Rabu, 26 Disember 2012

BAS BANDAR DI TERENGGANU TONJOL CIRI-CIRI TRADISIONAL


Bas bandar yang mempunyai reka bentuk tradisional (gambar) menjadi satu keunikan di bandar Kuala Terengganu, Terengganu walaupun di sebahagian besar bandar di negeri-negeri lain lebih tertarik menggunakan pendekatan yang lebih canggih dan moden.

Walaupun kelihatan agak kurang moden namun penumpang di bandar berkenaan tetap bangga dengan kemudahan pengangkutan awam itu malah ia menjadi pengangkutan utama di negeri tersebut.

Bagi para pelancong, bas tradisional itu sangat menarik perhatian mereka dan menganggapnya sebagai sesuatu yang unik dan istimewa kerana ciri-ciri tradisional yang sukar didapati di tempat lain.

Keberanian syarikat yang mengusahakan perkhidmatan bas bandar seumpama ini dengan sokongan pihak kerajaan boleh menjadi contoh bahawa kecanggihan perkhidmatan tidak semestinya menjadi keutamaan penumpang sebaliknya daya kreativiti juga mampu memikat orang ramai.

Saya pernah mencuba menaiki bas ini untuk merasakan sendiri keadaan di dalamnya dan ia tetap menyeronokkan walaupun hanya menggunakan tempat duduk yang diperbuat daripada kayu.

Pelbagai bentuk ukiran yang terdapat di dalam bas menjadikannya lebih menarik seolah-olah kita berada di dalam sebuah rumah tradisional yang sedang bergerak.


Ahad, 16 Disember 2012

SABAH TEMPAT KETIGA KEJOHANAN ANTARA JUARA-JUARA KEBANGSAAN 2012


Gambar atas: Para pemain SK Likas yang mewakili Sabah bersama jurulatih dan ibu bapa melaungkan Sabah Boleh selepas menewaskan Mykids Perlis pada perlawanan penentuan tempat ketiga. Bawah: Pasukan itu bergambar dengan trofi, medal dan hadiah wang tunai RM5,000 yang dimenangi.

KUALA TERENGGANU: Pasukan Sabah memenangi tempat ketiga Kejohanan Antara Juara-Juara 2012 setelah menumpaskan pasukan Mykids Perlis 4-3 melalui sepakan penalti pada perlawanan penentuan di padang Kompleks Sukan Negeri Gong Badak di sini, pagi ini.

Penentuan melalui sepakan penalti terpaksa dilakukan selepas kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan seri 1-1 pada perlawanan sepenuh masa.

Perlis yang baru sahaja dinobatkan sebagai juara Kejohanan Mykids Soccer Kebangsaan 2012 di Kangar baru-baru ini seolah-olah tidak mahu memberi laluan mudah kepada Sabah selepas kedua-dua pasukan juga seri 1-1 pada perlawanan perlawanan peringkat kumpulan.

Bagaimanapun kehebatan Perlis tidak menghalang Sabah untuk membuktikan kemampuan mereka walaupun pasukan lawan itu berjaya mendapatkan gol pendahulu pada minit-minit akhir separuh masa kedua.

Ketinggalan dengan jaringan tunggal itu, Sabah sebaliknya mengatur strategi lebih berkesan pada babak separuh masa kedua dan ia terbukti membawa hasil apabila penyerang Nasip Md Zain yang dikawal ketat sepanjang permainan akhirnya menjaringkan gol penyamaan menerusi tendangan bebas, yang menghidupkan semula peluang mereka.

Penjaga gol Sabah, Azeem Hakimi juga bertindak cemerlang mengawal gawang ketika sepakan penalti dan kemudian membantu menjaringkan gol kemenangan yang diambilnya melalui sepakan terakhir. Gol tersebut sekali gus memusnahkan impian pasukan juara kejohanan mykids soccer kebangsaan itu.

Ketika diminta mengulas kejayaan pasukan Sabah itu, jurulatih Norsi Haji Sabtari, berkata pihaknya yakin pemain-pemain mampu memenangi perlawanan itu  berdasarkan pengalaman dua kali menghadapi Perlis sebelum ini.

"Kita telah merangka strategi dan kita mempunyai keyakinan bahawa kemenangan boleh memihak kita," katanya.

Beliau berkata, benteng pertahanan pasukannya turut memperlihatkan kekebalan untuk mengekang lawan dan ini menyukarkan lawan melancarkan serangan berbahaya.

"Kami juga memberi tumpuan terhadap sepakan penalti kerana ini kerap terjadi dalam permainan bolasepak. Apabila perlawanan diheret kepada sepakan penalti, sudah tentulah kita telah bersedia dan hasilnya kita berjaya," ujarnya.

Dengan kejayaan itu, Sabah yang diwakili SK Likas berjaya membawa pulang sebuah trofi, medal dan hadiah wang tunai RM5,000.
Lebih bermakna lagi kemenangan itu turut meletakkan pasukan sekolah berkenaan sebagai  ketiga terbaik pasukan bawah 12 tahun di negara ini.

Sabtu, 3 November 2012

HIZAZ TERUJA SERTAI KEM PEMILIHAN 1MALAYSIA CARDIF CITY-ASTRO


 
GAMBAR ATAS: Hizaz ketika menyertai kem pemilihan 1MCC-Astro. GAMBAR BAWAH: Hizaz (kedua dari kiri) bersama rakan bergambar kenangan dengan jurulatih yang mengendalikan kem pemilihan itu.

 KOTA KINABALU: Pemain Mykids Soccer Sabah dan SK Likas, Mohd Hizaz Lokman gembira kerana berpeluang mengikuti kem pemilihan 1Malaysia Cardif City (1MCC)-Astro Kem Bola di padang Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini pada Sabtu.

Dia adalah antara beratus-ratus pemain bawah umur 12 tahun mengikuti kem pemilihan berlangsung selama dua hari berakhir pada Ahad.

"Ini peluang sebenar untuk menunjukkan bakat dan saya akan berusaha melakukan yang terbaik supaya berjaya dalam pemilihan ini," katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, dia bernasib baik kerana dapat mengikuti pemilihan hari ini manakala rakan-rakannya yang lain dari SK Likas akan mengikuti pemilihan esok (Ahad).

"Mudah-mudahan kami mampu menarik perhatian panel pemilih dan jurulatih yang mengendalikan pemilihan ini. Bagi saya, ini peluang yang tidak ingin saya lepaskan," ujar pemain kidal itu.

Hizaz, 12, akan mewakili pasukan Sabah ke Kejohanan Mykids Soccer Peringkat Kebangsaan di Perlis pada 16-21 November ini dan juga akan bermain dalam pasukan SK Likas bagi menghadapi Kejohanan Antara Juara-Juara di Terengganu pada 1-9 Disember ini. 

Selain menyertai kem pemilihan ini, saya bersama rakan-rakan akan memberi tumpuan Kejohanan Mykids Soccer Kebangsaan di Perlis dan Kejohanan Antara Juara-Juara di Terengganu nanti, katanya.

"Kedua-dua kejohanan tersebut penting dan kami akan cuba mempamerkan permainan terbaik bagi meraihkan kejayaan," jelasnya.

Sebelum ini, Hizaz juga menganggotai pasukan SK Likas yang berjaya menjuarai Piala Borneo 2012 dan beraksi bersama pasukan sekolah itu dalam Liga Bolasepak Junior Kota Kinabalu 2012 di mana mereka menduduki naib juara selain bermain mewakili pasukan Bahagian Barat ke Kejohanan Bolasepak MSSS Bawah 12 Tahun peringkat negeri.



Selasa, 30 Oktober 2012

SABAH HANTAR DUA PASUKAN KE KEJOHANAN MYKIDS SOCCER KEBANGSAAN DI PERLIS


SERAH JERSI...Lokman mewakili Pengarah Urusan Perwira Progresif Construction Sdn. Bhd., Limus Jury menyerahkan sumbangan jersi kepada Osmera (tiga dari kiri).

KOTA KINABALU: Sabah akan menghantar dua pasukan untuk mengambil bahagian dalam Kejohanan Mykids Soccer Kebangsaan yang akan berlangsung di padang Kompleks Sukan Negeri Kangar, Perlis pada 16-22 November ini.

Satu pasukan akan bertanding bagi kategori bawah umur 12 tahun yang akan dianggotai 18 pemain Mykids Soccer Sabah dan satu pasukan lagi melibatkan pemain bawah 10 tahun yang terdiri daripada 15 pemain.

Ketua jurulatih remaja negeri Majlis Sukan Negara (MSN), Osmera Omaro, berkata, bagi kategori bawah 12 tahun, ini merupakan kali kedua Sabah mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut dan kali pertama menyertai bagi kategori bawah 10 tahun.

Katanya, tahun lepas Sabah menyertai kejohanan kebangsaan bawah 12 tahun di Perak dan berjaya memasuki pusingan suku akhir.

"Kali ini, kita memiliki pasukan bawah 12 tahun yang bagus dan saya percaya mereka mampu beraksi dengan cemerlang dalam kejohanan itu," katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan jersi daripada Perwira Progresif Construction Sdn. Bhd. di padang SK Likas, pada Selasa.

Sumbangan jersi itu disampaikan Lokman Sunggim yang mewakili Pengarah Urusan syarikat berkenaan, Limus Jury pada majlis penyerahan itu.

Osmera berkata, pasukan bawah 12 tahun akan diawasi jurulatih Norsi Sabtari manakala pasukan bawah 10 tahun akan dikendalikan Mohamad Erwan kerana beliau akan terlibat mengawasi pasukan Malaysia Projek 2019 yang turut bertanding dalam kejohanan itu.

Katanya, sebanyak 15 pasukan bawah umur 12 tahun dari seluruh negara akan menyertai kejohanan enam hari itu.

Menurut beliau, pasukan yang dijangka memberi cabaran kuat dalam kejohanan itu termasuk juara Kejohanan Bolasepak Bawah 12 Tahun MSSM, Terengganu, Pahang dan Perak.

"Namun begitu, kita juga mempunyai pasukan yang baik dan kita berharap mereka mampu menghadapi saingan lawan dan seterusnya mencapai kejayaan," ujarnya sambil menyatakan keyakinan skuad Mykids Soccer Sabah mampu pergi lebih jauh.

Beliau juga memberitahu, ketika ini Mykids Soccer Sabah juga telah dimasukkan di bawah program pembangunan bolasepak SAFA.


KOMPONEN BN BEAUFORT BEKERJASAMA SEBAGAI SATU PASUKAN, KATA ISNIN



Isnin (kanan) bersalaman dengan Presiden Upko, Tan Sri Bernard Dompok pada konvensyen itu.

BEAUFORT: Pemimpin dan anggota parti komponen Barisan Nasional (BN) di semua peringkat harus memperkasakan kerjasama terutamanya ketika menjayakan program parti bagi memperkukuhkan BN menjelang pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) nanti.

Pemangku Ketua Umno Beaufort, Isnin Aliasnih berkata, ini penting dalam usaha untuk meraih kejayaan dalam pilihan raya.

Beliau memuji semangat juang yang ditunjukkan ahli-ahli Upko yang membanjiri dewan untuk menghadiri konvensyen berkenaan.


“Ini jelas menyangkal propaganda murahan yang sengaja digembar-gemburkan oleh pihak pembangkang dengan menyatakan bahawa Upko akan keluar daripada komponen BN sebelum ini,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Konvensyen Upko Bahagian Beaufort di Dewan Dato Shahbandar Makang di sini.

Lebih 2,000 ahli Upko menghadiri konvensyen yang dirasmikan oleh Presiden parti itu, Tan Sri Bernard Dompok.

Beliau berkata, Umno dan rakan-rakan parti komponen akan terus berkerjasama sebagai satu pasukan untuk melaksanakan agenda ke arah memperjuangkan nasib rakyat yang memerlukan pembelaan.

“Kita akan terus bekerjasama malah mempertingkatkan lagi demi memantapkan gabungan ini. Kita tiada masalah kerana kita sentiasa menjalinkan kerjasama sebelum ini,” katanya.



Ahad, 28 Oktober 2012

KONVENSYEN UPKO BEAUFORT LULUS LIMA USUL



MEMBERANGSANGKAN...para peserta yang menghadiri konvensyen itu.

KUALA PENYU: Konvensyen Upko Bahagian Beaufort sebulat suara meluluskan lima usul untuk dikemukakan kepada parti pusat dan seterusnya diiringi harapan agar mendapat pertimbangan pihak kerajaan.

Usul tersebut ialah menangani isu bekalan air, cadangan menempatkan universiti baru di Kuala Penyu, peluang pekerjaan dan perindustrian, kewajaran pembinaan jambatan Menumbok-Wilayah Persekutuan Labuan dan cadangan bangunan mahkamah anak negeri di Kuala Penyu.

Kelima-lima usul itu dipersetujui sebulat suara lebih 2,000 peserta yang mengambil bahagian dalam konvensyen sehari di Dewan Dato Shahbandar Makang, kelmarin.

Naib Ketua 1 Upko Bahagian Beaufort, Lokman Sunggim (gambar), berkata usul terbabit akan dikemukakan kepada parti pusat secepat mungkin.

Katanya, bagi Upko bahagian, usul tersebut sangat penting kerana ia mencerminkan hasrat dan aspirasi rakyat di kawasan Beaufort khususnya kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Penyu.

"Di peringkat bahagian kami memang banyak kali membincangkan perkara berkaitan dan persetujuan sebulat suara yang diberikan ahli Upko terhadap usul berkenaan pada konvensyen itu membuktikan mereka mahukan isu dan hal tersebut diberi perhatian oleh kerajaan," katanya ketika ditemui di sini.

Lokman berkata, bahagian itu juga gembira kerana konvensyen yang dirasmikan oleh Presiden Upko, Tan Sri Bernard Dompok mendapat sambutan memberangsangkan daripada ahli-ahli upko dengan kehadiran lebih 2,000.

Menurutnya, ini menunjukkan sokongan ahli-ahli Upko bahagian tidak pernah luntur dan mereka memahami usaha-usaha baik yang dilakukan secara berterusan pihak kerajaan.

Beliau juga menyifatkan kehadiran sebahagian besar anggota majlis tertinggi parti ke konvensyen tersebut menjadikan suntikan semangat kepada ahli-ahli Upko dan penyokong BN di Kuala Penyu untuk terus berjuang dalam BN.

"Ini akan membantu memudahkan bahagian untuk terus berkerja dan merancang yang terbaik bagi persediaan rapi untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13," tegasnya.