Rabu, 9 November 2011

RCI: HASRAT PRESIDEN UPKO TEMUI PM WAJAR


DOMPOK...isu ini sebahagian perjuangan parti.

Hasrat Presiden Upko, Tan Sri Bernard Dompok untuk menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung harapan rakyat Sabah supaya sebuah Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menyelesaikan isu pendatang tanpa izin (PTI) dan pertambahan penduduk secara mendadak di negeri ini amat wajar dan dialu-alukan.

Sememangnya inilah yang menjadi impian dan harapan bagi kebanyakkan rakyat di Sabah agar suruhanjaya sedemikian menjadi kenyataan.

Ia juga sebenarnya menjadi cetusan perjuangan Upko, sebuah anggota komponen Barisan Nasional (BN) yang sejak dari awal lagi begitu lantang dan komited menyuarakan permasalahan itu supaya dapat ditangani Kerajaan Persekutuan melalui penubuhan RCI, yang dilihat salah satu kaedah terbaik bagi menyelesaikan masalah PTI dan pertambahan populasi yang diragui di negeri ini sejak sekian lama.

Isu ini bukan sahaja kerap kali didedahkan di media, forum-forum politik malah turut di bawa hingga ke Dewan Rakyat. Bagi menguatkan lagi permintaan bagi syor penubuhan RCI, memorandum juga dikemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) selain buku-buku diterbitkan yang mengandungi fakta untuk menyokong keraguan dan kebimbangan kalangan pemimpin dan rakyat Sabah mengenai isu kritikal yang menghantui mereka.

Tidak cukup dengan itu, Kongres Nasional Upko di Penampang baru-baru ini telah meluluskan satu resolusi mengenainya untuk dibawa ke perhatian pihak kerajaan berhubung penubuhan RCI yang difikirkan satu-satunya usaha penyelesaian bagi merungkai permasalahan pertambahan penduduk yang ketara di Sabah selain kebimbangan mengenai kedudukan PTI yang seolah-olah tiada noktahnya. Masalah-masalah ini juga secara berterusan disuarakan oleh rakan-rakan parti komponen BN seperti PBS, PBRS, LDP selain pihak pembangkang juga mempunyai pandangan yang serupa.

Lantaran itu, Upko tidak lagi dapat menyembunyikan apa yang terbuku di hati para pemimpinnya dan Dompok selaku presiden parti itu yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi menyatakan untuk berjumpa sendiri kepada pemimpin nombor satu negara, Datuk Seri Najib bagi menyatakan pendirian parti berhubung keperluan menubuhkan RCI.

Dompok berkata, sebagai presiden parti, beliau terpanggil untuk membawa perkara ini kepada Perdana Menteri kerana isu ini membabitkan kedaulatan negara.

"Jika kerajaan tidak bersetuju untuk mewujudkan RCI ke atas isu ini, selaku presiden parti saya perlu bertindak untuk menyatakan pendirian saya kepada PM," tegasnya.

Malah, kata Dompok, "tiada gunanya bagi saya menjadi seorang anggota Kabinet Persekutuan sekiranya permintaan rakyat negeri ini tidak dihirau dan diketepikan oleh kerajaan kerana ini secara tidak langsung juga menunjukkan bahawa kedudukan saya sebagai anggota Kabinet Persekutuan perlu diteliti semula."

Timbalan Presiden Upko, Datuk Seri Wilfred Bumburing tampil menyokong kuat usaha yang dilakukan presiden dengan menyatakan bahawa parti itu sudah jemu dengan pelbagai dakwaan dan kenyataan oleh Kerajaan Persekutuan termasuk yang dibuat oleh beberapa ketua jabatan kerajaan Persekutuan yang menafikan kewujudan pendatang tanpa izin yang memperoleh mykad secara salah.

Beliau mendakwa, pemegang mykad terbabit pula tersenarai dalam daftar pemilih.

Sambil menyokong penuh usaha Dompok untuk berjumpa Perdana Menteri, beliau menegaskan komitmen seperti itu layak disokong kerana isu ini telah menghantui penduduk tulen di negeri ini dan sudah tiba masanya satu jalan penyelesaian dilakukan Kerajaan Persekutuan.

Justeru, beliau menggesa Perdana Menteri agar mengambil tindakan secara positif sebelum BN diberi pengajaran politik oleh pengundi dalam pilihan raya umum akan datang.

Turut menyokong desakan Upko supaya kerajaan segera mewujudkan RCI ialah Parti Liberal Demokratik (LDP) juga sebuah anggota komponen BN yang mahu suruhanjaya itu ditubuhkan sebelum pilihan raya umum ke-13 nanti.

Pegawai Publisiti LDP, Albert Kok, berkata, Kerajaan Persekutuuan seharusnya jangan melihat gesaan Upko itu sebagai ancaman atau memberi kata dua.

"Sudah tiba masanya Kerajaan Persekutuan mendengar gesaan penduduk Sabah dan menubuhkan RCI untuk menyelesaikan isu PTI dan kewarganegaraan di Sabah secara muktamad," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan