Selasa, 20 Mac 2012

UPKO KURANG SENANG PERKEMBANGAN RCI

Upko melahirkan rasa kurang senang dengan perkembangan yang perlahan berhubung penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) mengenai pendatang tanpa izin di Sabah.


Presiden Upko, Tan Sri Bernard Dompok (gambar), berkata partinya agak kecewa kerana perkara itu tidak dilakukan sebagaimana usaha mempercepatkan pembentukannya yang diharap-harapkan.


Dompok ditanya mengenai perkembangan cadangan bagi penubuhan RCI sebagai usaha mencari penyelesaian terhadap masalah PTI yang menjadi isu utama di negeri ini.


"Saya berharap segala-galanya dilakukan bagi mempercepatkan kelulusan terma-terma rujukan dan pelantikan keanggotaan dalam RCI bagi membolehkan mereka dapat memulakan tugasan mereka," katanya pada program Hello Komoditi di Putatan, di sini.


Beliau yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi menjelaskan sebenarnya RCI telah pun diluluskan Kabinet pada 8 Februari dan disahkan semula seminggu kemudian.


Katanya, mesyuarat antara ketua-ketua parti komponen Barisan Nasional (BN) juga telah diadakan selepas itu dengan masing-masing telah memberi pandangan mereka mengenai terma-terma yang sepatutnya.


Anggota Parlimen Penampang itu turut menyatakan bahawa Upko sendiri telah mengemukakan syor berhubung terma-terma rujukan kepada menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz pada 15 Februari lepas.


Ditanya mengenai mengapa Perdana Menteri belum membuat sebarang pengumuman mengenai perkara itu, beliau berkata, soalan itu patut diajukan terus kepada Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri.


"Apabila beliau datang ke Sabah, tiada siapa yang bertanyakan kepada beliau. Jadi saya harap anda akan tanya apabila beliau datang lagi ke Sabah," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan