Sabtu, 3 Disember 2011

UMNO CADANG KOMPONEN BN BERI PM MANDAT PILIH CALON BOLEH MENANG

NAJIB...dapat mandat sebulat suara pilih calon boleh menang.

Pemimpin dan perwakilan Umno mencadangkan kriteria 'winnable candidate' atau calon boleh menang diperluaskan meliputi semua parti komponen Barisan Nasional (BN) bagi memastikan kemenangan besar pada Pilihan raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Mereka mahu kriteria itu tidak hanya diguna pakai untuk menentukan calon Umno malah merangkumi semua calon BN tanpa mengira kawasan tradisional yang ditandingi parti komponen.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, berkata Umno sudah membuat ketetapan paling berani dengan memberi mandat kepada Presiden Umno yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengemukakan calon boleh menang dan kini parti komponen BN perlu mengambil langkah sama.

"Isu sekarang, calon boleh menang bukan untuk Umno saja. Kedudukan wakil BN (komponen) di kawasan tertentu juga perlu diambil kira," katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan wakil Kelab Umno Luar Negara pada hari kedua perhimpunan agung parti itu.

Terdahulu, 2,771 perwakilan Umno sebulat suara meluluskan usul ucapan dasar Presiden yang antara lain meminta semua ahli bersiap sedia menggempur pembangkang dengan tidak mempertikaikan siapa yang bakal dicalonkan pada PRU-13.

Hishammuddin berkata, selepas usul berkenaan diluluskan sebulat suara maka tiada lagi pertikaian berhubung isu calon boleh menang.

Wakil Umno Melaka yang juga Ketua Penerangan Umno Bahagian Bukit Katil, Datuk Hasnoor Sidang Hussin, berkata pucuk pimpinan perlu menjelaskan kriteria 'winnable candidate' kerana tidak mahu ia hanya diguna pakai dalam nenentukan calon daripada Umno.- BH.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan