Khamis, 31 Mei 2012

KOLEJ KDM BUKTI BUMIPUTERA SABAH DIHARGAI


Pairin (kiri) melakukan gusti lengan dengan Ketua Menteri, Datuk Musa Aman, salah satu acara sukan tradisi sempena Pesta Kaamatan.

Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata kerajaan pusat sudah memberi persetujuan untuk membina Kolej Kadazandusun dan Murut (KDM) di Kaingaran, Tambunan.

Katanya, ini membuktikan bahawa kepentingan masyarakat Bumiputera di Sabah tidak dipinggirkan daripada arus pembangunan.

Pairin yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata majlis pelancaran pecah tanah bagi kolej akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada awal Jun ini.

“Pelaksanaan projek ini membuktikan kerajaan persekutuan dan negeri sentiasa memberi sokongan untuk memajukan kaum Kadazandusun dalam agenda pembangunan negara selain penganjuran Pesta Kaamatan,” katanya.

Berucap pada majlis pelancaran sukan tradisi sempena Pesta Kaamatan Peringkat Negeri 2012 yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman di perkarangan Hongkod Koisaan di sini, Pairin berkata, cadangan penubuhan kolej itu dibuat oleh Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Kadazandusun dan Murut Sabah (Pekadin).

Beliau juga berkata, kerajaan pusat mengagihkan peruntukan yang besar bagi mempercepatkan proses pembangunan agar Sabah terus maju seiring dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.

Katanya, usaha itu termasuk membina dan menaiktaraf jalan kampung melalui program Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang membabitkan kos RM2.3 bilion.

Isnin, 21 Mei 2012

DOMPOK YAKIN PM AKAN UMUM RCI

Dompok (tengah) bersama Bumburing (kanan) ketika menikmati jamuan di Gerai Upko Bahagian Beaufort sempena sambutan Pesta Kaamatan Upko Nasional di Tanjung Aru.

Presiden Upko, Tan Sri Bernard Dompok yakin bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan membuat pengumuman mengenai Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menangani masalah pendatang tanpa izin di Sabah ketika kunjungan beliau yang dijadualkan bulan depan.

"Tiada lagi sebarang kekeliruan dan kebimbangan mengenai perkara ini. Perdana Menteri akan datang ke sini tidak lama lagi dan saya percaya beliau akan membuat pengumuman mengenainya,"kata beliau.

Dompok yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi mengulas rancangan Parti Keadilan  Rakyat (PKR) Sabah untuk mengadakan perhimpunan duduk bantah di Penampang pada 2 Jun ini bagi mendesak kerajaan menyegerakan penubuhan RCI.

Katanya, adalah menjadi kebiasaan bagi parti pembangkang untuk menyuarakan pandangan mereka.

"Mereka adalah pembangkang dan mereka perlu menyuarakan sesuatu,"katanya ketika ditemui pada sambutan Pesta Kaamatan Upko Nasional di Tanjung Aru, di sini.

Perdana Menteri dijadual akan melawat Keningau awal bulan depan.

Berikutan ketiadaan pengumuman mengenai RCI sebagaimana yang diharapkan rakyat Sabah mencetuskan pelbagai spekulasi termasuk ada khabar angin menyebut bahawa Timbalan Presiden Upko, Datuk Wilfred Bumburing besar kemungkinan akan meninggalkan Barisan Nasional untuk menyertai parti pembangkang.

Ini kerana pemimpin nombor dua Upko itu adalah antara pemimpin yang lantang menyuarakan perlunya disegerakan penubuhan RCI kerana kebimbangan rakyat terhadap masalah PTI yang berlarutan.

Selasa, 15 Mei 2012

BN SABAH SEDIA HADAPI PRU-13

Barisan Nasional (BN) Sabah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum pada bila-bila masa diadakan, kata Pengerusinya, Datuk Seri Musa Aman (gambar).


Beliau berkata, BN sedang bekerja dan sentiasa melakukan persiapan setiap masa  sebagai persediaan bagi menghadapi pilihan raya sama ada ia diadakan esok atau bila-bila sahaja.


"Senarai calon kita juga telah tersedia dan tidak ada masalah bagi BN jika pilihan raya diadakan sekarang," katanya di Wisma Innoprise di sini.


Ditanya sama ada BN sudah menunaikan semua janji kepada rakyat pada pilihan raya lalu, Musa yang juga Ketua Menteri, berkata BN sentiasa berorientasikan tindakan dan sebahagian besar janji sudah pun dilaksanakan.


"Kita telah bekerja dan akan terus bekerja untuk rakyat bagi memenuhi janji," katanya.


Sebagi contoh, kata beliau, kerajaan BN telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menangani masalah kemiskinan dengan melaksanakan beberapa program bagi tujuan itu.


"Kita telah menyediakan pekerjaan kepada mereka yang tidak ada kerja, kita membina rumah kepada mereka yang tidak memiliki rumah dan kita juga memberikan tanah kepada mereka yang tidak mempunyai tanah," tegasnya.


Ketua Menteri berkata, kerjasama rapat di kalangan para pegawai dalam kementerian yang berkenaan dan kerajaan membolehkan pelaksanaan program pembasmian kemisikinan berjalan dengan licin dan lancar yang memberi manfaat kepada rakyat.


"Ini tidak dapat dinafikan walaupun pelaksanaan beberapa program dan janji akan mengambil masa dan mungkin tidak secara serta-merta," katanya.