Ahad, 22 April 2012

DATUK AZIZAH TERBABIT NAHAS JALAN RAYA


Kenderaan jenis Toyota Prado yang dinaiki Datuk Azizah terbabit dalam kemalangan itu.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Azizah Mohd Dun terbabit dalam nahas jalan raya  apabila kenderaan yang dinaikinya melanggar pagar besi sebelum terbabas ke dalam longkang di Jalan Kepayan dekat Kota Kinabalu di sini pada awal pagi Ahad.
Beliau bagaimanapun dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan dalam kejadian kira-kira 7.45 pagi itu.
Azizah dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth dan doktor dilaporkan memberi rawatan pesakit luar dan kecederaan itu dijelaskan sebagai ringan.
Pengawal peribadi menteri itu, Sairul Hamid, 51, bagaimanapun dilaporkan tidak sedarkan diri dan mengalami kecederaan kaki yang serius dan mungkin memaksa doktor memotongnya.
Pemandu, Yousrie Syah, 33, dilaporkan turut mengalami kecederaan dan berada di bawah pemerhatian hospital.
Kemalangan itu berlaku ketika Azizah yang juga Adun kawasan Klias dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke kawasannya di Beaufort untuk menghadiri majlis rasmi.
Difahamkan kenderaan Toyota Prado yang dinaikinya hilang kawalan di KM 6 Jalan Kepayan-Lok Kawi sebelum melanggar pagar sebelum terbabas ke dalam sebuah longkang.
Azizah dan pemandu telah dibawa ke hospital oleh polis manakala ambulans membawa pengawal peribadi.
Seorang pembantu Azizah berkata menteri itu dalam keadaan baik walaupun terkejut dengan kejadian tersebut.


LAJIM KESAL PERUNTUKAN KAWASAN PARLIMENNYA DISEKAT


RASMI...Lajim memotong riben ketika merasmikan program itu.

Anggota Parlimen kawasan Beaufort, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin melahirkan rasa kesal dan kecewanya atas tindakan beberapa pihak yang menyekat peruntukan Parlimen  di kawasannya yang sehingga kini gagal disalurkan.

Katanya, peruntukan yang disediakan kerajaan itu kepada setiap kawasan Parlimen di negeri ini sepatutnya sudah pun dikeluarkan bagi membolehkan permohonan projek-projek pembangunan daripada rakyat dapat dilaksanakan secepat mungkin.

"Sehingga sekarang (bulan April), kita belum menerima sebarang peruntukan tersebut  sedangkan kita maklum ia telahpun disediakan oleh kerajaan untuk diagih-agihkan bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan untuk faedah rakyat sebagaimana senarai permohonan projek pembangunan yang perlu diberikan keutamaan untuk dilaksanakan di setiap kawasan Parlimen," katanya.

Beliau menyatakan perkara itu ketika ditemui selepas merasmikan program Juara Rakyat dan Hari Keluarga PIBG Gerakan Daya Wawasan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) KampungTempurung di Kuala Penyu, kelmarin.

Difahamkan setiap kawasan Parlimen menerima lebih  RM1 juta setiap tahun khusus untuk membiayai perlaksanaan projek pembangunan di kawasan yang mereka wakili dan peruntukan tersebut disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Sabah untuk diagih-agihan mengikut kawasan Parlimen di negeri ini.

Lajim yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berkata kelewatan menyalurkan peruntukan tersebut  mengikut  jadual yang ditetapkan menyebabkan pelbagai projek pembangunan untuk kemudahan rakyat tidak dapat dilaksanakan dengan segera.

Katanya, ini menyebabkan rakyat  tertunggu-tunggu, terkilan dan melahirkan rasa marah mereka kepada pemimpin.

"Peruntukan tersebut bukan untuk kegunaan peribadi pemimpin sebaliknya  ia peruntukan yang disediakan oleh kerajaan BN untuk kepentingan rakyat," katanya.

Beliau tidak faham kenapa  situasi seperti  itu berlaku di kawasan yang diwakilinya  sedangkan di kawasan Parlime lain peruntukan yang serupa telah pun disalurkan.

Berharap pihak yang berkenaan bersikap profesional dan proaktif menangani kelewatan tersebut.

Ditanya mengenai spekulasi yang mengaitkan diri beliau dengan sebuah parti pembangkang dan akhir-akhir ini sering bersuara seolah-olah mengkritik kerajaan, Lajim yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, beliau adalah wakil rakyat BN yang mewakili rakyat  untuk menyampaikan masalah rakyat .

"Saya bukan wakil rakyat dari parti pembangkang kenapa perlu ada sekatan terhadap peruntukan di kawasan Parlimen saya, perlu saya tegaskan kita akan menghadapi pilihan raya umum ke-13, kelewatan kita mengatasi masalah terutama dalam memenuhi keperluan rakyat akan turut menjejaskan reputasi BN," tegas Lajim

Beliau menambah slogan " Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan" perlu dihayati bukan sahaja oleh pemimpin namun jabatan serta pegawai kerajaan sebagai pelaksana di peringkat bawahan.

"Jangan sampai rakyat melahirkan protes mereka terhadap tuntutan keperluan pembangunan yang mereka harapkan dari kerajaan selama ini mengakibatkan mereka beralih arah dalam pilihan raya umum akan datang yang boleh menjejaskan kredibiliti pemimpin dan kerajaan," katanya. (Oleh JAAFAR ABD. WAHID).

Sabtu, 21 April 2012

ALLAHYARHAM KAMARUDDIN, SAHABAT DAN WARTAWAN YANG BERDEDIKASI


Menyirami pusara allahyarham yang disemadikan di tanah perkuburan orang Islam Kg. Lawa, Gadong di Beaufort.

Pemergian wartawan kanan New Sabah Times, allahyarham Kamaruddin Liusin yang meninggal dunia kelmarin (Jumaat) kira-kira jam 10.50 malam merupakan satu kehilangan besar terhadap bidang kewartawanan dan persuratkhabaran di Sabah.

Sebagai bekas editor di akhbar tempatan sebelum ini, saya amat mengenali allahyarham malah boleh saya anggap kami sangat rapat baik ketika sama-sama di pejabat mahu pun di luar pejabat.

Pada saya, allahyarham Kamaruddin adalah seorang wartawan yang berdedikasi dan komited terhadap tugas, berdikari serta mempunyai kesungguhan dalam menulis artikel selain sentiasa berusaha mendapatkan bahan-bahan yang mempunyai “nilai berita”.

Inilah sebahagian pengalaman yang saya lalui ketika pernah bertugas bersama allahyarham di dua surat khabar tempatan iaitu Sabah Times pada awal 1990-an dan Harian Mercu pada lewat 1990-an.

Allahyarham Kamaruddin memang sangat meminati bidang kewartawan dan sebab itu beliau sentiasa memberi tumpuan terhadap apa sahaja tugasan yang diberikan kepada beliau.

Ketika bertugas di bawah saya baik di Sabah Times mahu pun di Harian Mercu suatu ketika dulu, allahyarham banyak membantu memudahkan kami mendapatkan berita yang bagus.

Sebagai seorang yang sudah berpengalaman, saya sentiasa menaruh kepercayaan terhadap allahyarham apabila menugaskannya di mana sahaja bagi membuat liputan berita.

Allahyarham Kamaruddin.

Sepanjang yang saya ingat, allahyarham Kamaruddin diterima menjadi pemberita di Sabah Times ketika saya secara kebetulan menjadi editor bahagian Bahasa Melayu akhbar tersebut pada awal 1990-an.

Pada ketika itu allahyarham hanya merupakan pemberita sambilan tetapi apabila terdapat kekosongan jawatan pemberita sepenuh masa di Sabah Times ketika itu, saya telah mengajak beliau memohon jawatan itu dan telah diterima.

Sejak itu bermulalah kerjaya beliau sebagai seorang pemberita sepenuh masa namun akibat masalah yang dihadapi akhbar berkenaan pada masa itu menyebabkan beliau berpindah ke akhbar lain, kalau tak silap saya ke Borneo Mail kemudian menyertai akhbar Utusan Borneo. Saya pula menganggur beberapa ketika sebelum menyertai akhbar Daily Express.

Kemunculan akhbar Harian Mercu, sebuah akhbar berbahasa Melayu penuh pada 1996 telah menarik minat allahyarham untuk menyertai akhbar tersebut yang berpejabat di Likas.

Saya kemudian mengambil keputusan menamatkan perkhidmatan di Daily Express selepas mendapat tawaran bertugas di Harian Mercu. Ini membolehkan saya dapat bertugas bersama sekali lagi dengan allahyarham.

Sebagai sebuah akhbar harian berbahasa Melayu yang baru ternyata banyak cabaran yang kami tempuhi bersama dan ia sudah tentulah banyak membantu mematangkan seluruh kakitangannya.

Situasi yang tidak dapat dielakkan apabila akhbar harian itu telah diminta oleh pihak pengurusan supaya menukarkan terbitannya daripada harian kepada mingguan. Rupanya itu menjadi petanda yang tidak baik di mana tidak lama kemudian akhbar itu telah memutuskan untuk menghentikan penerbitannya menyebabkan beberapa kakitangan terpaksa diserapkan ke syarikat lain manakala yang lain mengundurkan diri secara sukarela.

Allahyarham Kamaruddin jika tidak silap saya, telah mendapat tawaran untuk bertugas dengan akhbar New Sabah Times (sebelumnya dikenali Sabah Times) sehinggalah pada hari beliau mengalami serangan strok pada Rabu lepas dan menghembuskan nafas terakhir pada Jumaat ketika usia 47 tahun.

Saya sempat menziarahinya pada hari pertama beliau dimasukkan ke wad kecemasan Queen Elizabeth Hospital (QEH) dan pada hari ketiga sebelum saya menerima makluman mengenai pemergian selama-lama arwah oleh editor Bahasa Melayu New Sabah Times,  sdra Amin Muin pada tengah malam Jumaat.

Pemergian mengejut allahyarham sangat dirasai oleh semua rakan pengamal media yang mengenali beliau.

Allahyarham memang mempunyai ramai rakan wartawan baik yang berkhidmat dengan media tempatan mahu pun media nasional selain kalangan pemimpin politik yang saya percaya turut merasai kehilangan beliau.

Jenazah allahyarham disemadikan di tanah perkuburan orang Islam Kampung Lawa, Gadong di Beaufort pada hari ini (Sabtu) selepas waktu zohor.

Upacara pengkebumian itu turut dihadiri Anggota Parlimen Sipitang yang juga Ketua Penerangan Umno Negeri, Datuk Sapawi Ahmad selain rakan-rakan wartawan dari media tempatan, Bernama dan RTM.

Kita telah kehilangan seorang sahabat yang baik dan kita hanya mampu mendoakan semoga roh beliau dicucuri rahmat.

Takziah kepada keluarga allahyarham dan berharap mereka bersabar atas pemergiannya.

Isnin, 16 April 2012

SERAH PUCUK PIMPINAN TENTUKAN CALON DUN KUALA PENYU, KATA WENCES


Wences ketika mempengerusikan mesyuarat khas itu. Turut kelihatan Adun Kuala Penyu, John Teo Mau Sing.

Naib Presiden Upko, Datuk Seri Panglima Wences Angang berkata, siapa sahaja calon yang diputuskan pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding bagi kerusi DUN Kuala Penyu pada pilihan raya umum nanti perlu diberi sokongan bagi memastikan kemenangan BN.


Katanya, soal siapa yang dipilih menjadi calon BN di kawasan ini akan ditentukan oleh pucuk pimpinan.


"Kita perlu memberi sokongan kepada calon berkenaan tidak kira siapa individu itu bagi memastikan kemenangan BN," katanya.


Wences yang juga Ketua Upko Bahagian Beaufort berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat khas bahagian serta tiga sayap parti bahagian itu, Pergerakan Pemuda, Wanita dan Komulakan di pejabat parti di pekan Kuala Penyu, di sini.


Beliau berkata, semua anggota parti hendaklah terus bekerjasama dan sentiasa bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum yang bakal diadakan bila-bila masa dari sekarang.


"Pilihan raya mungkin boleh diadakan pada Jun atau bila-bila masa sebelum April tahun depan. Masa semakin singkat," ujarnya.


Katanya, pemimpin bahagian dan sayap parti perlu membuat perancangan rapi dan mengatur strategi bagi memastikan calon BN memenangi kerusi DUN kawasan ini.


Menurut beliau, terdapat lebih 13,000 pemilih berdaftar di kawasan ini pada masa ini iaitu meningkat lebih 1,000 pengundi berbanding pengundi pada pilihan raya umum yang lepas iaitu lebih 12,000 orang.


Spekulasi mengenai pilihan raya umum ke-13 dijangka diadakan pada Jun semakin hangat dengan pelbagai petanda akhir-akhir ini.


Kelmarin, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, keadaan politik semasa menunjukkan sokongan rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mewajarkan pilihan raya umum ke-13 diadakan bila-bila masa dari sekarang.


Setiausaha Agung BN, Tengku Adnan Tengku Mansor pula sudah menghantar surat kepada parti-parti komponen meminta supaya mereka mengemukakan senarai nama calon untuk bertanding dalam pilihan raya umum dalam masa dua minggu.

Sabtu, 14 April 2012

SK LIKAS KONGSI MATA DENGAN SMK LIKAS



Pasukan SK Likas (jersi kuning) berkongsi mata dengan SMK Likas selepas mencatat keputusan seri 1-1 dalam perlawanan Liga Bolasepak Remaja Kota Kinabalu Bawah 13 Tahun di padang Sukma, Kota Kinabalu pada Sabtu.

Walaupun ibarat pasukan adik beradik, SK Likas sentiasa memberi saingan kuat sepanjang permainan manakala SMK Likas pula tidak memandang rendah cabaran yang diberikan pasukan lawan.

SMK Likas bagaimanapun berjaya mendahului SK Likas pada separuh masa pertama sebaik sahaja pasukan itu dihadiahkan sepakan percuma di luar kawasan kotak penalti. Sepakan itu disempurnakan oleh Mohd Safwan Ismail menewaskan penjaga gawang lawan yang tidak mampu menjangkau bola tersebut yang terlalu tinggi baginya.

Namun begitu SK Likas bukan mudah untuk mengaku kalah dengan pasukan SMK Likas yang dianggap abang itu dan hasil kesungguhan dan semangat melawan yang padu membolehkan mereka dapat menyamakan kedudukan di separuh masa kedua.

Gol itu diperoleh hasil rembatan Wan Anas dan ia sekali gus memastikan rekod tanpa kalah tidak mampu dirobek oleh pasukan yang lebih senior daripada mereka.

Malah pasukan sekolah rendah itu hampir-hampir mengecewakan SMK Likas hasil beberapa serangan balas selepas itu namun  tidak dapat disudahi dengan berkesan.

Rabu, 4 April 2012

KK PERTAHAN KEJUARAAN B-SEPAK MSSS BAWAH 12 BAHAGIAN BARAT



KEKAL JUARA...para pemain pasukan Kota Kinabalu bersama jurulatih dan guru-guru pengiring mereka.

Penyandang juara, pasukan Kota Kinabalu mempertahankan kejuaraan dalam Kejohanan Bolasepak MSSS Bawah 12 Tahun Bahagian Barat setelah memenangi kesemua tiga perlawanan untuk mengutip sembilan mata yang berlangsung di padang Kg. Selupuh dekat sini. 

Kota Kinabalu menjadi pasukan favourite sepanjang kejohanan dua hari itu dengan menyaksikan pasukan itu berjaya menghasilkan sebanyak 23 jaringan tanpa bolos.

Dalam perlawanan pertama, Kota Kinabalu membelasah pasukan naib juara tahun lepas, Ranau dengan jaringan 8-0 dan kemudian berpesta gol dalam pertemuan dengan Penampang dengan jaringan 10-0.

Dalam perlawanan terakhir pagi ini, pasukan itu menumpaskan tuan rumah, Tuaran 5-0 sekali gus membolehkan mereka menjulang kejuaraan kejohanan itu sekali lagi tahun ini.

Ranau menduduki naib juara setelah mengutip enam mata hasil kejayaan menewaskan  tuan rumah, Tuaran 2-1 dan menumpaskan Penampang 5-0 dalam perlawanan terakhir mereka. Tempat ketiga dimenangi Tuaran yang hanya mengutip tiga mata.

Sebanyak empat pasukan mengambil bahagian dalam kejohanan secara liga itu terdiri dari Tuaran, Kota Kinabalu, Ranau dan Penampang.

Jurucakap penganjur kejohanan itu, Meteleh Ekeh, berkata kejohanan dua hari itu akan memilih pemain bagi mewakili pasukan bahagian Barat untuk bertanding dalam Kejohanan Bolasepak MSSS Bawah 12 Tahun Peringkat Negeri yang akan berlangsung di Sandakan hujung bulan ini.

Katanya, pihaknya berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan pasukan-pasukan yang mengambil bahagian sepanjang kejohanan itu.