Sabtu, 23 Jun 2012

LIMA PEMAIN BAWAH 12 SABAH SERTAI PEMILIHAN SKUAD BAWAH 12 KEBANGSAAN

Johan dan Hizaz, keduanya dari SK Likas. Foto: Norsi Hj. Sabtari.
Osmera (kiri sekali) bersama pemain yang terpilih Mohd Nasip, Johan, Mohd Hizaz, Xsavier, Mohd Herisma dan cikgu Norsi, jurulatih Mykids Soccer Sabah.

Seramai lima pemain bawah 12 tahun dari Sabah dipanggil untuk mengikuti latihan pemilihan bagi pasukan bawah 12 tahun Malaysia selama seminggu di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.
 
Mereka ialah Johan Mansur, Mohd Hizaz Lokman, Xsavier Xcico Felex (Kota Kinabalu), Mohd Nasip Mohd Zain dan Mohd Herisma Abd Majid (Semporna).
 
Ketua Jurulatih Remaja MSN Negeri, Osmera Omaro, berkata pemilihan itu dilakukan Majlis Sukan Negara Malaysia dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di bawah Program Pembangunan Bolasepak Negara.

Katanya, ia sebagai persiapan pasukan Malaysia  yang akan dihantar mengambil bahagian dalam Kejohanan Bolasepak Saitama Invitational Games 2012 di Jepun pada 24-30 Julai ini.
 
“Pemilihan akan dilakukan oleh Ketua-ketua Jurulatih Remaja Negeri MSN di bawah pemantauan Pengarah Teknikal FAM, Lim Kim Chon sepanjang latihan pemilihan yang akan berakhir pada 30 Jun ini,” katanya ketika ditemui di Stadium Likas, di sini.
 
Menurut Osmera, pemain terbabit akan berlepas ke Kuala Lumpur petang esok (Ahad).
 

Mengenai kejohanan di Jepun itu, beliau berkata ia akan berlangsung di stadium pasukan J-League terkemuka Urawa Red Diamonds.
 
Katanya, kejohanan itu akan disertai 16 pasukan kelab Jepun dan lapan pasukan antarabangsa termasuk Malaysia.

Rabu, 20 Jun 2012

MOHD AL-HAFIDZ DITERIMA SEBAGAI PEGUAMBELA DAN PEGUAMCARA DI MAHKAMAH TINGGI MALAYA

Al-Hafidz (kanan) bersama kedua ibu bapa selepas majlis penerimaan sebagai peguambela dan peguamcara di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 Jun 2012.

Graduan jurusan undang-undang, Mohd Al-Hafidz Lokman diterima secara rasmi sebagai peguambela dan peguamcara di Mahkamah Tinggi Malaya pada satu majlis yang diadakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin lepas. 

Al-Hafidz, 25, merupakan anak sulung pasangan Lokman Sunggim dan Salbiah Jabrin, kedua-duanya bekas wartawan dan pernah berkhidmat di beberapa akhbar tempatan di Sabah sebelum ini.
 

Dia memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dengan kepujian dari Universiti Malaya pada 2011 sebelum menjalani latihan guaman di Tetuan Shukor Baljit & Partners di Sentul, Kuala Lumpur. 

Sebelum ditawarkan memasuki Universiti Malaya pada 2006, Al-Hafidz adalah pelajar terbaik peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) Sekolah Menengah Kebangsaan Likas pada tahun tersebut. Sebelum itu, dia menduduki peperiksaan Sjil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Teknik Likas dan pernah belajar di SM All Saint Kota Kinabalu. Sewaktu di sekolah rendah, Hafidz belajar di SRK St. Agnes, Likas, antara sekolah rendah yang menunjukkan prestasi baik di Kota Kinabalu.
 
Dia pada mulanya berhasrat mengambil jurusan pengajian sejarah namun kemudian mengubah hasratnya itu untuk mengambil jurusan undang-undang atas nasihat keluarga.
 
Sesuatu yang sangat mengembirakan dirinya dan keluarga ialah apabila dia membuat pilihan pertama untuk memasuki Universiti Malaya dan diterima ke universiti berkenaan.

Ahad, 17 Jun 2012

LAJIM LEPASKAN KETUA CAWANGAN UMNO, LANGKAH BERIKUTNYA TUNGGU DAN LIHAT

Lajim bersalaman dengan orang ramai yang hadir mengucapkan selamat hari jadi kepadanya pada majlis sambutan hari jadinya yang ke-57 di kediamannya di Beaufort.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin kelmarin membuat pengumuman mengejut untuk meletak jawatan Ketua Umno Cawangan Kerambai Kebatu sebagai susulan keputusannya sebelum ini tidak akan mempertahankan jawatan Ketua Umno Bahagian Beaufort pada mesyuarat agung akan datang.

Katanya, langkah pertama yang diambilnya tidak akan pertahankan jawatan Ketua Bahagian dan langkah kedua melepaskan ketua cawangan Umno.
 
"Langkah seterusnya tunggu dan lihat,” kata Anggota Parlimen Beaufort itu pada majlis sambutan hari jadinya ke-57 di kediamannya di Kampung Kaundu Kebatu, di sini.
 
Lajim yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno, berkata beliau tidak akan tunduk dengan cabaran yang dibuat pihak tertentu supaya beliau berundur dari parti dan kerajaan.
 
Katanya, mereka membuat cabaran itu menerusi laman sosial facebook.
 
"Mereka siapa membuat desakan seumpama itu. Jika saya melakukan kesalahan, parti dan kerajaan boleh memecat saya," tegasnya.
 
Beliau berkata, "bukan mereka yang menentukan masa depan saya sebaliknya rakyat di kawasan ini yang akan membuat keputusan."
 
"Meskipun saya tidak akan terpengaruh dengan cabaran itu namun saya mencabar pucuk pimpinan memecat saya kerana rakyat  di kawasan DUN Klias dan Parlimen Beaufort sudah sedia menanti apa saja tindakan pucuk pimpinan BN atau Umno terhadap saya," kata beliau.

Khamis, 14 Jun 2012

MISTERI ISTERI LESAP DI BATU LUANG ANTARA CERITA LEGENDA DI KUALA PENYU

Pemandangan pekan Kuala Penyu.


 Kemudahan jeti yang terdapat di Pantai Sawangan, salah satu destinasi pelancongan di daerah Kuala Penyu.

Pulau Tiga bukan sahaja terkenal sebagai destinasi perlancongan menarik di daerah Kuala Penyu bahkan juga menyimpan banyak misteri masa lampau. (Ikuti dalam artikel berasingan di blog ini bertajuk Mandi lumpur di Survivor Island).
 
Mengikut cerita orang tua-tua, pada zaman dahulu terdapat sepohon lada padi yang ajaib di pulau tersebut. Batangnya sebesar pokok kelapa yang sudah berbuah. Jika ingin memetik buahnya anda terpaksa memanjat pokoknya.

Walau bagaimanapun tidak pula dapat dipastikan lokasi sebenar, tumbuhnya pokok tersebut di pulau tersebut.
 

Selain itu, terdapat juga cerita tentang kewujudan sebuah perigi ajaib di tepi pantai pulau tersebut. Namun demikian tidak semua orang dapat melihat pohon lada dan perigi ajaib berkenaan.  Sesiapa yang berpeluang berkunjung ke Pulau Tiga semestinya jangan melepaskan peluang anda untuk bersiar-siar di seluruh kawasan pulau itu yang pernah dijadikan lokasi pengembaraan saluran televisyen barat "Survivor".
 
Siapa tahu mungkin anda bernasib baik dapat melihat pohon lada atau pun perigi ajaib tersebut. Tetapi awas, jika anda gagal menemuinya jangan bersedih dan seandainya anda berjaya melihatnya itu boleh dianggap sebagai tuah diri anda sepanjang hayat.
 
Kisah Batu Nousung;
 
Mengikut cerita legenda, kononnya pada zaman dahulu kala di daerah ini, ada seorang wanita tua tinggal bersama seorang anak lelakinya. Dua beranak itu dikatakan dalam keadaan kehidupan "kais pagi makan pagi, kais petang makan petang".
 
Apabila anak lelaki itu sudah meningkat dewasa maka mengembaralah ia seorang diri untuk mencari rezeki serta  nafkah hidup. Selang beberapa tahun, ia dikatakan telah menjadi kaya kerana memperoleh daripada isterinya yang berasal daripada keluarga orang berada. Pemuda itu bersama isterinya serta pengikut-pengikutnya belayar dengan sebuah kapal.
 
Apabila ibunya mengetahui kepulangan anaknya dengan perasaan penuh gembira dan terharu ibunya menyambut kedatangan anak yang sangat dinanti-nantikan. Bagaimanapun alangkah terkejut si ibu apabila anaknya itu tidak mengakui bahawa ia adalah ibunya yang sebenar.
 
Dengan hati yang hancur luluh maka si ibu pun melakukan sumpahan kepada anaknya itu yang mengakibat dengan serta merta kapal yang dinaiki oleh anaknya  bersama pengikut-pengikutnya secara tiba-tiba menjadi batu.
 
Batu yang menyerupai bentuk kapal itu masih dapat dilihat wujud di persisiran tanjung Pantai Sawangan tidak jauh dari pekan Kuala Penyu. Pantai Sawangan kini menjadi tempat perkelahan yang menarik dan sentiasa dikunjungi orang ramai terutama pada hujung minggu.
 
Di kawasan berkenaan turut disediakan pelbagai kemudahan termasuk rumah rehat bagi kemudahan penginapan pengunjung yang ingin bermalam di situ. Kawasan ini juga popular di kalangan pengunjung kerana sering dijadikan tapak sambutan bagi perayaan Pesta Rumbia, pesta yang menjadi kebanggaan masyarakat di daerah ini yang biasanya diadakan setiap pertengahan tahun.
 
Keistimewaan Pantai Sawangan yang menghadap Pulau Tiga, sebuah pulau yang mendapat jolokan survivor island di kalangan pelancong luar negara menjadikan daerah Kuala Penyu antara destinasi pelancongan yang menarik di Sabah.
 
Lagenda Batu Payau dan Batu Kuyuk;
 
Mengikut cerita pada zaman dahulu, seorang pemburu dikatakan sedang memburu rusa dengan menggunakan dua ekor anjing. Oleh kerana rusa itu berlari terlalu laju menyebabkan pemburu itu ketinggalan jauh di belakang. Binatang itu kemudiannya menuju ke laut dengan disusuli oleh anjing-anjing yang dibawanya ketika memburu itu.
 
Tidak lama selepas itu, maka pemburu tersebut tiba ke tempat di mana rusa itu berada. Pemburu berkenaan berasa terkejut apabila mendapati rusa dan anjing-anjing telah bertukar menjadi batu. Sehingga sekarang batu-batu berkenaan masih boleh dilihat di persisiran tanjung Pantai Sawangan.
 
Pemandangan dari dalam gua Batu Luang yang masih wujud sekarang.


Misteri isteri lesap di gua Batu Luang

Peristiwa ini dikatakan berlaku pada suatu ketika dahulu melibatkan pasangan pengantin yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan mereka di rumah pangantin perempuan. Setelah beberapa hari mereka menaiki pelamin, maka mereka dikatakan ingin pulang ke rumah pengantin lelaki atau disebut maya wagu mengikut bahasa suku kaum Kadazandusun Tatana.
 
Dengan diiringi oleh keluarga masing-masing, pasangan pengantin itu berangkat pada suatu pagi yang indah. Ketika mereka hampir di gua Batu Luang, tiba-tiba angin bertiup kencang dengan awan manjadi gelap dan diikuti oleh hujan yang turun dengan lebatnya.
 
Berikutan situasi yang tidak mengizinkan mereka meneruskan perjalanan itu, kedua mempelai tersebut pun bergegas untuk berlindung di dalam sebuah gua yang kini dikenali Gua Batu Luang.
 
Setelah hujan berhenti, mereka mula keluar dari gua tersebut. Pengantin lelaki dikatakan merupakan orang yang kedua terakhir keluar. Orang yang terakhir masih di dalam gua tersebut ialah isterinya.
 
Sebaik sahaja pengantin perempuan tersebut menghulurkan kedua tangannya untuk ditarik oleh suaminya, tiba-tiba tanah di dalam gua itu mendap dan runtuh. Si suami cuba menyelamatkan isterinya dengan segala kudrat namun wanita itu hanya mampu menghulurkan cincin perkahwinan mereka lalu lesap di telan bumi. 

Sejauh mana kebenaran cerita ini sukar untuk dibuktikan namun yang nyata gua tersebut yang terletak di kawasan pantai Batu Luang masih wujud hingga ke hari ini.
 
Pantai Batu Luang juga sering dikunjungi orang ramai termasuk pelancong asing sungguhpun pada ketika ini belum ada usaha pihak kerajaan untuk memajukannya sebagai kawasan peranginan dan perkelahan.
 
Ramai berpendapat jika ada usaha dilakukan pihak kerajaan untuk memajukan kawasan pantai berkenaan dengan menyediakan kemudahan yang sepatutnya, sudah pasti ia mampu menjadi tarikan kepada pengunjung termasuk pelancong asing.

Kawasan itu dianggap mempunyai keunikan tersendiri kerana cerita lagendanya dan ia boleh dihubungi dengan menggunakan laluan darat memandangkan kemudahan jalan raya yang baik menjadi perhubungan utama ke sana. Ia sangat berpotensi dimajukan sebagai destinasi pelancongan dan ketika ini pun terdapat pelancong dari luar negara yang bercuti di resort berhampiran begitu menggemari keadaan pantainya untuk bersantai.

Isnin, 11 Jun 2012

LAJIM NAFI TINGGALKAN BN


TV3 turut menyiarkan penafian Lajim dalam Buletin Utama.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin menafikan dakwaan yang beliau mahu meninggalkan Umno.

Sambil menyifatkan dakwaan tersebut hanya spekulasi, beliau yang juga Anggota Parlimen Beaufort dan Anggota Majlis Tertinggi Umno, berkata tidak pernah sekali beliau mengeluarkan sebarang kenyataan sedemikian dan berpendapat isu tersebut sengaja dimainkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Saya tidak pernah membuat kenyataan yang saya akan tinggalkan Barisan Nasional. Ini cuma andaian kerana apabila saya bercakap seolah-olah macam pembangkang,” katanya.

Lajim menambah mungkin disebabkan kelantangannya menyuarakan masalah rakyat Sabah kebelakangan ini mendorong spekulasi sedemikian tercetus.

"Saya hanya bawa suara orang Sabah. Rakyat Sabah mahukan penambahbaikan," katanya.

Ketua Umno Bahagian Beaufort itu juga berkata, apabila dirinya lantang bersuara tidak semestinya menunjukkan yang beliau mahu meninggalkan parti dan menyertai pembangkang.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan bertemu dengan pemimpin-pemimpin pembangkang namun menyifatkannya sebagai sekadar perjumpaan 'minum kopi'.


Terdapat spekulasi menyebut bahawa Lajim dan Anggota Parlimen Tuaran, Datuk Wilfred Bumburing akan mengumumkan menyertai parti pembangkang pada 10 Jun lepas, yang secara kebetulan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di Kota Kinabalu pada ketika itu.

Namun begitu perkara itu tidak menjadi kenyataan apabila tiada apa-apa yang berlaku.

Ahad, 10 Jun 2012

ADAT ISTIADAT PERKAHWINAN SUKU KAUM TATANA

Gadis-gadis suku kaum Kadazandusun Tatana menari tarian Sumayau dalam satu majlis perayaan.

Adat merupakan warisan turun temurun sesuatu suku kaum dan mestilah berterusan diamalkan daripada satu keturunan hingga kepada keturunan yang lain. Adat juga sentiasa dihormati dan diamalkan oleh etnik yang mempraktikkan adat istiadat tersebut.

Ketua adat mempunyai kuasa mengenakan hukuman ke atas sesiapa yang melanggar adat yang sudah menjadi amalan. Bagi suku kaum Kadazandusun Tatana yang majoriti etnik ini menetap di daerah Kuala Penyu, adat istiadat perkahwinan mereka memang menarik perhatian dan banyak dipengaruhi elemen adat tradisi yang unik.


Gadis-gadis suku kaum Tatana berpakaian tradisi ketika menjayakan satu pertunjukan.

Adat perkahwinan suku kaum ini sentiasa mengikut tradisi dengan syarat-syarat yang mereka warisi sejak turun temurun.

Mengikut amalan tradisi mereka, apabila seseorang teruna ingin berkahwin berdasarkan pilihannya, ia perlu dipersetujui oleh kedua-kedua ibu bapa pihak lelaki kerana merekalah yang akan melakukan serta mengatur segala persediaan bagi perkahwinan anak tersebut.

Di peringkat mengikat tali pertunangan biasanya "orang-orang tua" ditugaskan sebagai orang tengah disebut "susuruan" bagi pihak lelaki datang ke rumah pihak perempuan biasanya dilakukan pada hari Selasa, Khamis atau Sabtu. Pihak perempuan diberi masa untuk berunding dan ketika "susuruan" kembali daripada perundingan dengan sendirinya kepastian diperolehi sama ada pinangan pihak lelaki diterima atau sebaliknya. Jika pinangan diterima maka "susuruan" dijemput minum dan makan oleh keluarga pihak perempuan. Jika pinangan tersebut ditolak maka makan dan minum tidak lagi dilayan.

Tarikh pertunangan ditetapkan mengikut persetujuan kedua-dua belah pihak. Lazimnya mereka memilih hari yang baik untuk majlis bertunang seperti hari-hari yang bukan bilangan ganjil dan juga dalam bulan yang dianggap baik sebagaimana mengikut kepercayaan masyarakat ini.

Perbelanjaan bertunang bergantung kepada kedudukan keturunan atau latar belakang keluarga pihak perempuan jika dia anak perempuan sulung daripada kalangan orang yang berkemampuan maka pertunangan dilangsungkan dengan upacara penuh isitiadat.

Jika ibu perempuan ada permintaan hantaran kerbau ketika bertunang maka anaknya mesti menuntut sama.

Sebagaimana kebiasaannya permintaan pertunangan membabitkan perkara-perkara seperti;

    Seekor kerbau atau babi (bagi bukan beragama Islam)
    Sepasang kain
    Sebentuk cincin emas
    Gelang emas
    Wang belanja dapur (kadar mengikut berapa yang wajar)
    Wang talak sebanyak RM500.00 (lima ratus ringgit) juga perlu dibayar

Perbelanjaan pertunangan ditanggung oleh pihak lelaki, setelah pasangan bertunang mereka tidak boleh membuat hubungan sebelum berkahwin. Siperempuan tidak boleh sesuka hati pergi kemana-mana kecuali mendapat keizinan tunangnya. Sekiranya pihak perempuan mengingkari syarat pertunangan mereka, maka dia akan didenda dengan mengembalikan semua perbelanjaan ketika bertunang, jika pihak lelaki pula mengikarinya, kos perbelanjaan pertunangan dikira hangus atau tidak perlu dibayar balik.

Kotoliban/Sepangadak:

Sekiranya sesebuah keluarga mempunyai ramai anak perempuan dan yang muda berkahwin dahulu daripada kakaknya, maka kakak itu diberi "kotoliban" atau melangkah bendul dan benda seperti berikut adalah wajib dipenuhi;

    Dundung/sigar
    Sira/baju
    Gonob/sarung
    Sebentuk cincin emas

Perbelanjaan kahwin:

Perbelanjaan perkahwinan diputuskan ketika majlis merundingkan permintaan ketika bertunang dan segala perbelanjaan mengikut persetujuan sama ada majlis perkahwinan dilangsung secara penuh istiadat atau secara sederhana. Jika pihak perempuan daripada kalangan golongan orang berkemampuan maka keluarganya akan menyediakan seekor kerbau bagi menambah kerbau pemberian (berian). Pemberian itu dipanggil "balun" dan perbelanjaan perkahwinan tersebut antara lainnya melibatkan;

    Seekor kerbau besar "rinampung"
    Satu pikul babi
    Gelang emas atau rantai emas
    Inapung RM500.00 (lima ratus ringgit)
    Wang belanja dapur atau wang hangus mengikut keadaan upacara perkahwinan
 

Masyarakat Tatana biasanya bekerjasama melakukan kerja-kerja membungkus kolupis apabila terdapat keperluan untuk menyempurnakan sesuatu upacara.

Perkahwinan dengan penuh istiadat bagi orang Kadazandusun Tatana yang beragama Katolik dan pagan adalah berbeza daripada adat "moginum kahwin".
 

Moginum kahwin dinamakan "bemasak" mereka menyediakan kolupis dan berbagai macam jenis makanan termasuk menyembelih kerbau bagi tujuan penyediaan "Rrinampung" serta memasak sebahagian dari daging kerbau itu untuk dihidang pada malam upacara moginum.

Surat kahwin:

Tidak seperti pada masa lalu, urusan bagi surat kahwin pada masa sekarang dilakukan dihadapan pendaftaran perkahwinan. Selain itu, surat kahwin juga boleh diperoleh bagi majlis perkahwinan di kampung melalui ketua kampung dan pihak berkenaan, bagaimanapun ketua kampung tersebut mestilah hadir bersama menyaksikan majlis perkahwinan tersebut. 

 Ini bagi membolehkan ia menjadi saksi apabila mendaftarkan perkahwinan tersebut di pejabat pendaftar perkahwinan kelak.

Suami meninggal:

Sekiranya suami meninggal dunia dan berian selesai dijelaskan, pihak waris perempuan bagaimanapun tidak boleh melakukan sebarang tuntutan balik.

Jika berian belum dilunaskan sepenuhnya maka bakinya juga tidak boleh dituntut oleh pihak waris perempuan.

Isteri meninggal:

Sekiranya isteri pula meninggal sebarang berian tidak boleh dituntut balik oleh pihak lelaki walaupun belum mempunyai anak.

Jika pasangan mempunyai anak, maka pencarian mereka berdua adalah hak dan dituntut oleh anak mereka. Jika anak mereka masih kecil maka si isteri boleh menuntut bagi pihak anak mereka.

Kahwin nialap:

"Nialap"  membawa maksud seorang lelaki dan perempuan, atas dasar suka sama suka, pulang untuk tujuan berkumpul sebagai suami-isteri tanpa bertunang terlebih dahulu di rumah pihak perempuan atau pihak lelaki. Mereka biasanya akan dikahwinkan dengan kadar segera dan ringkas sebaik sahaja mencapai persetujuan kedua-dua belah pihak. Ia membabitkan perbelanjaan seperti berikut;

    Seekor kerbau
    Seekor babi
    Perbelanjaan dapur yang sederhana sahaja.
    
Kahwin inuli:

Kahwin "inuli" bererti pihak lelaki pulang ke rumah pihak perempuan sama ada dia diterima atau tidak terpulang kepada pihak perempuan untuk membuat keputusan.


Amalan perkahwinan mengikut adat ini masih dipraktikkan oleh mereka yang belum menganuti sebarang agama atau pagan walaupun bilangannya semakin berkurangan. Bagi golongan generasi baru etnik ini terutama mereka yang menganuti agama, mereka akan berkahwin mengikut lunas-lunas dan peraturan mengikut kepercayaan agama masing-masing.

Khamis, 7 Jun 2012

AKTIVITI SUKAN HINDAR BELIA TERJEBAK GEJALA NEGATIF

SERAH SUMBANGAN...Timbalan Ketua Pemuda Upko Bahagian Beaufort, Fredolin Penggo menyampaikan sumbangan bola kepada wakil belia Kg. Kerukan sambil diperhatikan Lokman dan AJK bahagian yang juga pengerusi pelaksana majlis itu, Jain Haji Bisnin.

KUALA PENYU: Golongan belia di daerah ini perlu memanfaatkan masa terluang mereka dengan aktiviti yang bermanfaat seperti bersukan kerana ini dapat menghindarkan mereka daripada gejala negatif. 

Naib Ketua Bahagian Upko Beaufort, Lokman Sunggim, berkata dengan melibatkan diri dengan aktiviti sukan bukan sahaja membolehkan golongan belia sentiasa sihat tubuh badan dan minda malah ia mampu mengetengahkan bakat masing-masing dalam acara sukan tertentu.
 

Katanya, kerajaan sentiasa menggalakkan belia-belia aktif dalam kegiatan sukan dengan menyediakan pelbagai kemudahan sukan di setiap daerah dan ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.
 
Katanya, pewujudan gelanggang-gelanggang sukan seperti futsal adalah usaha kerajaan yang sangat dialu-alukan kerana membolehkan golongan belia mempunyai kemudahan untuk bergiat aktif dalam sukan tersebut.
 
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan peralatan sukan kepada belia-belia dari Kg. Berangkok, Kerukan dan Parit di Balairaya Kg. Berangkok di sini, kelmarin.
 
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pemuda Upko Bahagian Beaufort, Fredolin Penggo, ahli-ahli jawatankuasa bahagian, Jain Haji Bisnin, Jamaludin Henry dan Rajinan Haji Edin.
 
Lokman juga mengingatkan belia-belia supaya memanfaatkan kemajuan teknologi seperti internet, blog, laman sosial facebook dan twitter untuk perkara-perkara yang mendatangkan kebaikan bagi membolehkan mereka sentiasa positif dalam menilai pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan.
 
"Sebagai generasi yang bermaklumat, kita perlu menggunapakai ledakan kemajuan teknologi  untuk membangun masyarakat," katanya.
 
Beliau percaya golongan belia di daerah ini bijak menilai terutama perancangan pembangunan yang dilakukan kerajaan kepada rakyat.
 
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada pasukan Berangkok FC yang diketuai Dulamat Bisnin yang menjuarai pertandingan futsal bagi kawasan Parlimen Beaufort baru-baru ini dan akan mewakili kawasan Parlimen berkenaan ke pertandingan futsal di Sandakan.