Jumaat, 18 November 2011

BAJET NEGERI 2012 TERBESAR DALAM SEJARAH

Musa menunjukkan dokumen Bajet Negeri 2012 sambil diperhatikan Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Bajet Negeri  bagi tahun depan yang berjumlah RM4.048 bilion merupakan rekod perbelanjaan terbesar dalam sejarah kewangan negeri Sabah dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Jumaat.

Ketua Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Musa Aman, berkata, bagi tahun 2012, kerajaan negeri  dijangka mengutip hasil yang tinggi dalam sejarah penyediaan bajet tahunan negeri iaitu sebanyak RM3,690.53 juta.

"Dengan kedudukan kewangan negeri yang kukuh dan lebihan yang berterusan khususnya lebihan sebanyak RM730 juta pada tahun lalu menjadikan perbelanjaan bagi tahun depan merupakan satu rekod perbelanjaan terbesar setakat ini,” katanya.


Beliau berkata, Bajet 2012 dijangka mampu merangsang pertumbuhan ekonomi negeri dengan penekanan terhadap penambahbaikan infrastruktur asas serta kemudahan prasarana awam bagi manfaat rakyat dan para pelabur.


Katanya, bajet ini merupakan bukti kerajaan negeri terus memberikan yang terbaik kepada semua lapisan rakyat dengan mengambil kira keperluan mereka di seluruh negeri.


“Kita akan terus memacu pembangunan di negeri  ini ke tahap yang lebih tinggi di samping mengambil kira ketidaktentuan ekonomi global,” tegas Ketua Menteri.


Beliau juga berkata bahawa kerajaan negeri  turut menagmbil kira pelbagai sektor ekonomi secara holistik bagi melonjakkan lagi pembangunan di Sabah.


Sementara itu, penjawat awam di negeri ini menerima durian runtuh apabila mereka  akan diberikan bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500 seperti yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan dalam Belanjawan 2012, bulan lepas.


Menurut Musa, lebih 23,000 penjawat awam negeri  akan menikmati bonus tersebut yang akan dibayar bersama gaji bulan Disember ini.


Katanya, pemberian bonus itu sebagai menghargai  sumbangan dan jasa kakitangan perkhidmatan awam di negeri ini.

SABAH TERIMA RM1.5B DARI PUSAT TAHUN DEPAN

Sabah akan mendapat peruntukan berjumlah RM1.521 bilion dari Kerajaan Persektuuan bagi membiayai pembangunan di negeri ini pada tahun depan.

Menurut Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, bantuan itu akan disalurkan ke Sabah dalam bentuk Federal  Reimbursable Grants  sebanyak RM40.46 juta, pinjaman Persekutuan  (RM36.18 juta) dan geran langsung Persekutuan (RM1.444 bilion).

Beliau berkata, geran langsung Persekutuan bagi membiayai  pelbagai  program dan projek iaitu bekalan air luar Bandar sebanyak RM572.77 juta, bekalan elektrik luar bandar (RM382.5 juta), jalan dan jambatan (RM444.35 juta), landasan keretapi (RM33.5 juta), Lembaga Tabung Getah Sabah (RM5 juta), perhutanan (RM4.8 juta) dan perikanan  (RM1.2 juta).

Katanya, peruntukan-peruntukan itu akan meletakkan kerajaan negeri pada kedudukan lebih baik untuk membangunkan Sabah.

Rabu, 16 November 2011

PEMUDA UPKO BEAUFORT SOKONG DESAKAN WUJUDKAN RCI


JAFARI...isu PTI kritikal.

Pergerakan Pemuda Upko Bahagian Beaufort menyertai rakan-rakan mereka menyuarakan pandangan mengenai keperluan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menangani isu pendatang tanpa izin (PTI) dan kewarganegaraan yang diragui di Sabah.


Ketuanya, Jafari Kunin, berkata melalui RCI sahaja, sebarang kebimbangan rakyat berhubung isu-isu tersebut dapat diredakan sekali gus membantu menyelesaikan kemelut itu.

Katanya, Kerajaan Persekutuan haruslah mengambil kira desakan rakyat agar suruhanjaya siasatan itu dapat diwujudkan dalam masa terdekat.

Berikutan itu, kata beliau, pergerakan itu menyokong hasrat presiden parti, Tan Sri Bernard Dompok untuk menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memaklumkan pendirian parti mengenai perkara tersebut.

Jafari berkata, isu tersebut telah menjadi sebahagian perjuangan parti selama ini dan sudah tentu ia terus diperjuangkan sehingga mencapai kejayaan.

"Sejak dari awal lagi, parti begitu lantang menyatakan pendirian berhubung masalah PTI di samping pertambahan penduduk yang begitu mendadak di Sabah," katanya.

Beliau berharap isu tersebut dapat ditangani dengan baik oleh Kerajaan Persekutuan kerana ia melibatkan kedaulatan negara dan masa depan rakyat di negeri ini.

"Bagi kami, kita akan terus memberi sokongan padu terhadap sebarang usaha untuk mencari penyelesaian terbaik berhubung isu kritikal seperti ini," ujarnya.

Selasa, 15 November 2011

HIZAZ ANTARA 15 PEMAIN DARI SABAH SERTAI PROGRAM PENCARIAN BAKAT B-SEPAK KEBANGSAAN

Pasukan 11 tahun Sabah sebelum berlepas ke Kuala Lumpur.
Hizaz ketika di KKIA.

Pemain SK Likas, Mohd Hizaz Lokman (Kaka) antara 15 pemain berusia 11 tahun dari Sabah terpilih untuk menyertai Program Pencarian Bakat Sukan Bolasepak 11 Tahun Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Kuantan, Pahang dari 16 hingga 20 November ini.

Pasukan Sabah yang diiringi empat pegawai termasuk Pengurus pasukan, Kamarudin Sudin berlepas ke Kuala Lumpur pagi kelmarin (15 Nov) dan terus ke Pahang untuk melaporkan diri. Pegawai lain ialah Mohammad Ja-ffar Mohd Yussoff selaku jurulatih, Sabri Bahrin (penolong jurulatih) dan Muhimian Haji Moksin (pengadil).

Hizaz, murid tahun lima mewakli pasukan SK Likas sejak di tahun empat dan pernah mewakili sekolah berkenaan untuk kejohanan MSSS dan Liga Bolasepak Junior Kota Kinabalu.

Dia membantu SK Likas menjuarai Liga Bolasepak Junior Kota Kinabalu 2011 bagi kategori bawah 12 tahun selain membantu pasukan Bahagian Barat menduduki naib juara Kejohanan MSSS Bawah 12 Tahun Peringkat Negeri di Tawau pertengahan tahun ini (2011).

Hasil kejayaan SK Likas menjuarai Liga Junior Kota Kinabalu tahun ini membolehkan pasukan sekolah itu mewakili Sabah ke kejohanan juara-juara di Perak pada November.

Ini bermakna Hizaz selepas selesai menyertai program pencarian bakat di Pahang akan meneruskan perjalanan ke Perak bersama pasukan sekolahnya bagi kejohanan juara-juara sebelum pulang ke Sabah.

Berdasarkan penyertaan dalam kejohanan-kejohanan ini sudah tentu akan membantu memberi pendedahan terbaik kepada pemain kecil ini untuk menyerlah lagi bakatnya

Selasa, 8 November 2011

RCI: HASRAT PRESIDEN UPKO TEMUI PM WAJAR


DOMPOK...isu ini sebahagian perjuangan parti.

Hasrat Presiden Upko, Tan Sri Bernard Dompok untuk menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung harapan rakyat Sabah supaya sebuah Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menyelesaikan isu pendatang tanpa izin (PTI) dan pertambahan penduduk secara mendadak di negeri ini amat wajar dan dialu-alukan.

Sememangnya inilah yang menjadi impian dan harapan bagi kebanyakkan rakyat di Sabah agar suruhanjaya sedemikian menjadi kenyataan.

Ia juga sebenarnya menjadi cetusan perjuangan Upko, sebuah anggota komponen Barisan Nasional (BN) yang sejak dari awal lagi begitu lantang dan komited menyuarakan permasalahan itu supaya dapat ditangani Kerajaan Persekutuan melalui penubuhan RCI, yang dilihat salah satu kaedah terbaik bagi menyelesaikan masalah PTI dan pertambahan populasi yang diragui di negeri ini sejak sekian lama.

Isu ini bukan sahaja kerap kali didedahkan di media, forum-forum politik malah turut di bawa hingga ke Dewan Rakyat. Bagi menguatkan lagi permintaan bagi syor penubuhan RCI, memorandum juga dikemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) selain buku-buku diterbitkan yang mengandungi fakta untuk menyokong keraguan dan kebimbangan kalangan pemimpin dan rakyat Sabah mengenai isu kritikal yang menghantui mereka.

Tidak cukup dengan itu, Kongres Nasional Upko di Penampang baru-baru ini telah meluluskan satu resolusi mengenainya untuk dibawa ke perhatian pihak kerajaan berhubung penubuhan RCI yang difikirkan satu-satunya usaha penyelesaian bagi merungkai permasalahan pertambahan penduduk yang ketara di Sabah selain kebimbangan mengenai kedudukan PTI yang seolah-olah tiada noktahnya. Masalah-masalah ini juga secara berterusan disuarakan oleh rakan-rakan parti komponen BN seperti PBS, PBRS, LDP selain pihak pembangkang juga mempunyai pandangan yang serupa.

Lantaran itu, Upko tidak lagi dapat menyembunyikan apa yang terbuku di hati para pemimpinnya dan Dompok selaku presiden parti itu yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi menyatakan untuk berjumpa sendiri kepada pemimpin nombor satu negara, Datuk Seri Najib bagi menyatakan pendirian parti berhubung keperluan menubuhkan RCI.

Dompok berkata, sebagai presiden parti, beliau terpanggil untuk membawa perkara ini kepada Perdana Menteri kerana isu ini membabitkan kedaulatan negara.

"Jika kerajaan tidak bersetuju untuk mewujudkan RCI ke atas isu ini, selaku presiden parti saya perlu bertindak untuk menyatakan pendirian saya kepada PM," tegasnya.

Malah, kata Dompok, "tiada gunanya bagi saya menjadi seorang anggota Kabinet Persekutuan sekiranya permintaan rakyat negeri ini tidak dihirau dan diketepikan oleh kerajaan kerana ini secara tidak langsung juga menunjukkan bahawa kedudukan saya sebagai anggota Kabinet Persekutuan perlu diteliti semula."

Timbalan Presiden Upko, Datuk Seri Wilfred Bumburing tampil menyokong kuat usaha yang dilakukan presiden dengan menyatakan bahawa parti itu sudah jemu dengan pelbagai dakwaan dan kenyataan oleh Kerajaan Persekutuan termasuk yang dibuat oleh beberapa ketua jabatan kerajaan Persekutuan yang menafikan kewujudan pendatang tanpa izin yang memperoleh mykad secara salah.

Beliau mendakwa, pemegang mykad terbabit pula tersenarai dalam daftar pemilih.

Sambil menyokong penuh usaha Dompok untuk berjumpa Perdana Menteri, beliau menegaskan komitmen seperti itu layak disokong kerana isu ini telah menghantui penduduk tulen di negeri ini dan sudah tiba masanya satu jalan penyelesaian dilakukan Kerajaan Persekutuan.

Justeru, beliau menggesa Perdana Menteri agar mengambil tindakan secara positif sebelum BN diberi pengajaran politik oleh pengundi dalam pilihan raya umum akan datang.

Turut menyokong desakan Upko supaya kerajaan segera mewujudkan RCI ialah Parti Liberal Demokratik (LDP) juga sebuah anggota komponen BN yang mahu suruhanjaya itu ditubuhkan sebelum pilihan raya umum ke-13 nanti.

Pegawai Publisiti LDP, Albert Kok, berkata, Kerajaan Persekutuuan seharusnya jangan melihat gesaan Upko itu sebagai ancaman atau memberi kata dua.

"Sudah tiba masanya Kerajaan Persekutuan mendengar gesaan penduduk Sabah dan menubuhkan RCI untuk menyelesaikan isu PTI dan kewarganegaraan di Sabah secara muktamad," katanya.

Isnin, 7 November 2011

EX-SFX REUNION RAI DATUK HASNOL

ABADIKAN KENANGAN...Datuk Hasnol (berdiri tengah di belakang) yang diraikan bergambar dengan rakan-rakan pada majlis itu.
BUAL...Susan, Judith Quadra, Vivian dan Lily bersembang agaknya bertanyakan khabar dan perkembangan masing-masing.

Dari kanan; Peter Diego, Amat Jutra, Datuk Hasnol, Freddy Pansuan, Lokman Sunggim, Anthony Liew, Pius Ng dan Adzhar R.M Jasni ketika menghadiri majlis reunion itu.
Dari kiri; Susan A. Jui, Lana Chan, Raynee, Noya Jaafar, Easter Sutili, Lestly Joan, Vivian Louis dan Lily Yong.

Datuk Hasnol bersama Lana, Lokman dan Pius.

Bermula dengan ucapan tahniah melalui iklan di surat khabar oleh bekas pelajar-pelajar St. Francis Xavier, Keningau terhadap rakan mereka Hasnol Ayub yang baru saja menerima penganugerahan bintang dan darjah kebesaran Panglima Gagah Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk, ia kemudian disusuli majlis reunion bagi meraikan beliau, baru-baru ini.

Idea mengadakan reunion itu dimulakan Roger Amandus, rakan sekelas kami yang kemudian disokong kuat beberapa rakan terutama Lana Chan dan Vivian Louis. Mereka ini adalah tenaga penggerak bagi merealisasikan majlis reunion itu yang diadakan di salah sebuah hotel di Keningau. 

Pada saya tanpa komitmen dan kesungguhan Lana, Vivian dan beberapa rakan yang lain sudah tentu majlis tersebut tidak akan dapat dijayakan.

Begitu juga dengan kerjasama dan sokongan rakan-rakan yang meluangkan masa untuk menghadiri majlis berkenaan bukan saja membolehkan pertemuan itu menjadi kenyataan malah pastinya telah memeriahkan suasana pada malam itu.

Ramai yang hadir dapat merasakan keseronokan kerana dapat bertemu semula rakan-rakan selepas kira-kira 30 tahun meninggalkan sekolah berkenaan dan ia seolah-olah membangkitkan semula nostalgia zaman persekolahan menengah.

Datuk Hasnol yang memberi ucapan ringkas pada majlis itu menganggap detik pertemuan itu merupakan saat yang sangat menggembirakan kerana ia seolah-olah mengembalikan ingatan tentang gelagat ketika bersama-sama di bangku sekolah.

Banyak kisah-kisah semasa bersama rakan-rakan sekelas diimbas kembali dan ia sangat menyentuh hati, katanya sambil mengimbas kembali ingatan bagaimana rakan sekelas kami, Lily Yong yang turut hadir pada malam itu merupakan pelajar yang ditugaskan untuk mencatat nama pelajar-pelajar yang nakal dan suka "escape".

Lana Chan, penganjur majlis itu ketika memberi ucapan turut mengimbas kembali "kenakalan" Datuk Hasnol yang gemar mengusiknya dengan memberi bermacam-macam gelaran terhadapnya.

"Kau masih ingat Datuk, apa panggilan yang diberikan kepada saya," kata Lana yang menyebabkan Datuk Hasnol menutup mulut ketawa.

Begitu pun, ujar Lana, "Datuk akhirnya membuktikan bahawa anda sebenarnya seorang yang smart dan kami semua berasa bangga."

Dia juga berharap bahawa pada masa akan datang akan diusahakan lagi majlis reunion yang serupa bagi membolehkan semua rakan-rakan dapat berkumpul semula dalam suasana meriah seperti itu.