerana rakyat sekarang ini boleh lihat sendiri apa yang baik dan sebaliknya,".

"Rakyat sekarang ini mempunyai akses kepada maklumat mengenai hampir segala-gala hal tidak seperti sebelum ini apabila mereka buta tentang perkara yang berlaku di luar dan di dalam parti-parti politik," tegasnya.

Parti Liberal Demokratik (LDP) turut menyokong kenyataan Ghapur itu dan menyifatkan isu yang dibangkitkan di Parlimen itu sebagai mempunyai kebenaran.

"Kita harus menerima hakikat bahawa terdapat kelemahan asas dalam Gerakan yang akan menjejaskan peluang BN dalam pilihan raya umum akan datang," kata Pegawai Publisiti parti itu, Albert Kok.

Sementara itu, bekas Anggota Parlimen Libaran, Datuk Akhbar Khan Abdul Rahman yang turut menyatakan sokongan terhadap isu dibangkitkan Ghapur itu, berkata, kepimpinan BN Sabah wajar mendengar pandangan daripada akar umbi.

Ketika memberi reaksi terhadap perkara itu, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman, berkata, kenyataan itu merupakan pandangan peribadi Ghapur dan ia tidak menggambarkan pendirian BN Sabah.

Menurut ketua menteri, BN Sabah tidak pernah memandang rendah atau mendikriminasikan parti-parti komponen BN di Sabah.

"Semua komponen BN umpama sebuah keluarga yang besar yang saling hormat-menghormati antara satu dengan yang lain," katanya.




















Tiada ulasan:

Catat Ulasan