Isnin, 12 Disember 2011

SIAPA DALANG LIMBUNGAN KAPAL HARAM DI KUALA PENYU?

HARAM...kawasan yang sudah dibersihkan dengan kelihatan lambakan cerucuk konkrit yang siap untuk digunakan bagi limbungan kapal haram di Kg. Palu-Palu, Kuala Penyu yang menimbulkan kontroversi.

Sebuah syarikat yang dimiliki seorang warga dari Semenanjung tidak menghiraukan arahan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menghentikan kerja-kerja membina limbungan kapal haram di kawasan pinggir laut di Kampung Palu-Palu, Kuala Penyu di sini yang mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk penduduk kampung terbabit.

Pihak Majlis Daerah Kuala Penyu (MDKP) baru-baru ini sudah mengeluarkan arahan kepada syarikat berkenaan bagi menghentikan kerja-kerja yang dijalankan selagi tiada kelulusan daripada pihak berkuasa.

Bagaimanapun, syarikat itu bukan sahaja gagal mematuhi arahan malah masih meneruskan kerja-kerja termasuk mengorek pasir di kawasan tersebut selain melakukan kerja-kerja membersihkan kawasan bakau yang dibimbangi penduduk kampung itu akan menjejas teruk alam sekitar di kawasan itu.

Ekoran kedegilan pemilik syarikat itu untuk mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak MDKP, semua anggota majlis daerah itu difahamkan telah menyatakan kesediaan mereka untuk meletak jawatan sekiranya pihak-pihak tertentu campur tangan untuk memberi tekanan kepada pihak majlis untuk membolehkan syarikat itu meneruskan kerja-kerja haramnya.

Perkara itu turut dibawa ke pengetahuan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Hajiji Mohd Noor dan sehingga ini belum ada tindakan lanjut daripada pihak kementerian berkenaan.

Akibat kontroversi itu, Suruhanjaya Siasatan Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikatakan telah mengambil beberapa dokumen dari Jabatan Tanah dan Ukur daerah termasuk menyoal-siasat beberapa kakitangan yang berkenaan. Namun setakat ini belum ada sebarang tangkapan dibuat.

Pemilik syarikat itu yang dikatakan berkahwin dengan wanita tempatan berasal dari Penampang dikatakan menggunakan pemimpin-pemimpin politik yang berpengaruh dalam usahanya untuk memberi tekanan kepada pihak berkuasa di daerah Kuala Penyu.

Sekurang-kurangnya dua pemimpin termasuk seorang yang bergelar tan sri dan memegang jawatan penting di Kerajaan Persekutuan dipercayai cuba mempengaruhi pihak berkuasa di Kuala Penyu supaya menggunakan budi bicara membantu syarikat terbabit.

Namun situasi itu mengundang tindak balas daripada kalangan semua kaunselor MDKP yang dikatakan telah menyampaikan hasrat mereka untuk meletakkan jawatan serentak kepada Pengerusi MDKP yang juga Pegawai Daerah Kuala Penyu, Edmund Teo sekiranya pihak kerajaan terus mengizinkan pembinaan limbungan kapal haram tersebut yang dipercayai akan memusnahkan alam sekitar di kawasan tersebut.

"Kami semua akan melepaskan jawatan jika syarikat tersebut terus tidak menghiraukan arahan dan menggunakan pemimpin-pemimpin tertinggi tertentu untuk memberi tekanan kerana ini jelas perbuatan yang menyalahgunakan kuasa dan akan menghakiskan keyakinan rakyat terhadap kerajaan," kata Timbalan Pengerusi MDKP ketika diminta pandangannya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan