Sabtu, 17 Disember 2011

"WINNABLE CANDIDATE" MESTILAH MUDAH DITERIMA RAKYAT, KATA LAJIM

LAJIM...perlu diterima rakyat.

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin berkata, calon-calon Barisan Nasional (BN) yang berpotensi untuk menang mestilah mudah diterima rakyat di kawasan masing-masing tanpa mengira mereka merupakan pemimpin baharu atau sebaliknya.


Menurut beliau, apa yang penting mereka sentiasa diterima pengundi dan sanggup berkhidmat sepenuhnya kepada rakyat.


“Pemimpin yang telah membuktikan kemampuan, memperoleh majoriti besar dan disenangi rakyat juga merupakan antara kriteria calon yang berpotensi menang dan ini perlukan dijadikan perkiraan apabila memperkatakan soal  “ winnable candidate,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Peralatan Sekolah  Peringkat Negeri Sabah bagi kawasan  Parlimen Beaufort, di sini.


Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Dr.Haji Muhammad Yamin Ismail, Pengurus Besar Yayasan Taqwa (MAIWP), Haji Ahmad Ayop Haji Ibrahim dan Pegawai Daerah Beaufort, Wong Foo Ten.


Menurut Lajim lagi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga telah menjelaskan bahawa hanya calon yang berpotensi menang akan dicalonkan bagi memastikan BN mendapat kemenangan besar dalam pilihan raya akan datang.


Lajim yang juga Timbaan Menteri Perumahan dan Kerjaan Tempatan berkata, wakil-wakil rakyat sedia ada yang kurang berkemampuan dan gagal mendapat sokongan perlu berundur secara sukarela dengan memaklumkannya kepada Perdana Menteri.


“Pengorbanan seumpama itu perlu bagi memastikan hanya calon yang sesuai dan diterima rakyat akan dicalonkan di sesuatu kawasan dan ini boleh menjadi asas kekuatan dan kemenangan BN pada PRU ke 13  nanti,” katanya.


Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Beaufort, berkata pada pilihan raya umum akan datang, pucuk pimpinan parti sudah pasti memahami apa yang bakal mereka lakukan dalam menentukan calon.


“Sebagaimana yang diperkatakan oleh Presiden UMNO, parti merumuskan bahawa untuk setiap kerusi, BN pastinya akan menampilkan calon yang mempunyai peluang terbaik untuk menang di kawasan yang bakal ditandingi,” ujar beliau.


Pada majlis itu, seramai 335 orang pelajar dari kawasan Parlimen Beaufort  menerima sumbangan peralatan persekolahan yang bernilai RM220.00 tiap seorang. (JAW).





Tiada ulasan:

Catat Ulasan