Selasa, 28 Februari 2012

SAYA MASIH DALAM BN: LAJIM

Anggota Parlimen kawasan Beaufort, Datuk Seri Panglima Lajim Haji Ukin (gambar) hari ini menyatakan pendiriannya bahawa beliau masih di dalam Barisan Nasional (BN) sekali gus menamatkan spekulasi berhubung dirinya sejak beberapa bulan lepas.

"Saya sekarang masih di dalam BN. Saya tidak dipecat dari jawatan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan," katanya.

Lajim yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno, berkata beliau terpaksa menjelaskan perkara ini kerana ada kalangan pengerusi-pengerusi JKKK dan pemimpin masyarakat sudah tidak berani berjumpa dengannya atau datang ke rumahnya seperti kebiasaan.

Katanya, mereka tidak seharusnya takut untuk menemuinya kerana beliau masih wakil rakyat mereka dalam BN dan masih menjalankan tanggungjawabnya selaku timbalan menteri.

Menurut Ketua Umno Bahagian Beaufort itu, keadaan tersebut berlaku disebabkan pihak-pihak tertentu menyebarkan fitnah bahawa kononnya beliau akan meninggalkan BN.

"Saya ingin menegaskan di sini bahawa anda tidak harus takut berjumpa dengan saya kerana saya masih menjadi pemimpin di dalam BN dan tidak dipecat dari jawatan timbalan menteri."

"Ini semua hanya fitnah daripada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang ingin melihat kita tidak bersatu," katanya pada majlis penyerahan sumbangan komputer 1Malaysia kawasan Parlimen Beaufort di Dewan Pak Musa, Beaufort di sini.

Lajim sebelum ini diselubungi kontroversi apabila ada khabar-khabar angin mengaitkan beliau dengan sebuah parti pembangkang yang dijenamakan semula, Sabah People Front (SPF) atau Parti Barisan Rakyat Sabah dan dikatakan akan keluar dari BN.

Meskipun spekulasi itu telah digembar-gemburkan di media massa termasuk dalam portal berita dan laman sosial facebook namun pemimpin masyarakat Bisaya yang bergelar Janang Gayuh itu mengambil sikap mendiamkan diri dan enggan mengiya atau menidakkan semua laporan tersebut.

Namun begitu, disebabkan kenyataan dan komen-komen dalam portal berita dan facebook semakin bertambah hangat mendorong beberapa kumpulan penyokong Lajim telah membuat laporan polis sebelum ini.

Dalam ucapannya yang penuh bersemangat pada majlis itu pagi ini, Lajim juga menjelaskan bahawa kelantangannya untuk menyuarakan masalah rakyat tidak harus dilihat sebagai tanda penentangannya kepada kerajaan.

"Saya ingin menyuarakan masalah yang dihadapi rakyat kerana kita telah diberi mandat oleh rakyat dalam pilihan raya. Saya tidak mahu menjadi pemimpin pak turut kerana sejarah telah membuktikan bahawa kerajaan yang lepas telah ditumbangkan oleh rakyat kerana para pemimpinnya tidak berani menyuarakan masalah rakyat sebaliknya mereka menjadi pak turut kepada pemimpin atasan," tegasnya.

Ahad, 26 Februari 2012

PAIRIN DAKWA DR JEFFREY BERHASRAT MENCABARNYA PADA PRU-13

Atas: PAIRIN...Timbalan Ketua Menteri dan Presiden PBS. Bawah: DR JEFFREY...akan cabar abangnya Pairin dalam PRU-13.
 
Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan mengecam adiknya Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang ingin menentangnya bagi kerusi Palimen Keningau pada pilihan raya umum akan datang.

Sambil menyifatkan sikap adiknya itu sebagai tidak menghormati beliau dan tindakan yang hanya mengutamakan kepentingan peribadi, Pairin mendakwa Jeffrey tidak ikhlas dalam perjuangan politik.

"Dia mempunyai hak berada dalam politik dan memperkenalkan apa yang dia percayai namun perjuangannya tidak berlandaskan kepada keikhlasan untuk rakyat," dakwa beliau.

Pairin berkata, pada masa lalu, Jeffrey sudah diberi peluang dilantik menjadi Senator dan timbalan menteri di kabinet Persekutuan tetapi telah bertindak meninggalkan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding menentang Dauk Seri Dr Maximus Ongkili di kawasan Parlimen Kota Marudu.

"Dia tidak mendengar nasihat saya selaku abang dan saya telah berkempen untuk Dr Maximus dan Jeffrey tewas," katanya.

Pairin yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) kesal kerana Jeffrey telah memberitahu para penyokongnya bahawa beliau akan bercuti selama enam bulan untuk memberi peluang kepadanya.

"Ini merupakan satu pembohongan yang direka Jeffrey terhadap abangnya sendiri," kata beliau.

"Penyokong-penyokong Jeffrey juga menabur fitnah melalui laman sosial facebook yang kononnya saya mengatakan bahawa dia (Jeffrey) sudah menjadi mendiang (meninggal dunia). Ini adalah satu fitnah terhadap diri saya," jelas Pairin.

Oleh kerana itu, beliau mengingatkan rakyat supaya berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan kata-kata Jeffrey dan penyokong-penyokongnya kerana mereka akan sanggup bercakap apa sahaja dan menimbulkan isu-isu yang tidak benar.

Presiden PBS itu menambah bahawa Jeffrey memang pandai bercakap seperti juga Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahir mengemukakan hujah-hujah yang mencuit hati tetapi perjuangan mereka sebenarnya semata-mata untuk mahu menjadi Perdana Menteri dan Ketua Menteri.

"Selama kira-kira 30 tahun saya tidak menimbulkan semua ini namun kali ini saya dedahkan supaya rakyat tahu apa sebenarnya perjuangan Jeffrey," tegas Pairin.

Beliau berkata, ketika ini Jeffrey melaung-laungkan Pakatan Borneo yang menggunakan parti STAR sebagai topeng perjuangan.

"Jika berpandukan Perlembagaan STAR, ia tidak boleh menggembangkan sayapnya di Sabah. Ini bermakna parti yang ditubuhkan di Sarawak itu tidak sah dan haram dikembangkan ke Sabah," katanya.

Sabtu, 25 Februari 2012

RCI DIPERHALUSI SEBELUM DIUMUMKAN

Gambar atas: Dompok disambut para pegawai dari agensi di kementeriannya serta pemimpin parti politik selepas turun dari helikopter. Gambar bawah: Presiden Upko itu (empat dari kiri) bercakap dalam satu perjumpaan dengan ahli jawatankuasa Upko Bahagian Beaufort di Kuala Penyu. Turut hadir ialah Timbalan Presiden Upko, Datuk Seri Panglima Wilfred Bumburing (terlindung/sebelah Tan Sri), Setiausaha Agung, Datuk Wilfred Madius Tangau (dua dari kiri). Juga kelihatan dalam gambar ialah Adun Kuala Penyu, John Teo (tiga dari kiri) dan Naib Ketua Bahagian 1 Upko Beaufort, Lokman Sunggim (kiri sekali).

Menteri  Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok berkata, penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menangani masalah pendatang tanpa  izin di Sabah akan diperhalusi sebelum pengumuman rasmi dilakukan.

Katanya, penubuhan RCI pada dasarnya telah pun diluluskan oleh kabinet tetapi ia belum dapat diumumkan secara rasmi kerana terdapat beberapa perkara sedang diteliti dan diperhalusi.

Dompok yang juga Presiden Upko menyatakan demikian dalam perjumpaan dengan ahli jawatankuasa bahagian Upko Beaufort di pejabat parti bahagian itu di pekan Kuala Penyu pada Sabtu lepas.

Menurutnya, cadangan penubuhan RCI telah dibincangkan dalam dua mesyuarat kabinet Persekutuan sebelum ini.

Bagaimanapun, terdapat beberapa perkara yang sedang diperhalusi serta pemilihan anggota panelnya yang sesuai ditentukan kerajaan sebelum pengumuman dapat dilakukan.

“Semua yang Perdana Menteri mahu lihat ialah perkara-perkara itu diperhalusi dan ditangani sebelum RCI diumumkan secara rasmi,” katanya.

Beliau berkata, dakwaan pihak pembangkang berkaitan RCI termasuk yang dilaporkan portal berita sebelum ini adalah tidak betul.

Sebuah portal baru-baru ini melaporkan bahawa pemimpin tertinggi Umno didakwa cuba mempengaruhi Perdana Menteri supaya tidak mengumumkan mengenai RCI.

“Laporan itu adalah tidak berasas sama sekali,” katanya.

Mengenai dengan permohonan mendapatkan subsidi penanaman kelapa sawit oleh pemohon yang menggunakan tanah berstatus LA kepada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dompok menjelaskan, permohonan itu tidak dapat dipertimbangkan disebabkan keputusan kerajaan negeri akibat masalah pertindihan permohonan tanah di Sabah.

Katanya, ia berbeza keadaan di Sarawak kerana kerajaan negeri  tiada halangan mengenainya dan permohonan boleh diluluskan MPOB.

Namun begitu, permohonan daripada pemilik tanah bergeran di Sabah tiada masalah dan boleh diluluskan, kata beliau.

MESTI BIJAK HADAPI ISU DIBANGKITKAN PEMBANGKANG, SARAN LAJIM


Pemimpin parti di peringkat akar umbi mesti bijak menangani setiap isu dibangkitkan pembangkang dengan pendekatan yang lebih politikal bukannya berasaskan kepentingan peribadi, kata Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin (gambar).

Beliau berkata, mereka perlu mempersiapkan diri berhadapan dengan isu semasa terutama parti pembangkang yang cuba memanipulasikan pelbagai isu demi untuk meraih sokongan rakyat menjelang pilihan raya umum ke 13 kali ini.

"Bukan sahaja isu diputarbalitkan oleh mereka (pembangkang) malah pelbagi isu berbentuk fitnah, tomahan turut dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan yang malangnya kita (pemimpin) akar umbi turut mengiyakannya" katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama pemimpin parti di Kampung Klias Baru, Beaufort, kelmarin.

Menurut Lajim yang juga Ketua Umno bahagian Beaufort  ketika dalam situasi berhadapan dengan suasana pilihan raya umum akan dating, rakyat juga sering dimomokkan oleh pelbagai persepsi yang dilakukan oleh individu atau kumpulan tertentu.

Katanya, sesuatu peristiwa yang tidak benar digambarkan seolah-olah benar dengan berbagai alasan dengan harapan rakyat serta masyarakat umum terpengaruh dengan persepsi itu, 

"Ini boleh membawa bencana kepada negara dan rakyat. Ini kerana rakyat boleh termakan dengan persepsi buruk itu yang menyebabkan senario kejadian menjadi sebaliknya. Dan lebih buruk, ada pemimpin tertentu hilang kredibiliti serta pengaruh turut memainkan persepsi ini," katanya.

Lajim yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Bahagian Beaufort, berkata pemimpin seperti itu mungkin cuba mengalih perhatian kepada kelemahan diri sendiri atau pertubuhannya.

“Apa pun tomahan atau persepsi yang dilontarkan jika kita dapat melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat, rakyat tidak akan mudah terpujuk dengan segala tomahan dan fitnah tersebu," katanya.

Beliau menambah perkara penting ialah mewujudkan budaya berkerja berpasukan dalam kepimpinan parti di semua peringkat agar kekuatan parti lebih menyerlah dan menyakinkan semua pihak.

"Sekuat mana pun parti pembangkang, sebanyak mana pun bendera mereka didirikan itu bukanlah menggambarkan kekuatan mereka, yang penting sebagai pemimpin kita cuba melakukan yang terbaik untuk kepentingan rakyat yang menjadi kayu pengukur untuk mereka terus menyokong kita," tegas Lajim.

Jumaat, 17 Februari 2012

AKSI MOHD HIZAZ DALAM KEJOHANAN MSSS ZON LIKAS 15-16 FEB 2012

Hizaz sentiasa menggunakan kebijakan apabila berhadapan pemain lawan.
Tenang walaupun dikepung pemain lawan untuk mencari ruang melakukan hantaran kepada rakan.
Bersama rakan sepasukan SK Likas, Johan Mansor.
Melarikan bola sebelum melakukan hantaran kepada rakan.
Hizaz (jersi no 10) dikerumuni rakan selepas melakukan jaringan gol kemenangan dalam perlawanan akhir dengan SRK St. Agnes sekali gus memastikan SK Likas A berjaya mengekalkan kejuaraan.
Berebut bola dengan pemain lawan dan sebagai pemain kidal, Hizaz sentiasa menggunakan kelebihan kaki kirinya itu.
Mengawal bola dari dirampas pemain lawan.
Sering berhati-hati melakukan hantaran bola kepada rakan.

Khamis, 16 Februari 2012

SK LIKAS A KEKAL KEJUARAAN B-SEPAK MSSS ZON LIKAS

Mohd Hizaz melakukan rembatan yang menghasilkan jaringan tunggal kemenangan SK Likas A, gagal diselamatkan penjaga gawang SRK St. Agnes.
Para pemain SK Likas A (berdiri) dan SRK St. Agnes (mencangkung) bergambar sebelum beraksi di perlawanan akhir.
 
Penyandang juara SK Likas A berjaya mempertahankan kejuaraan dalam Kejohanan Bolasepak Bawah 12 Tahun MSSS Peringkat Zon Likas dengan menewaskan SRK St. Agnes 1-0 pada perlawanan akhir di padang SK Likas di sini pada Khamis.

Kejohanan dua hari itu anjuran SRK Lok Yuk, Likas.

Gol tunggal kemenangan SK Likas A diperoleh melalui penyerangnya Mohd Hizaz Lokman di separuh masa pertama.

Dengan keputusan itu, SRK St. Agnes menduduki naib juara manakala SK Likas B dan SK Mutiara diisytiharkan sebagai pemenang bersama tempat ketiga.

Di peringkat separuh akhir, SK Likas A berjaya menumpaskan SK Likas B 6-0 untuk mara ke final manakala SRK St. Agnes mengalahkan SK Mutiara 1-0 untuk menempah satu lagi tiket ke perlawanan akhir.

Sebanyak 10 pasukan mengambil bahagian dalam kejohanan itu terdiri daripada SK Likas A, SK Mutiara, SK BUkit Padang, SK Luyang dan SRK Lok Yuk disenaraikan dalam Kumpulan A sementara Kumpulan B dianggotai SRS Datuk Simon Fung, SJK St. James, SJK Chung Hwa, SRK St. Agnes dan SK Likas B.

Sementara itu, Kejohanan Bolasepak MSSS Peringkat Daerah Kota Kinabalu akan berlangsung di SK Kepayan pada akhir bulan ini (Februari). Ia dijangka disertai lima zon.



Rabu, 8 Februari 2012

KILANG CURI BEKALAN ELEKTRIK DISERBU

Anggota SESB memotong kabel yang digunakan dalam penyambungan haram elektrik itu sambil diperhatikan Shahidan (kanan sekali).

Sepasukan pegawai Suruhanjaya Tenaga Malaysia (STM) bersama anggota penguatkuasa Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) melakukan serbuan ke atas dua kilang memproses ais di Inanam dekat Kota Kinabalu pada Rabu kerana dipercayai mencuri bekalan elektrik dengan menggunakan peralatan canggih.

Kedua-dua kilang terbabit memproses berjuta-juta ketulan dan blok ais setiap hari dengan menggunakan tenaga elektrik melalui penyambungan secara haram dan sebelum ini sedang dalam pemerhatian pihak berkuasa elektrik di negeri ini.

Serbuan itu diketuai Ketua Penguatkuasa STM dari Putrajaya, Shahidan Baharom bersama Pengurus Besar (Pengagihan) SESB, Ahmad Sazree Abd. Aziz, pegawai-pegawai kanan STM dan anggota polis.

Shahidan berkata, dalam serbuan itu didapati kilang terbabit hanya menggunakan satu perempat dari bekalan tenaga sebenar dan bekalan selebihnya tidak termasuk dalam meter.

Beliau menambah, SESB telah mengalami kerugian akibat pencurian bekalan elektrik sejak beberapa tahun lepas.

Menurutnya, STM memandang serius kegiatan mencuri bekalan elektrik kerana ia boleh mengundang bahaya kepada pekerja dan orang awam.

Beliau berkata, SESB diberi kuasa untuk tidak membekalkan elektrik ke mana-mana bangunan untuk tempoh tiga bulan di bawah Seksyen 38 Akta Bekalan Elektrik 1990.

Selain itu, katanya, SESB juga boleh menuntut ganti rugi bekalan elektrik yang digunakan melalui penyambungan haram dari pemilik bangunan itu.

SK LIKAS TERUS KONSISTEN

Laporan akhbar mengenai SK Likas.
Barisan pemain SK Likas bersama jurulatih mereka.

SK Likas terus menjadi pasukan bawah 12 tahun yang disegani di Pantai Barat selepas pasukan sekolah itu mencatat kemenangan besar dalam dua perlawanan persahabatan dengan membelasah pasukan Tuaran FDP 8-0 di padang pekan Telipok selain sehari sebelum itu menumpaskan Tunas Asas Bolasepak (TABS) Safa Bandaraya 5-2 di padang B Kompleks Sukan Likas.

Kedua-dua perlawanan itu diadakan pada awal Februari lepas.

Ketika menentang Tuaran FDP, selaku pasukan pelawat, SK Likas cuba membuktikan keupayaan mereka untuk mendahului lawan 4-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan penyerang Mohd Hizaz Lokman (dua gol) dan dua gol masing-masing dijaringkan Taufik Abdullah dan Johan Mansur.

Pada saingan separuh masa kedua, Mohd Hizaz berjaya melengkapkan hattrick dengan menghasilkan satu gol menerusi percubaan di luar kawasan kotak penalty. Tiga gol lagi diperoleh menerusi Afiq Aiman, Datu Abdul Nahgib manakala satu gol bonus akibat kesilapan pemain pertahanan Tuaran FDP yang tertolak masuk gol ke gawang sendiri.

Walaupun SK Likas menurunkan ramai pemain gantian selepas itu namun pasukan tuan rumah masih gagal untuk menghasilkan sebarang jaringan.

Dalam perlawanan persahabatan sebelum itu pada Sabtu, SK Likas menumpaskan pasukan Tunas Asas Bolasepak (TABS) Safa Bandaraya 5-2 di padang B Kompleks Sukan Likas.

SK Likas mendahului lawan 1-0 pada babak separuh masa pertama.

Pasukan sekolah itu menambah empat lagi jaringan pada separuh masa kedua manakala TABS akhirnya berjaya memecah kebuntuhan dengan menghasilkan dua gol.

Jurulatih SK Likas, Norsi Haji Sabtari, berkata perlawanan tersebut diadakan sebagai persiapan pasukan sekolah berkenaan menghadapi Kejohanan Bolasepak Bawah 12 MSS Peringkat Zon Likas di SRK Lok Yuk, Likas pada 13-14 Februari dan Liga Boasepak Junior Kota Kinabalu Bawah 13 Tahun di padang Kompleks Sukan Likas pada akhir bulan ini.

Menurut beliau, selepas ini, pasukannya dijangka akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan sekolah menengah membabitkan pelajar-pelajar tingkatan satu di Kota Kinabalu.

Katanya, ini bagi memberi pendedahan kepada pemain-pemainnya dengan  menentang pasukan yang lebih kuat.

SK Likas merupakan pusat program My Kid Soccer Sabah, satu program pembangunan bolasepak negara yang dikendalikan Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kementerian Belia dan Sukan.

Seramai 10 pemain tahun enam sekolah ini sendiri dipilih menganggotai 20 pemain yang disenaraikan untuk mengikuti program tersebut.

Pemain terbabit juga akan mewakili Sabah dalam Kejohanan Bolasepak My Kids Soccer peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada akhir tahun ini.

Selasa, 7 Februari 2012

GUNA TROLI HANTAR ANAK SAKIT KE HOSPITAL

Andreas menggunakan troli buatan sendiri di landasan keretapi untuk menghantar anak yang sakit ke hospital.

Seorang penduduk di Kampung Pangi, Tenom terpaksa menghantar anaknya yang sakit ke hospital menggunakan sebuah troli buatan sendiri di landasan keretapi berikutan perkhidmatan keretapi yang menjadi satu-satunya pengangkutan mereka tergendala perkhidmatan buat sementara waktu.

Andreas Pikan terpaksa menggunakan troli itu secara haram di landasan keretapi bagi menghantar anaknya yang menghidap sakit asma ke hospital di pekan Tenom, gara-gara tidak ada kaedah pengangkutan lain sebagai alternatif.

"Saya terpaksa menggunakan troli walaupun ia diharamkan," katanya yang bersyukur kerana anaknya yang berusia tiga tahun akhirnya dapat dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Menurut beliau, dia pada mulanya begitu resah dan bimbang dengan keadaan anaknya itu kerana mengalami masalah untuk bernafas, tambahan pula di Kampung Pangi tiada kemudahan klinik selain tiada kemudahan telefon untuk berkomunikasi.

Laporan sebuah akhbar tempatan, Daily Express menyebut bahawa keluarga itu bertolak dari kampung mereka jam 5 pagi dan sampai ke hospital jam 9 pagi.

Andreas berkata, sekiranya perkhidmatan keretapi tidak menghadapi masalah, mereka pastinya sampai lebih awal daripada masa tersebut.

Katanya, penduduk kampung berkenaan dan sekitarnya pada masa ini menghadapi kesulitan disebabkan kampung itu masih menghadapi kekurangan kemudahan asas seperti klinik kerajaan dan sistem telekomunikasi.