Sabtu, 3 Mac 2012

PERMULAAN CEMERLANG SK LIKAS DALAM LIGA JUNIOR KK

Gambar atas: Pemain-pemain SK Likas mendengar kata-kata perangsang daripada jurulatih mereka, cikgu Norsi Hj. Sabtari (bertopi) dan gambar bawah; barisan pemain SK Likas (mencangkung) bergambar kenangan dengan pemain-pemain TABS Bandaraya B (berdiri) sebelum perlawanan.
 
SK Likas memulakan cabaran awal dalam kategori bawah 13 tahun Liga Bolasepak Junior Kota Kinabalu 2012 dengan membelasah TABS Bandaraya B 7-0 dalam perlawanan liga itu di padang Sukma, Likas, Kota Kinabalu di sini pada Sabtu.

Bermain dengan kombinasi yang baik, SK Likas mendahului lawan 4-0 di separuh masa pertama dengan Ramli Jamrih menjaringkan dua gol manakala dua gol lagi masing-masing dijaringkan Johan Mansor dan Anel Danny.

TABS Bandaraya B cuba mengimbangi rentak permainan namun mereka tidak berupaya mengekang pemain-pemain lawan daripada terus melakukan asakan.

Akibatnya, SK Likas yang sentiasa dahagakan gol memanfaatkan setiap peluang dan ini membolehkan mereka menambah tiga gol lagi dalam saingan di babak kedua.

Penyerang SK Likas, Mohd Hizaz Lokman berjaya menjaringkan dua gol sementara satu gol lagi diperoleh menerusi pemain gantian Wan Anas.

Kategori bawah 13 tahun membabitkan lapan pasukan terdiri daripada SK Likas, TABS Bandaraya A, Kid Ball, TABS Tuaran, SRK St. Agnes, SMK Likas, Sabah College Rhino FC dan TABS Bandaraya B.

Sementara itu dalam perlawanan lain, TABS Bandaraya A menumpaskan Sabah College Rhino FC 4-0.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan