Khamis, 22 Disember 2011

DBKK DIHUJANI ADUAN ORANG RAMAI

Penutup lubang seperti ini sering menjadi sasaran pencuri dan DBKK banyak menerima aduan mengenainya.

Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menerima sebanyak 7,216 aduan daripada orang ramai sejak awal tahun ini hingga pada Rabu lepas.

Ini termasuk 143 aduan yang diterima sempena Sesi Bertemu Pelanggan anjurannya yang diadakan pada Rabu.

Datuk Bandar, Datuk Abidin Madingkir, berkata kebanyakan aduan yang diterima ialah berkaitan masalah pembentungan dan isu kehilangan penutup lubang.

Katanya, ada juga aduan yang diterima di bawah bidang kuasa jabatan lain seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Air.

"Dalam kes seperti ini, kita akan menyalurkan aduan itu kepada pihak yang berkenaan untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata, selain melalui program sesi bertemu pelanggan, DBKK juga mempunyai saluran lain untuk menerima aduan orang ramai, umpamanya melalui talian hotline DBKK atau melalui surat khabar.

"Kami akan meneliti setiap aduan dan cadangan daripada orang ramai selagi ia sesuatu yang membina," katanya.

Menurut Abidin, sesi bertemu pelanggan bertujuan untuk mengeratkan hubungan dengan orang ramai selain untuk membolehkan mereka membuat aduan atau memberi cadangan yang sekurang-kurangnya akan membantu DBKK meningkatkan lagi perkhidmatannya kepada pelanggan.

Beliau turut menjelaskan bahawa DBKK telah menubuhkan Skuad Udara dalam usaha untuk memantau isu berkaitan kehilngan penutup lubang dan isu lain yang berlaku di sekitar bandaraya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan