Khamis, 9 Februari 2012

SK LIKAS TERUS KONSISTEN

Laporan akhbar mengenai SK Likas.
Barisan pemain SK Likas bersama jurulatih mereka.

SK Likas terus menjadi pasukan bawah 12 tahun yang disegani di Pantai Barat selepas pasukan sekolah itu mencatat kemenangan besar dalam dua perlawanan persahabatan dengan membelasah pasukan Tuaran FDP 8-0 di padang pekan Telipok selain sehari sebelum itu menumpaskan Tunas Asas Bolasepak (TABS) Safa Bandaraya 5-2 di padang B Kompleks Sukan Likas.

Kedua-dua perlawanan itu diadakan pada awal Februari lepas.

Ketika menentang Tuaran FDP, selaku pasukan pelawat, SK Likas cuba membuktikan keupayaan mereka untuk mendahului lawan 4-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan penyerang Mohd Hizaz Lokman (dua gol) dan dua gol masing-masing dijaringkan Taufik Abdullah dan Johan Mansur.

Pada saingan separuh masa kedua, Mohd Hizaz berjaya melengkapkan hattrick dengan menghasilkan satu gol menerusi percubaan di luar kawasan kotak penalty. Tiga gol lagi diperoleh menerusi Afiq Aiman, Datu Abdul Nahgib manakala satu gol bonus akibat kesilapan pemain pertahanan Tuaran FDP yang tertolak masuk gol ke gawang sendiri.

Walaupun SK Likas menurunkan ramai pemain gantian selepas itu namun pasukan tuan rumah masih gagal untuk menghasilkan sebarang jaringan.

Dalam perlawanan persahabatan sebelum itu pada Sabtu, SK Likas menumpaskan pasukan Tunas Asas Bolasepak (TABS) Safa Bandaraya 5-2 di padang B Kompleks Sukan Likas.

SK Likas mendahului lawan 1-0 pada babak separuh masa pertama.

Pasukan sekolah itu menambah empat lagi jaringan pada separuh masa kedua manakala TABS akhirnya berjaya memecah kebuntuhan dengan menghasilkan dua gol.

Jurulatih SK Likas, Norsi Haji Sabtari, berkata perlawanan tersebut diadakan sebagai persiapan pasukan sekolah berkenaan menghadapi Kejohanan Bolasepak Bawah 12 MSS Peringkat Zon Likas di SRK Lok Yuk, Likas pada 13-14 Februari dan Liga Boasepak Junior Kota Kinabalu Bawah 13 Tahun di padang Kompleks Sukan Likas pada akhir bulan ini.

Menurut beliau, selepas ini, pasukannya dijangka akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan sekolah menengah membabitkan pelajar-pelajar tingkatan satu di Kota Kinabalu.

Katanya, ini bagi memberi pendedahan kepada pemain-pemainnya dengan  menentang pasukan yang lebih kuat.

SK Likas merupakan pusat program My Kid Soccer Sabah, satu program pembangunan bolasepak negara yang dikendalikan Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kementerian Belia dan Sukan.

Seramai 10 pemain tahun enam sekolah ini sendiri dipilih menganggotai 20 pemain yang disenaraikan untuk mengikuti program tersebut.

Pemain terbabit juga akan mewakili Sabah dalam Kejohanan Bolasepak My Kids Soccer peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada akhir tahun ini.