Sabtu, 29 Oktober 2011

JANGAN RISAU MENGENAI KERUSI: MUSA

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman meminta para pemimpin parti komponen BN di negeri ini tidak terlalu risau mengenai kerusi yang bakal mereka tandingi kerana ia akan dibincangkan secara bersama apabila tiba masa yang sesuai.


Beliau berkata, tidak perlulah "ghairah" untuk meminta kerusi yang lebih untuk ditandingi pada pilihan raya umum akan datang.

"Ini bukan kali pertama kita menghadapi pilihan raya, kita sudah banyak kali menghadapinya. Apabila pilihan raya umum sudah diumumkan, kita akan duduk dan bincang pasal kerusi dan biasanya ia akan diselesaikan dengan mudah."


"Jadi sekarang ini janganlah kita cakap macam-macam yang boleh mengeruhkan keadaan. Keadaan kita di Sabah ini sentiasa baik, ada ikatan persahabatan dan mesra. Janganlah kita rosakkan ini hanya kerana mahu kerusi lebih," kata Ketua Menteri selepas melancarkan Program Sentuhan Petronas di Stesen Servis Petronas di Berungis di sini.


Musa mengulas gesaan beberapa pemimpin BN Negeri termasuk daripada Parti Liberal Demokratik (LDP) supaya parti Gerakan menumpukan usaha untuk memenagi kerusi bagi BN di Semenanjung daripada meletakkan calon di Sabah.


MP Kalabakan, Datuk Ghapur Salleh dan MP Beaufort, Datuk Seri Panglima Lajim Ukin sebelum ini berpendapat bahawa Gerakan tidak perlu bertanding di Sabah dalam pilihan raya umum akan datang sebaliknya memfokuskan untuk memenangi kerusi di Semenanjung khususnya di Pulau Pinang.


Pengerusi BN Sabah juga mahu wakil-wakil rakyat melipatgandakan usaha untuk turun padang bagi mengetahui masalah yang dihadapi rakyat.


"Jangan kita terlalu ghairah atau risau siapa dapat kerusi banyak dan siapa dapat kurang. Yang penting kita turun padang dan berusaha menolong dan membela nasib rakyat," katanya.


Beliau yakin melalui pendekatan sedemikian selain konsep 1Malaysia, kerajaan BN akan meraih kemenangan besar sebagaimana yang dicapai pada masa lepas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan