Jumaat, 2 Mac 2012

CADANGAN JADIKAN KUALA PENYU DAERAH BEBAS CUKAI

Lajim (duduk lima dari kiri) bergambar dengan anggota-anggota Majlis Daerah Kuala Penyu sesi 2012.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Panglima Lajim Haji Ukin berkata, usaha sedang dilakukan untuk menjadikan Kuala Penyu sebagai daerah bebas cukai.

Menurutnya, cadangan itu jika menjadi kenyataan membolehkan daerah Kuala Penyu dapat bergerak maju kerana pelabur sudah tentu akan tertarik untuk meneroka peluang-peluang perniagaan seperti mewujudkan pasaraya dan premis makanan segera seperti Kentucky Fried Chicken di daerah ini.

"Saya bersama jawatankuasa pemikir sudah pun mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kastam dan Eksais dan kerajaan supaya cadangan ini dapat dilaksanakan bagi daerah Kuala Penyu," katanya ketika ditemuramah pemberita RTM selepas Majlis Angkat Sumpah Anggota Majlis Daerah Kuala Penyu (MDKP) di bilik persidangan MDKP di sini pada Khamis.

Lajim yang juga Anggota Parlimen kawasan Beaufort, berkata cadangan menjadikan Kuala Penyu sebagai daerah bebas cukai akan membantu daerah ini menggerakkan aktiviti ekonomi sekali gus mewujudkan peluang-peluang yang boleh memberi manfaat kepada penduduknya.

"Kegiatan ekonomi dan perniagaan di daerah ini masih kurang selain hasil pendapatan pihak majlis daerah juga masih rendah maka usaha-usaha perlu dilakukan dan salah satu daripada pendekatan itu ialah menjadikan daerah ini bebas cukai," tegas beliau.

Beliau menambah bahawa Kuala Penyu juga mempunyai potensi dalam sektor pelancongan dan ini sedikit-sebanyak membantu menjana ekonomi di daerah ini.

Sementara itu, dua anggota Majlis Daerah Kuala Penyu, Lokman Sunggim dan Haji Samin Ongki mengalu-alukan cadangan bagi menjadikan Kuala Penyu daerah bebas cukai.

Lokman berkata, cadangan itu sangat baik dan percaya ia mampu membantu merangsang aktiviti ekonomi di daerah Kuala Penyu kerana ia boleh mendorong lebih ramai pelabur untuk mencari peluang-peluang baru yang boleh diwujudkan di daerah ini.

"Dengan suasana baru itu, ia juga mampu menarik minat institusi kewangan dan sistem perbankan untuk membuka cawangan bank misalnya memandangkan ketiadaan bank di Kuala Penyu menyukarkan penduduknya berurusan dengan pihak bank," katanya.

Tambahan lagi, kata beliau, dengan siapnya Jambatan Sitompok yang akan dapat dimanfaatkan dalam masa terdekat turut meningkatkan lagi sistem perhubungan ke pekan ini dan ia sudah tentu akan merancakkan lagi aktiviti dalam sektor perniagaan, pelancongan serta berupaya menjana ekonomi penduduk setempat.

Haji Samin berkata, sebagai anggota majlis, pihaknya sangat mengalu-alukan cadangan tersebut serta menyifatkannya sebagai langkah yang akan memberi banyak manfaat kepada warga Kuala Penyu.

"Kita berharap usaha ini dapat dilaksanakan kerana ia membantu daerah ini terus maju dan mewujudkan peluang-peluang baru kepada penduduk," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan